Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

KKM perluas rawatan NCD, perkenal rawatan ubat baharu bagi pesakit rentan

Bernama 27/10/2025 | 09:16 MYT
Dr Dzulkefly berkata, langkah itu diambil susulan penilaian berterusan terhadap Formulari Ubat KKM, yang dikemas kini dari semasa ke semasa oleh panel pakar bagi memastikan ubat-ubatan digunakan selamat, berkesan dan kos efektif. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan rawatan ubat generasi baharu bagi membantu pesakit diabetes dan obesiti dalam kalangan golongan rentan di bawah Belanjawan 2026, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu diambil susulan penilaian berterusan terhadap Formulari Ubat KKM, yang dikemas kini dari semasa ke semasa oleh panel pakar bagi memastikan ubat-ubatan digunakan selamat, berkesan dan kos efektif.

"Dalam peruntukan belanjawan kali ini, kita juga memperkenalkan rawatan baharu seperti GLP-1 yang terbukti berkesan membantu pesakit mengawal diabetes dan menurunkan berat badan. Rawatan ini akan diutamakan kepada golongan rentan yang berdepan cabaran kesihatan berkaitan diabetes dan obesiti," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai langkah kementerian untuk menilai semula senarai ubat dalam Formulari Kebangsaan agar ubat-ubatan penting bagi penyakit kronik seperti diabetes dapat disubsidi, sekali gus memastikan rawatan berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kemampuan.

Dzulkefly berkata ubat generik yang diluluskan kementerian juga setara dari segi keberkesanan dan keselamatan, selepas melalui ujian bioequivalence serta penilaian farmakoekonomi.

Menjawab soalan asal Adnan berhubung inisiatif kementerian dalam mengurangkan beban NCD melalui pendekatan bersepadu, beliau berkata lebih 1.36 juta individu berumur 18 tahun ke atas di seluruh negara telah menjalani saringan kesihatan di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sehingga September lepas, sebagai langkah pengesanan awal NCD.

Dzulkefly berkata KKM juga memperkukuh perkhidmatan rawatan primer termasuk perkhidmatan konsultasi secara maya, dengan 163,975 sesi konsultasi direkodkan sehingga Julai lepas.

Dalam konteks perubahan gaya hidup, beliau berkata KKM kini memperluas pendekatan behavioral insight dan nudging strategy dalam kempen kesihatan awam, bagi mengubah tingkah laku ke arah gaya hidup sihat secara berkesan dan berterusan.

"Antara inisiatif utama dalam berdepan dengan penyakit empat serangkai sama ada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti ialah Kempen Perang Atas Gula melalui pengenalan NutriHub. Menerusi inisiatif ini, sudut kesedaran pemakanan sihat diperkenalkan di pasar raya bagi membantu pengguna membuat pilihan lebih baik.

"Keduanya adalah Pinggan Sihat Malaysia, suku-suku separuh yang merupakan inisiatif lama tapi tetap kita perbaharui.

"KKM juga menyambut baik Belanjawan 2026 memperkenalkan kenaikan kadar duti eksais terhadap rokok dan minuman keras pada 1 Nov 2025 sebagai sokongan kepada usaha pencegahan NCD di negara kita," katanya.

-- BERNAMA


#Dzulkefly Ahmad #Kementerian Kesihatan Malaysia #rawatan penyakit tidak berjangkit #NCD #Kempen Perang Atas Gula