ALOR GAJAH: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperkenalkan Program 'Sandbox' Infrastruktur Jalan Pintar di jalan seluruh negara di bawah Kempen MYJalan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu merupakan satu daripada platform inovasi yang membolehkan integrasi teknologi dikaji dan diuji bagi urusan pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur jalan secara inklusif.

"Melalui program ini, KKR amat mengalu-alukan penglibatan pemain industri tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan untuk bersama-sama merealisasikan program ini, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien.

"Setakat ini, kita masih di peringkat pengumpulan idea daripada semua pihak industri pembinaan jalan agar pelaksanaan program dapat memberi impak positif kepada semua pihak sekali gus memanfaatkan 33.4 juta penduduk Malaysia yang menggunakan infrastruktur jalan negara," katanya kepada pemberita di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Program Pensijilan Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) 2023 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi program itu, inisiatif inovasi hasil daripada kepakaran dan pengetahuan sedia ada dalam kalangan kakitangan KKR dan agensi dapat diketengahkan untuk diuji keberkesanannya.

Katanya sebelum ini, program rintis jalan pintar berkenaan iaitu Sandbox Lebuhraya Pintar telah dilaksanakan Plus Malaysia Berhad dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) dan Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM).

Terdahulu, Nanta berkata Program Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR 2023 diharap akan terus memperkukuhkan reputasi jabatan itu sebagai agensi teknikal kerajaan yang unggul dan terulung.

Beliau berkata sepanjang program pensijilan itu dijalankan sejak lapan tahun lepas, sebanyak 2,513 pegawai berkepakaran tinggi dalam bidang teknikal berjaya dilahirkan.

Katanya program pensijilan itu melibatkan pelbagai disiplin kejuruteraan, arkitek dan ukur bahan bangunan yang telah diperakukan penganugerahan sijil kompetensi antaranya kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, ukur bahan dan pengurusan aset.

-- BERNAMA