Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

KKM terus beri kerjasama dengan AKPS banteras penyeludupan produk kesihatan - Menteri

Bernama 26/08/2025 | 14:10 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) meninjau kemudahan hospital semasa lawatan kerja rasmi ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar hari ini. - Foto BERNAMA
MUAR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi membanteras kegiatan penyeludupan produk kesihatan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain aspek penguatkuasaan, AKPS turut memainkan peranan penting dalam advokasi dan pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya produk kesihatan seludup.

Sejak ditubuhkan tahun lalu, objektif AKPS semakin jelas termasuk kejayaan terbaru mematahkan cubaan menyeludup ubat tidak berdaftar bernilai RM85,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya kepada media selepas lawatan rasmi ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini hari ini.

Menurutnya KKM akan terus menyertai pasukan AKPS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Imigresen serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Fokus penguatkuasaan adalah terhadap peraturan di bawah Akta Jualan Dadah serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Minggu lepas, media melaporkan AKPS berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 60,000 unit ubat daripada 30 jenis berbeza yang tidak berdaftar dengan KKM di KLIA Terminal 1.

Kenyataan AKPS menyebut penemuan itu dibuat selepas pegawai kastam mengesan imej imbasan mencurigakan pada empat bagasi milik seorang lelaki warganegara Bangladesh sebelum pemeriksaan terperinci dijalankan.

Sementara itu, KKM dalam kenyataan berasingan memaklumkan lawatan Dzulkefly ke HPSF bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan fasiliti berkenaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.



-- BERNAMA



#Kementerian Kesihatan #AKPS #penyeludupan produk kesihatan #Dzulkefly Ahmad