GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

KKM tawar pemeriksaan menyeluruh, sokongan psikososial kepada sukarelawan GSF

Bernama 04/10/2025 | 08:15 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah Wira MADANI 2025 di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) hari ini. - Foto Bernama
SERDANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menawarkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh serta rawatan susulan kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), yang telah kembali ke tanah air selepas dibawa pulang dari Greece.


Ringkasan AI
  • KKM sedia beri pemeriksaan kesihatan menyeluruh termasuk rawatan susulan dan sokongan psikososial kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).
  • Enam sukarelawan Malaysia dan Brunei selamat tiba di tanah air dari Greece, manakala baki peserta termasuk figura awam masih ditahan Israel dan akan dibawa pulang melalui negara ketiga.
  • Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar ke Gaza untuk memecahkan sekatan Israel dan membawa bekalan penting kepada penduduk Palestin.


Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pemeriksaan berkenaan, turut merangkumi sokongan psikososial dan mental yang akan dilaksanakan melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), secara berterusan.

"KKM akan memastikan sukarelawan yang kembali ini mendapat pemeriksaan menyeluruh, rawatan jika perlu, serta sokongan psikososial dan mental. Perkhidmatan ini akan disediakan secara menyeluruh dan berterusan melalui NCEMH," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah Wira MADANI 2025, di Hospital Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Sultan Idris Shah Dr Farique Rizal Abdul Hamid.

Beliau berkata KKM sentiasa peka dengan perkembangan semasa misi berkenaan dan akan terus memantau keadaan semua delegasi yang terlibat.

"Kita juga mendoakan agar baki sukarelawan yang masih ditahan dibebaskan segera. Solat hajat telah diadakan dan KKM bersama pasukan berkaitan sentiasa bersiap siaga untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan," katanya.

Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) sebelum ini mengesahkan enam sukarelawan misi GSF iaitu lima wakil Malaysia dan seorang wakil Brunei disahkan selamat tiba di tanah air, kelmarin.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim dilapor berkata mereka akan berada di SNCC bagi meneruskan penugasan bersama pasukan operasi termasuk menyalurkan maklumat terkini berkaitan misi GSF.

Enam individu berkenaan ialah Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Mohd Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid serta seorang sukarelawan Brunei, Rezahmaisalamah Md Yusof.

Selain itu, dua lagi wakil Malaysia kini berada di Amman, Jordan untuk membantu pasukan perundangan yang sedang menguruskan isu tahanan.

Manakala baki peserta misi yang ditahan pihak berkuasa Israel termasuk beberapa figura awam dan aktivis akan dibawa pulang melalui sebuah negara ketiga, sebagaimana disahkan Kementerian Luar.

Antara mereka ialah Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), artis Zizi Kirana, serta beberapa individu lain yang berada di kapal berasingan ketika misi dijalankan.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

-- BERNAMA





#Global Sumud Flotilla #Kementerian Kesihatan #Dzulkefly Ahmad #Gaza #pemeriksaan kesihatan