PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyampaikan mesej Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada tahun 2023 menerusi sebuah sitkom sarat dengan budaya gaya hidup sihat.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pihaknya mengambil pendekatan menerbitkan sitkom itu yang berkonsep santai bertujuan mempromosi mesej sarat dengan info kesihatan.

“Idea ini dilihat mampu menjadi pemangkin peralihan daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan.

"Bagi mencapai hasrat tersebut, pelbagai kempen dilaksanakan di bawah Teras 1ANM dengan pelbagai pendekatan dan kaedah media seperti media sosial, media konvensional, media cetak dan media luar serta digital.

“Setiap episod berdurasi 30 minit akan memberi mesej secara santai kepada penonton dengan harapan mesej yang disampaikan itu meninggalkan kesan dan secara tidak langsung dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Sitkom ini bukan sekadar hiburan semata tetapi besar harapan kementerian Kesihatan untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat," katanya ketika berucap dan melancarkan Sitkom ANMS di kementerian hari ini.

Tambah beliau, sitkom ANMS lapan episod diharapkan dapat mendidik masyarakat ke arah pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

Sitkom ANMS dibintangi oleh pelakon hebat seperti Liza Abdullah, Nadia Mustafar, Acong Sweetchild, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Sitkom ANMS ditayangkan di saluran RTM setiap Isnin hingga Khamis jam 10.30 malam bermula 8 hingga 18 Mei ini.