KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merombak sistem penarafan triaj di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital awam melalui pelaksanaan Malaysian Triage Scale (MTS) 2022 bagi meningkatkan ketepatan penilaian pesakit dan mengurangkan risiko kelewatan rawatan.
Menerusi pelaksanaan MTS 2022, KKM menaik taraf sistem tiga peringkat warna di bawah Malaysian Triage Category (2011) kepada lima peringkat yang lebih teliti iaitu dari Tahap 1 (Resusitasi) hingga Tahap 5 (Rutin).
KKM memaklumkan sistem baharu itu memperkemas ketepatan penilaian dengan membahagikan proses kepada Primary Triage (penilaian pantas pandang pertama) dan Secondary Triage (penilaian terperinci dan tanda vital), selain memperkenalkan parameter berasingan yang khusus untuk pesakit kanak-kanak memandangkan keperluan fisiologi mereka yang berbeza.
“Rombakan ini memastikan pengasingan kes yang jauh lebih spesifik, mengurangkan kesesakan tidak perlu, dan memastikan pesakit kronik tidak tercicir,” menurut KKM dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) yang ingin tahu langkah intervensi segera bagi merombak sistem penarafan kecemasan triaj di Jabatan Kecemasan hospital awam susulan insiden tular kebelakangan ini berhubung kelewatan rawatan kes kronik bagi mengelakkan kehilangan nyawa.
Sistem triaj di Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah satu proses penilaian klinikal awal bertujuan mengkategorikan pesakit berdasarkan tahap keseriusan penyakit dan tahap keperluan rawatan segera, dan bukannya berdasarkan konsep "siapa datang dahulu, dia dirawat dahulu".
Selain itu, KKM turut memperkukuh tadbir urus dan kompetensi pegawai melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Perkhidmatan Triage EMTS di peringkat negeri yang bertanggungjawab menjalankan audit klinikal triaj secara silang antara hospital, penilaian amalan semasa dan melaksanakan program latihan sekurang-kurangnya dua kali setahun.
“Aplikasi digital seperti MyTriage App turut digunakan sebagai alat bantuan latihan pembuat keputusan,” menurut KKM.
KKM juga memantau petunjuk prestasi utama (KPI) bagi peratusan kadar undertriage bagi memastikan kualiti penarafan berada pada tahap optimum dan mengurangkan risiko kesilapan manusia.
Bagi mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan, KKM melaksanakan panduan baharu pengurusan aliran pesakit yang berkuat kuasa Jun 2026, termasuk mengetatkan polisi Zon Tidak Kritikal (Hijau) dengan mengalihkan kes bukan kecemasan ke klinik kesihatan dan klinik swasta melalui inisiatif kerjasama awam-swasta seperti Skim Perubatan MADANI dan Skim Penjagaan Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Selain itu, pakar perubatan kecemasan kini diberikan mandat penuh untuk menentukan kemasukan ke wad dalam tempoh maksimum empat jam sekiranya pasukan rawatan utama tertunda bagi mengelakkan pesakit kritikal tersangkut lama di Jabatan Kecemasan.
“KKM melihat isu ini adalah manifestasi rantaian perkhidmatan secara keseluruhan. Rombakan penarafan triaj ini disokong dengan pemantauan ketat dan pengurusan aliran pesakit yang cekap adalah komitmen KKM bagi memastikan perkara-perkara ini tidak berlaku,” menurut KKM.
-- BERNAMA