KKR tegaskan penyenggaraan berkualiti melalui konvensyen nasional

Konvensyen tiga hari yang berlangsung dengan jayanya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu turut menjadi sebahagian daripada program MyJalan iaitu sebuah inisiatif nasional. - Gambar KKR
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan penyenggaraan berkualiti dan berterusan menjadi asas utama kepada keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Konvensyen Penyenggaraan Jalan Malaysia (KPJM) 2025 menjadi platform penting bagi menyelaras standard penyelenggaraan jalan, selain memperkukuh kefahaman awam terhadap tanggungjawab bersama dalam memastikan infrastruktur negara kekal selamat dan lestari.
Menurutnya, konvensyen tiga hari yang berlangsung dengan jayanya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu turut menjadi sebahagian daripada program MyJalan iaitu inisiatif nasional yang digerakkan bagi menggalakkan budaya penyenggaraan jalan berkualiti dan berterusan.
“Hari ini program MyJalan diperluaskan dalam bentuk lebih besar melalui Konvensyen Penyenggaraan Jalan Malaysia dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik ASEAN yang pertama seumpamanya di Malaysia dan di peringkat ASEAN.
“Saya berbesar hati melancarkannya dan berharap menjadi titik pertemuan untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam menjadikan jalan kita sentiasa berkualiti, mampan, lestari, selamat dan selesa,” katanya.

Nanta Linggi ketika menyampaikan ucapan dalam Konvensyen Penyenggaraan Jalan Malaysia (KPJM) 2025. - Gambar KKR
Sejak dilancarkan, MyJalan berkembang daripada sebuah hab sehenti untuk melaporkan kerosakan jalan kepada gerakan nasional yang menyatukan kerajaan persekutuan, pihak berkuasa tempatan, pemilik jalan, kontraktor serta penyedia teknologi dalam satu ekosistem penyelenggaraan yang lebih sistematik.
“Setiap jalan yang dijaga rapi adalah lambang keyakinan rakyat kepada kerajaan, melambangkan tekad kita untuk memastikan setiap perjalanan menggunakan jalan raya di Malaysia sentiasa selamat, lancar dan lestari,” tambahnya.
Dalam pada itu, majlis pecah tanah Projek Penyuraian Trafik Lebuhraya PLUS Sungai Dua–Juru turut dijadualkan berlangsung pada 8 November ini, dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Projek itu kita anggap sebagai sangat penting untuk menangani masalah kesesakan di kawasan tersebut. Ini bukan isu baharu, malah keluhan daripada pengguna jalan telah lama kita dengar. Sebab itu projek ini diutamakan dan disegerakan pelaksanaannya,” ujarnya.
PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, pakej pertama bagi projek berkenaan telah dimulakan dengan Naza Engineering and Construction Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor utama melalui proses tender terbuka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


