KUALA NERUS: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 528 aduan melibatkan kegiatan pengamal pergigian haram di seluruh negara sejak 2017 hingga tahun lepas.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM Dr Noormi Othman berkata, daripada jumlah itu, 377 kes atau 71.4 peratus berkaitan pendakap gigi palsu, 58 kes (11 peratus) melibatkan venir pergigian dan 93 kes (19.6 peratus) melibatkan lain-lain aduan seperti pembuatan gigi palsu, cabutan gigi serta pemutihan gigi.

"Terdapat trend peningkatan jumlah aduan daripada 2017 hingga 2019 namun menurun bagi 2020 hingga 2021. Ini mungkin disebabkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap pengamal pergigian haram ataupun kesan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan kegiatan doktor gigi palsu.

"Oleh itu, kita bimbang fasa peralihan ke endemik ini akan menyebabkan kegiatan pengamal pergigian haram akan kembali meningkat," katanya sambil memaklumkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan kes aduan tertinggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen 'Say No To Fake Dentist!' Tahun 2022 anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JKNT Datuk Dr Kasemani Embong.

Dr Noormi berkata di Terengganu pula sebanyak tujuh kes direkodkan sejak 2014 hingga 2021 dengan kesemua Orang Kena Saman telah didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988 (Akta 586) dan dihukum di bawah Seksyen 5 (1) (a) (i) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata kebanyakan pengamal pergigian haram terdiri daripada golongan wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan melibatkan rakyat tempatan serta bukan warganegara.

Katanya golongan itu yang mengiklankan perkhidmatan pergigian melalui media sosial menjalankan kegiatan di pelbagai lokasi termasuk hotel, rumah persendirian dan rumah tumpangan bagi mengelak aktiviti dihidu pihak berkuasa.

"Kebanyakan pelanggan yang mendapatkan rawatan seperti pendakap gigi, venir dan pemutihan gigi adalah dalam kalangan belia dan remaja manakala yang mendapatkan rawatan cabutan gigi serta pembuatan gigi palsu adalah golongan dewasa dan warga emas.

"Bayaran dikenakan memang lebih murah. Contohnya, RM200 hingga RM600 untuk rawatan pendakap gigi iaitu jauh lebih rendah daripada rawatan oleh pengamal pergigian bertauliah di klinik swasta. Namun kita tidak boleh buat perbandingan kerana rawatan di klinik swasta sudah termasuk dengan rawatan susulan secara berkala dan sebagainya," katanya.

Dr Noormi berkata pihaknya juga percaya terdapat pengamal pergigian haram yang membuat kontrak perjanjian dengan pelanggan untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai rawatan gigi mereka.

"Pernah ada kes, mereka (pelanggan) datang ke klinik gigi kerana sakit selepas menerima rawatan daripada pengamal pergigian haram namun enggan mendedahkan butiran lanjut kerana telah tandatangani kontrak. Justeru, kita minta mereka yang pernah mendapatkan rawatan daripada pengamal pergigian haram tampil ke hadapan dan jangan risau kerana identiti pengadu akan dirahsiakan," katanya.

-- BERNAMA