KKM tidak pernah peraku mana-mana produk, makanan gantikan ubat

Bernama
November 6, 2022 11:51 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memperakukan mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubat-ubatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memperakukan mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubat-ubatan.
KKM menerusi Facebooknya hari ini memaklumkan, ia termasuk insulin untuk merawat diabetes dan mengawal gula dalam darah seperti didakwa oleh sebuah portal baru-baru ini.
Menurut KKM tindakan itu tidak bertanggungjawab dan gambar yang digunakan telah diubah suai daripada laman sesawang portal http://myhealth.gov.my bagi tujuan mengelirukan orang awam.
"KKM menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan dan portal yang tidak diketahui kesahihannya," katanya.
-- BERNAMA
#KKM #produk makanan #ubat-ubatan #Kementerian Kesihatan