KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor yang mengalami kelewatan, siap sepenuhnya pada Jun ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau telah dimaklumkan oleh pegawai KKR berhubung perkara berkenaan dan setakat ini, projek itu berbaki dua peratus sahaja yang belum siap seperti dinyatakan Kementerian Pertahanan sebelum ini.

"Di peringkat KKR menerima baik pesanan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai kelewatan projek tersebut) untuk melawat dan melihat keadaan di sana," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Menteri Kerja Raya Bersama Warga Industri Lebuh Raya di Dewan Tan Sri M. Yusuff, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini.

Menurut Alexander, beliau akan menghadap Sultan Ibrahim dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu kelewatan projek pembinaan kolam selam tempur itu dan siasatan terperinci mengenainya masih dijalankan untuk memberi keadilan kepada semua pihak terlibat.

Pada Isnin lepas, Sultan Ibrahim menitahkan pihak bertanggungjawab membina kolam selam tempur berkenaan untuk memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Seri Paduka Baginda yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan selain papan tanda projek telah dirobohkan.

Dalam perkembangan lain, Alexander berkata KKR menerima baik cadangan pembinaan jajaran lebuh raya baharu menghubungkan antara Tanjung Malim ke Lumut, kerana ia merupakan keperluan untuk menangani kesesakan jalan raya.

"Kita faham bahawa kawasan itu ada keperluannya malah dalam mesyuarat Kabinet (pagi tadi) pun dibincangkan keperluannya (untuk membina lebuh raya antara Tanjung Malim ke Lumut)," katanya sambil menambah cadangan projek berkenaan masih di peringkat perbincangan.

Pada 16 April, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembinaan lebuh raya berkenaan perlu dilaksanakan susulan projek Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim akan mula beroperasi bagi memudahkan perkhidmatan logistik dieksport melalui Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).


- Bernama