Skip to main content

Malaysia

KKM tambah peralatan rawatan pernafasan, tingkat pemantauan jerebu - Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • KKM menambah bekalan peralatan perubatan di fasiliti kesihatan seluruh negara sebagai persediaan menghadapi penyakit berkaitan jerebu.
  • Pemantauan di 78 fasiliti sentinel menunjukkan kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat 167.21 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-36.
  • KKM bekerjasama dengan agensi lain untuk pemantauan kualiti udara, amaran awal, dan perlindungan golongan berisiko akibat jerebu.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menambah bekalan peralatan perubatan di fasiliti kesihatan seluruh negara sebagai persediaan menghadapi implikasi penyakit berkaitan jerebu yang berisiko menjejaskan kesihatan awam.  

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata aset perubatan tambahan itu merangkumi 841 unit alat bantuan pernafasan aerochamber dewasa, 396 unit aerochamber kanak-kanak serta 576 unit nebulizer bagi menampung kemungkinan lonjakan kes berkaitan pernafasan.  

Beliau berkata KKM turut mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan sejak 4 Sept selain memantau secara rapi tiga penyakit utama, iaitu jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), asma dan konjungtivitis menerusi 78 fasiliti kesihatan sentinel.  

“Menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), KKM memperkukuh tindakan kesihatan awam susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan kemerosotan kualiti udara akibat pembakaran terbuka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dzulkefly menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai inisiatif KKM dalam menangani kesan jerebu terhadap kesihatan awam serta kerjasama rentas agensi dalam pemantauan kualiti udara dan  perlindungan golongan berisiko. 

Dzulkefly berkata pemantauan menerusi 78 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh negara menunjukkan kes URTI melonjak 167.21 peratus, iaitu kepada 7,065 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-36 berbanding 2,644 kes pada minggu sebelumnya akibat kemerosotan kualiti udara.

Berhubung kerjasama antara agensi, beliau memaklumkan KKM secara berterusan memberikan nasihat teknikal kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung penangguhan aktiviti luar jika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100  serta cadangan penutupan sekolah jika IPU melebihi 200.   

Selain itu, beliau berkata KKM turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan amaran awal dan langkah pencegahan disalurkan secara berkesan kepada masyarakat.   

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement