MALAYSIA

KKM tempatkan pakar perubatan di hospital luar bandar - Dr Dzulkefly

Bernama 11/11/2025 | 08:00 MYT
Dr Dzulkefly (foto) berkata langkah itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan lebih menyeluruh dan berkualiti dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mula menempatkan pakar perubatan termasuk pakar perubatan kecemasan serta perubatan dalaman di hospital luar bandar bagi memastikan khidmat kepakaran tidak hanya tertumpu di hospital utama.


Ringkasan AI
  • KKM tempatkan pakar perubatan di hospital luar bandar untuk perkhidmatan lebih menyeluruh dan berkualiti.
  • Rancangan melaksanakan prosedur pembedahan ringan di klinik kesihatan sebagai sebahagian daripada inisiatif pembaharuan.
  • KKM pantau keperluan operasi dan tanggungjawab petugas perubatan secara on-call bagi memastikan kecukupan dan kebajikan warga KKM.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan lebih menyeluruh dan berkualiti dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar.

"Hospital rujukan di negara ini tidak banyak. Bagi tangani isu itu, kita mula menempatkan beberapa pakar di hospital-hospital daerah utama iaitu hospital tersebut tidak mempunyai pakar secara tetap.

"... kita juga merancang untuk melaksanakan prosedur pembedahan ringan di klinik-klinik (kesihatan). Ini antara inisiatif pembaharuan yang akan terus kita pertingkatkan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang penempatan baharu bagi pakar-pakar perubatan tetap di luar bandar.

Dalam isu berasingan, Dzulkefly berkata KKM melaksanakan pemantauan dan penilaian berkala berhubung keperluan operasi dan tanggungjawab petugas perubatan secara atas panggilan atau on-call.

Beliau berkata hal berkenaan bagi memastikan jumlah pegawai yang bertugas adalah mencukupi selain menjaga kebajikan warga KKM.

"Jumlah pegawai perubatan yang bertugas secara on-call ditentukan berdasarkan keperluan perkhidmatan, beban kerja serta tahap kompleksiti kes di fasiliti kesihatan," katanya menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai sama ada jumlah doktor yang bertugas secara on-call kini mencukupi.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan khidmat kepakaran kesihatan merata di seluruh negara?
    A: KKM telah menempatkan pakar perubatan termasuk pakar perubatan kecemasan serta perubatan dalaman di hospital luar bandar bagi memastikan khidmat kepakaran tidak hanya tertumpu di hospital utama.
  • Q: Apakah inisiatif pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh KKM bagi meningkatkan khidmat kesihatan di luar bandar?
    A: KKM merancang untuk melaksanakan prosedur pembedahan ringan di klinik-klinik kesihatan sebagai salah satu inisiatif pembaharuan untuk memperbaiki khidmat kesihatan di luar bandar.
  • Q: Bagaimanakah KKM menjaga kecukupan pegawai perubatan yang bertugas secara on-call di fasiliti kesihatan?
    A: KKM melaksanakan pemantauan dan penilaian berkala untuk menentukan jumlah pegawai perubatan yang bertugas secara on-call berdasarkan keperluan perkhidmatan, beban kerja, dan kompleksiti kes di fasiliti kesihatan.



#Dzulkefly Ahmad #Dewan Rakyat #KKM #pakar perubatan #hospital luar bandar