NATIONAL

KKM meterai MoU perkukuh penyelidikan faktor risiko NCD

Bernama 15/05/2025 | 15:50 MYT
Dzulkefly berkata reformasi sistem kesihatan perlu berteraskan bukti dan data yang tepat serta dianalisis secara bersama, menjadikan pemeteraian MoU itu sebagai langkah signifikan ke arah matlamat berkenaan. - Foto Facebook Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Kesihatan Umum (IKU) dan NCD Risk Factor Collaboration (NCD-RisC) bagi memperkukuh keupayaan negara dalam penyelidikan dan pemantauan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ringkasan AI
  • KKM menandatangani MoU dengan IKU dan NCD-RisC untuk memperkukuh penyelidikan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).
  • Kerjasama ini melibatkan pertukaran data, latihan bersama dan penerbitan saintifik berkaitan diabetes, hipertensi dan obesiti.
  • NCD-RisC diterajui Imperial College London dan menyediakan data global berkaitan NCD dari hampir 200 negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata reformasi sistem kesihatan perlu berteraskan bukti dan data yang tepat serta dianalisis secara bersama, menjadikan pemeteraian MoU itu sebagai langkah signifikan ke arah matlamat berkenaan.
"Kerjasama ini bakal memperkukuh keupayaan Malaysia dalam penyelidikan dan pemantauan faktor risiko NCD seperti diabetes, hipertensi dan obesiti. Ia meliputi pertukaran data, pembangunan kapasiti, latihan bersama, dan penerbitan saintifik," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly berkata NCD-RisC ialah rangkaian saintifik global yang diterajui oleh Imperial College London, melibatkan lebih 2,500 tinjauan populasi dari hampir 200 negara, menjadikannya antara sumber data paling berwibawa dalam bidang NCD.
"Inilah contoh terbaik bagaimana data, dasar dan diplomasi kesihatan boleh bertemu di titik tengah, demi kesihatan rakyat, dan masa depan sistem kesihatan yang lebih saksama.
"Tahniah kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan usaha sama ini," katanya.
-- BERNAMA
#KKM #meterai MoU #penyelidikan #NCD #Dzulkefly Ahmad