KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disarankan agar memberi lebih banyak tumpuan kepada isu kes bunuh diri dalam kalangan remaja.

Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran berkata aspek infrastruktur kesihatan, kaunseling, kesedaran dan membina kapasiti ataupun peranan pihak sekolah perlu diberikan fokus dalam mencegah isu-isu seperti buli di sekolah.

"Saya juga ingin memohon kepada pihak KKM untuk menjelaskan status terkini insiatif 'National Suicide and Fatal Injury Registry Malaysia' atau NSFIRM yang dikatakan akan 'fully functional' pada 2023.

"Adakah pihak kerajaan sedang meneruskan inisiatif ini? Saya lihat inisiatif ini akan dapat memainkan satu peranan yang cukup besar dalam menangani isu ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara pada Isnin.

Sivaraj menambah, menurut laporan sejumlah 1,142 kes bunuh diri dalam kalangan remaja dilaporkan pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 81 peratus berbanding 631 kes pada 2020.

Beliau turut memetik laporan The National health and Morbility Survey 2023” yang mendedahkan peningkatan sebanyak 10 peratus cubaan membunuh diri dalam kalangan remaja.

"Saya percaya angka ini akan terus meningkat.

"Ini selaras dengan isu-isu seperti tekanan hidup, kes buli di sekolah, isu psikososial serta persekitaran dan kesihatan mental yang menjadi tema utama kehidupan sebahagian besar masyarakat di negara kita," ujarnya.

Dalam perbahasan sama, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu juga memberi cadangan tentang isu pengambilan pelajar India dalam program matrikulasi.

Beliau difahamkan kerajaan menetapkan nisbah peratusan pengambilan pelajar India pada 3.72 peratus sahaja, iaitu sekitar 1,116 penempatan.

"Saya fikir sudah tiba masanya untuk kerajaan selaras dengan komitmen Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bantu memperkasa proses pembangunan sosioekonomi masyarakat India untuk meningkatkan nisbah ini sekurang-kurangnya kepada kadar lima peratus setiap tahun.

"Perkara ini penting supaya kita bukan sahaja dapat mengelakkan pelajar-pelajar lepasan SPM dari Masyarakat  India yang layak dari tercicir akibat kekurangan peluang.

"Namun pada masa yang sama menyediakan satu mekanisme yang baik melalui pendidikan untuk memperkasa taraf sosioekonomi Masyarakat India secara umumnya," tambah Sivaraj.

Pada masa yang sama, Sivaraj juga mencadangkan agar Malaysia menjadi hab kecerdasan buatan (AI) di peringkat serantau seperti Singapura.

Ini katanya bagi memastikan Malaysia dapat menerima manfaat dalam bentuk pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi teknologi seperti syarikat G42.