MALAYSIA
KKR perlu RM4 bilion setahun bagi kerja selenggara, naik taraf sepenuhnya jalan raya
Anwar turut hadir pada Rumah Terbuka Pesta Gawai anjuran KKR di Kompleks KKR di sini pada Rabu. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan hampir RM4 bilion bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya sepenuhnya di seluruh negara, setiap tahun.
Ringkasan AI
- Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan hampir RM4 bilion setiap tahun untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan raya di seluruh negara, namun tidak menerima peruntukan sebanyak itu dan perlu melaksanakan kerja secara berperingkat.
- Keutamaan diberikan kepada jalan raya yang mengalami kerosakan kritikal, dengan semua maklumat dan keperluan pembaikan telah direkodkan dalam data kementerian.
- Kenyataan ini dibuat susulan kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, yang menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan jalan berisiko tinggi, walaupun JKR Perak menafikan pencahayaan jalan sebagai punca utama nahas.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, bagaimanapun jumlah itu terlalu tinggi KKR tidak mendapat peruntukan sedemikian.
Justeru, katanya KKR terpaksa menggunakan peruntukan tahunan yang diterima dengan sebaik mungkin dan melaksanakan kerja secara berperingkat mengikut keutamaan.
“Kita sudah ada maklumat jalan raya yang harus dibaiki dan kementerian juga tahu berapa keperluan dari segi kewangan kalau kita mahu baiki semua jalan di negara kita. Kita memerlukan RM4 bilion.
“Jadi kita tidak mempunyai kewangan sebegitu dan kita harus buat secara berperingkat dan semua maklumat itu telah pun ada dalam data kita.
“Sebab itu kita harus lakukan semua kerja-kerja ini menggunakan peruntukan yang diberi dari setahun ke setahun.
"Dalam masa sama pihak kementerian akan memberi keutamaan kepada jalan raya yang mengalami kerosakan kritikal untuk dibaiki segera," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Pesta Gawai anjuran KKR di Kompleks KKR di sini pada Rabu.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai senarai jalan raya berisiko tinggi susulan kemalangan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik dekat Tasik Banding, Gerik baru-baru ini, yang mengorbankan 15 orang.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilapor berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh, menurun dan tidak mempunyai pencahayaan jalan.
Namun Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menafikan dakwaan bahawa keadaan gelap di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, merupakan punca utama nahas jalan raya berkenaan.