KUALA LUMPUR: 20 Pusat Penempatan Semula (PPS) disediakan di 10 daerah di negeri Kelantan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khusus bagi mereka yang dikesan mempunyai kontak rapat atau positif COVID-19 ketika musim tengkujuh yang bermungkinan akan melanda nanti.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ia sebagai persiapan awal bagi menempatkan golongan tersebut yang akan diasingkan daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sebab mereka tidak boleh pergi ke pusat penempatan banjir yang sama. Jadi ini adalah persiapan awal bagi memastikan mereka yang positif ataupun mereka yang kontak rapat dapat diasingkan ke PPS yang berasingan.

“20 PPS yang telah disediakan di 10 daerah di Kelantan dan kita akan sediakan bilangan petugas daripada KKM seramai 316 dan bilangan petugas daripada perubatan seramai 1,142 bagi tujuan untuk kita membantu dalam menghadapi musim tengkujuh di Kelantan,” jelasnya pada sidang media ketika melakukan lawatan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, Kelantan petang tadi.

Tambahnya, trend peningkatan jangkitan di negeri itu mula menurun namun ia masih dikategorikan tinggi mengikut data pelaporan semasa.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kita melihat trend penurunan di Kelantan namun dari segi pelaporan kes masih sedikit tinggi dan kita dapati kadar positif masih tinggi. Bagi mereka yang bergejala agak tinggi iaitu 40 peratus,” jelasnya.

Malah tambah beliau kes membabitkan kontak rapat di negeri itu juga agak tinggi dengan kadar 58 peratus ketika ini.

Justeru katanya usaha mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP akan nerus dilaksanakan dalam memastikan  kadar kes di Kelantan dapat diturunkan secepat mungkin