MALAYSIA

KKR bakal laksana sistem pengauditan luar bagi syarikat konsensi lebuh raya

Bernama 03/11/2025 | 07:30 MYT
Nanta (kiri) meluangkan masa melawat reruai pameran selepas merasmikan Konvensyen Penyenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik My-ASEAN (MY-ARTTE) 2025 di MITEC hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya dijangka akan melaksanakan sistem pengauditan luaran bagi syarikat konsesi lebuh raya bermula awal tahun depan, dalam usaha memastikan kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan mengikut piawaian terbaik.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya akan laksana pengauditan luaran terhadap syarikat konsesi lebuh raya mulai awal tahun depan bagi memastikan kerja penyelenggaraan jalan mengikut piawaian terbaik.
  • Audit berkala oleh juruaudit luar ganti audit dalaman JKR atau syarikat konsesi, selaras dengan kontrak baharu dan usaha meningkatkan kualiti penyelenggaraan.
  • Malaysia giat integrasi teknologi pintar dan kejuruteraan mampan melalui Pelan Induk ITS 2030, termasuk pemantauan masa nyata, AI untuk penyelenggaraan, serta penggunaan bahan mesra alam dan asfalt kitar semula.


Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selaras dengan langkah itu, setiap syarikat yang mengurus penyelenggaraan jalan, akan diaudit secara berkala oleh juruaudit luar, bukan lagi bergantung kepada juruaudit dalaman oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau syarikat konsesi itu sendiri.

"Awal tahun depan banyak syarikat konsesi akan tamat kontrak. Syarikat yang mengerjakan penyelenggaraan jalan akan diaudit dari semasa ke semasa oleh juruaudit luar.

"Sekarang pun sudah ada permintaan untuk cadangan (RFP) semula untuk kawasan-kawasan tertentu. Kita minta dari luar membantu buat pengauditan luaran, supaya kita pastikan kerja-kerja yang dibuat itu siap dengan kadar yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Konvensyen Penyenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 di Pusat Pameran dan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Sementara itu Nanta berkata konvensyen berkenaan diadakan bagi menekankan kepentingan penyelenggaraan lebuh raya serta jalan raya di negara ini, dan ia bukan sekadar pembinaan semata-mata.

"Kita tidak mahu situasi jika kita kurang melaksanakan kerja penyelenggaraan, jalan-jalan raya kita cepat rosak dan sebagainya," katanya.

MRMC dan My-ARTTE 2025 merupakan platform strategik dan inovatif di rantau ini untuk pemain industri sektor jalan raya dalam membentuk masa depan mobiliti serta kesalinghubungan rangkaian jalan raya di ASEAN.

Acara ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, peneraju industri, penyedia teknologi dan inovator berautoriti untuk memupuk kerjasama, perkongsian amalan terbaik serta pengalaman teknologi pintar ke arah visi Infra-Pintar dan Selamat di rantau ini.

Ketika berucap pada pelancaran tersebut Nanta berkata melalui Pelan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Kebangsaan 2030, Malaysia kini mempercepatkan pengintegrasian sistem pengangkutan pintar, pemantauan data masa nyata, serta penyelesaian penyelenggaraan berasaskan kecerdasan buatan (AI) ke dalam rangkaian nasional.

"Kita juga sedang memperkembangkan kejuruteraan mampan dengan menggunakan bahan mesra alam, asfalt kitar semula dan kaedah pembinaan cekap tenaga, bagi memastikan infrastruktur negara menyokong matlamat ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

"Inilah cara kita mempersiapkan infrastruktur Malaysia untuk masa depan -- dengan membiarkan teknologi memacu kecerdasan, dan kecerdasan memacu kemajuan," katanya.

Nanta berkata, kementerian telah merangka tiga keutamaan strategik yang akan membentuk dasar infrastruktur negara bagi dekad akan datang, iaitu pengintegrasian digital, kejuruteraan mampan dan inovasi kolaboratif.

-- BERNAMA





#Kementerian Kerja Raya #sistem pengauditan luaran #Alexander Nanta Linggi #syarikat konsesi lebuh raya