NATIONAL
KKM perlukan sumber manusia mampan, STEM jadi kunci - Dr Dzulkefly

DZULKEFLY: Saya memerhatikan 14,000 pelajar memperoleh semua A, tetapi apa yang mustahak hari ini ialah kita menyaksikan sedikit penurunan minat terhadap STEM. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan minat pelajar terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang disifatkan berpotensi menjejaskan bekalan pelajar ke jurusan perubatan pada masa depan.
Ringkasan AI
- Menteri Kesihatan bimbang minat pelajar terhadap aliran STEM semakin menurun, yang boleh menjejaskan bekalan pelajar ke jurusan perubatan pada masa depan.
- Beliau menggesa KPM dan MOSTI lebih proaktif menyuntik motivasi kepada pelajar untuk memilih aliran STEM.
- Aspek kerjaya dan kebajikan pegawai kesihatan juga perlu diberi perhatian bagi menarik minat generasi muda ke sektor perubatan.
"Saya agak bimbang kerana aliran sains yang akan menjadi takungan bekalan untuk jurusan perubatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di PPR Kota Bharu, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keperluan memperkukuh minat pelajar terhadap STEM sebagai usaha jangka panjang memastikan kelestarian sumber manusia dalam bidang perubatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan lebih proaktif dalam menyuntik motivasi dan semangat kepada pelajar untuk memilih aliran tersebut.
"Saya harap daripada 14,000 pelajar ini, kita dapat menyemai kembali minat terhadap STEM. Ini amat penting bagi memastikan isu berkaitan sumber manusia di Kementerian Kesihatan (KKM) dapat ditangani secara berkesan," katanya.
Menurut beliau, aspek mengekalkan pakar, hala tuju kerjaya, elaun dan kebajikan pegawai kesihatan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan sektor perubatan kekal mampan dan mampu menarik minat generasi muda.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami