MALAYSIA

KKM sasar RM3 bilion kutipan hasil sektor pelancongan kesihatan tahun ini - Dr Dzulkefly

Bernama 09/12/2025 | 13:10 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan kutipan hasil RM3 bilion daripada sektor pelancongan kesihatan tahun ini dengan ketibaan 2.5 juta pelancong kesihatan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan kutipan hasil RM3 bilion daripada sektor pelancongan kesihatan tahun ini dengan ketibaan 2.5 juta pelancong kesihatan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata sasaran itu mengambil kira momentum semasa, selepas Malaysia merekodkan 1.6 juta pelancong kesihatan dengan hasil RM2.72 bilion pada tahun lepas.

Katanya keyakinan itu diperkukuh menjelang penganjuran Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 dengan KKM bersedia meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan bagi menarik lebih ramai pesakit antarabangsa.

"Ini adalah unjuran kami di KKM. Kami yakin mampu melebihi sasaran kutipan hasil ini. Kita akan berusaha untuk mencapai KPI seperti yang telah ditetapkan," katanya pada sidang media Majlis Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) 2025 di sini hari ini.

Menurut beliau, unjuran itu sebahagian daripada strategi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi rawatan bernilai tinggi di rantau ini.

Dalam ucaptama beliau, Dr Dzulkefly berkata Malaysia telah memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan perubatan utama di peringkat global dengan pengenalan Anugerah FMTH, satu pencapaian penting yang menegaskan komitmen berterusan negara terhadap kecemerlangan klinikal dan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi.

Beliau berkata sektor ini kekal sebagai tonggak penting dan tidak boleh dikompromi dalam memastikan ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia, sambil meningkatkan reputasi antarabangsa negara dalam penjagaan kesihatan berkualiti.

Tambahnya, inisiatif strategik yang dipimpin oleh KKM dan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) telah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi rawatan perubatan, kesihatan dan pemulihan bertaraf dunia.

Menjelang MYMT 2026, Dr Dzulkefly berkata Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk mempercepat pertumbuhan ekosistem pelancongan kesihatan melalui inovasi, pembangunan bakat dan budaya kecemerlangan.

"Melalui inovasi, pembangunan bakat dan budaya kecemerlangan yang berterusan, industri ini bukan sahaja mampu memacu pertumbuhan ekonomi, malah menyokong visi kolektif kita bagi sistem penjagaan kesihatan yang inklusif, prihatin dan diiktiraf di peringkat global.

"Komitmen berterusan kami dalam membangunkan ekosistem pelancongan kesihatan menunjukkan tekad kerajaan untuk membina ekonomi yang kompetitif, mampan dan inklusif," katanya.

-- BERNAMA



#Sektor pelancongan kesihatan #Kementerian Kesihatan KKM #kutipan hasil #Dzulkefly Ahmad