KOTA BHARU: Kementerian Kerja Raya (KKR) memantau rapi 50 projek sakit yang dikenal pasti daripada keseluruhan 865 projek di bawah kementerian bagi memastikan pelaksanaannya kembali mengikut jadual.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada keseluruhan projek itu, kira-kira 5.7 peratus berada dalam kategori projek sakit, manakala di Kelantan hanya tujuh daripada 104 projek di bawah KKR dikenal pasti sebagai projek sakit.
Beliau berkata antara punca kepada isu ini adalah masalah kewangan dan pengurusan syarikat, selain isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta kewujudan lot timbul yang tidak dikenal pasti pada peringkat awal pelaksanaan projek.
“Setiap projek sakit di Malaysia memang kita kawal dan pantau rapi supaya kita boleh putuskan sama ada ia perlu ditamatkan atau sebaliknya.
“Namun, apabila peratusan projek sakit itu hampir siap, iaitu kira-kira 10 hingga 15 peratus mungkin kita boleh bagi lanjutan masa (EOT) memandangkan kalau kita tamatkan (projek) berkenaan kos akan lebih meningkat untuk melantik kontraktor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaik Taraf Jalan FT209 dan FT131 Dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor Ke Panchor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata isu projek sakit turut dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Pasca-Kabinet bagi meneliti perkembangan semasa serta mengenal pasti langkah penyelesaian yang perlu diambil bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut jadual.
“Saya juga sudah melantik timbalan saya sebagai mengetuai serta memantau projek sakit di seluruh negara agar tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Setiap minggu perkara ini akan dipantau.
“Bagi projek yang didapati gagal menunjukkan prestasi memuaskan tindakan akan diambil termasuk ada kontraktor yang telah digugurkan dan ditamatkan,” katanya sambil menambah bahawa keputusan ini dibuat dengan teliti dan berdasarkan tatakelola untuk mengelak sebarang risiko tindakan undang-undang.
Sementara itu, mengulas mengenai projek menaik taraf jalan FT209 dan FT131, Alexander berkata projek berkenaan melibatkan nilai kontrak sebanyak RM191 juta dan dijadualkan siap pada September tahun depan.
Beliau berkata tujuan utama pembinaan projek ini bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT131, memandangkan jalan sedia ada dari Kubang Kerian ke Sabak dan seterusnya ke Pengkalan Chepa sudah berada pada tahap kritikal dengan kesesakan setiap hari.
“Projek yang membabitkan laluan sepanjang enam kilometer itu setakat ini sudah mencapai 71.61 peratus kemajuan fizikal projek semasa dengan melibatkan nilai kontrak RM191 juta. Sementara itu, kos pengambilan tanah melibatkan 300 lot tanah yang perlu diambil melibatkan kos melebihi RM200 juta.
“Kita juga menerima permohonan daripada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari yang turut hadir pada hari ini untuk menyelesaikan isu banjir yang dihadapi oleh penduduk setempat disebabkan pelaksanaan projek ini.
“Untuk mengatasi masalah ini saya sudah mengarahkan kontraktor terlibat untuk membina parit sementara dengan kadar segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk setempat, sehingga projek ini selesai pada tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA