KKMM cadang tubuh Pusat Kawalan Komunikasi salur maklumat lebih pantas kepada rakyat

Hasimi Muhamad
September 22, 2021 10:18 MYT
Pada masa yang sama, Annuar berharap pusat-pusat internet komuniti akan dapat diubahsuai sebagai pusat penyaluran maklumat - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang menubuhkan Pusat Kawalan Komunikasi atau Command Centre bagi meningkatkan keberkesanan penyaluran maklumat kepada golongan sasar.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, penubuhan Pusat Kawalan Komunikasi membolehkan maklumat yang dikeluarkan oleh kerajaan dapat disampaikan dengan pantas.
"Satu kajian penelitian sedang dilakukan bagi membolehkan pusat kawalan komunikasi ini berfungsi dengan lebih berkesan supaya segala apa yang diputuskan kerajaan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar secara lebih tepat dan pantas," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Annuar berkata jentera Jabatan Penerangan termasuk di peringkat daerah akan turut diperkemaskan.
Beliau menambah, selain itu kementerian juga akan mempergiatkan penglibatan komuniti melalui 'Komuniti Keluarga Malaysia', yang merupakan satu bentuk kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat akar umbi bagi membolehkan mereka menyampaikan mesej-mesej kerajaan.
Pada masa yang sama, beliau berharap pusat-pusat internet komuniti akan dapat diubah suai sebagai pusat penyaluran maklumat.
"Pada masa ini ada hampir 800 pusat internet yang akan diubah menjadi pusat digital ekonomi Keluarga Malaysia. Dengan kemudahan yang ada, mereka akan turut membantu usaha-usaha kerajaan menyampaikan maklumat kepada masyarakat," katanya.

*Jom kita pantau apa Ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober; dan 10 hingga 11 Oktober di sini.
#KKMM #Dewan Rakyat #Annuar Musa #Command Centre #komunikasi