KUALA LIPIS: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyatakan kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir terutama sewaktu musim tengkujuh yang bakal tiba kira-kira tiga bulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya akan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BIGBen) yang mana ia akan beroperasi mengikut kepada keadaan semasa.

“Kita akan aktifkan Bilik Gerakan Bencana dan kita akan sentiasa bersedia dari segi jentera jentera di peringkat daerah, negeri dan pusat.

“KKR akan mengkoordinasi segala gerakan untuk kita memastikan bahawa jalan akan sentiasa boleh diakses dan sekiranya ada laluan tidak dapat diakses, kita akan bekalkan maklumat supaya ada laluan-laluan alternatif.

“Ia sebagai memberi panduan kepada pasukan keselamatan dan mereka yang ingin membantu dalam menghadapi bencana terutama dari segi keselamatan, bekalan ubat-ubatan dan makanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pembaikan jalan runtuh susulan bencana banjir berhadapan Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Lipis pada Khamis.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut memaklumkan KKR akan terus berada pada mod berjaga-jaga dalam menghadapi risiko berlakunya cerun runtuh di beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Kita akan melaksanakan segala kerja-kerja untuk memperbaiki ataupun menjalankan kerja preventif supaya ia dapat dipelihara daripada keruntuhan,” jelasnya lagi.

Bercakap mengenai pascabanjir di Pahang, Fadillah menjelaskan kos bagi kerja-kerja penyenggaran sejak hujung 2021 sehingga Ogos 2022 adalah sebanyak RM400 juta dan ia merangkumi pembaikan cerun, jalan raya dan jambatan yang rosak.

Terdahulu, Fadillah melakukan kerja tinjauan pembaikan infra pascabanjir, penyenggaraan jalan Persekutuan dan projek infrastruktur awam.

Ia sebagai sebahagian daripada lokasi tinjauan di bawah Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak yang berlangsung sehingga Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya JKR, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan.