MALAYSIA

KL Accord: Diplomasi Anwar, rundingan ATM realisasi perjanjian Thailand-Kemboja - Panglima ATM

Bernama 24/10/2025 | 04:15 MYT
Semalam Anwar dilaporkan berkata pemeteraian akhir rundingan dua negara itu akan disaksikan beliau dan Presiden AS Donald Trump. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Diplomasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disusuli rundingan berterusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara faktor utama berjaya merealisasikan perjanjian Kuala Lumpur Accord (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja yang dijadualkan dimeterai Ahad ini ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan rundingan ATM berjaya merealisasikan KL Accord antara Thailand dan Kemboja, yang akan dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
  • KL Accord bertujuan memastikan pematuhan gencatan senjata, dengan pemantauan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) bagi menjamin keamanan di sempadan kedua-dua negara.
  • Perjanjian ini diharap memulihkan hubungan diplomatik dan ekonomi penduduk sempadan selepas krisis yang menjejaskan pergerakan dan aktiviti ekonomi.


Bercakap kepada Bernama hari ini, Panglima ATM Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata Anwar telah memainkan peranan penting menerusi kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN, dengan segera berunding bersama rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja yang membawa kepada persetujuan gencatan senjata pada 28 Julai lepas.

"Tanpa pengaruh dan kepimpinan Perdana Menteri, ia (gencatan senjata) tidak mungkin terlaksana. Usaha turut diterajui Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan melalui beberapa siri pertemuan dan 'pasukan' dari Amerika Syarikat (AS)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata persetujuan gencatan senjata memerlukan tindakan susulan segera di peringkat tentera bagi memastikan ia dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak terlibat.

Mohd Nizam berkata beliau telah mengadakan siri rundingan dan perbincangan dengan rakan sejawat dari Thailand dan Kemboja sejak permulaan gencatan senjata hingga tercapainya persetujuan KL Accord yang bakal dimeterai itu.

KL Accord, menurut beliau amat penting untuk memastikan kedua-dua angkatan tentera Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat serta mematuhi perjanjian yang akan dimeterai.

"Saya telah mengadakan rundingan demi rundingan dan perbincangan bersama rakan sejawat di kedua-dua negara sejak mula gencatan senjata sehinggalah persetujuan untuk KL Accord yang penting bagi memastikan kedua-dua angkatan tentera mencapai kata sepakat dan mematuhi perjanjian yang bakal dimeterai.

"Sebagai jaminan pematuhan, Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) telah ditubuhkan sebagai satu inisiatif untuk memantau dan memastikan perkara serta tindakan dilaksanakan sebagaimana dipersetujui.

"Alhamdulillah, melalui hubungan yang baik antara ATM dan angkatan tentera negara anggota ASEAN, mereka telah bersetuju untuk sama-sama menyumbang kepada kejayaan AOT nanti. Kesepakatan ASEAN adalah jelas melalui kerjasama yang diberikan sepanjang krisis ini," katanya.

Mohd Nizam berkata pemeteraian KL Accord diharap akan memulihkan semula kegiatan ekonomi penduduk yang tinggal di sempadan kedua-dua negara anggota ASEAN itu serta memulihkan hubungan antara mereka.

Beliau berkata konflik sempadan dua negara sebelum ini bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan diplomatik, tetapi juga menggugat kelangsungan hidup penduduk setempat.

"Pintu sempadan telah ditutup sejak krisis bermula. Ia menggugat penduduk dari segi ekonomi, kebebasan pergerakan dan memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi serta pergerakan rentas sempadan secara sah di kawasan terbabit," katanya.

Semalam Anwar dilaporkan berkata pemeteraian akhir rundingan dua negara itu akan disaksikan beliau dan Presiden AS Donald Trump.

Selepas gencatan senjata dipersetujui pada 28 Julai, telah diadakan perbincangan peringkat sekretariat antara Thailand dan Kemboja yang membincangkan terma rujukan (TOR) pemantauan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN interim dan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AOT), yang seterusnya membawa kepada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 7 Ogos.

Dalam Mesyuarat Luar Biasa di Wisma Perwira di sini itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.

Pada 10 Sept lepas, 10 pegawai daripada Pasukan Pemerhati Interim (IOT) berlepas ke Kemboja bagi melaksanakan misi pemantauan terhadap perjanjian gencatan senjata antara negara itu dengan Thailand.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad hingga Selasa ini, yang akan membincangkan pelbagai isu berkaitan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan".

-- BERNAMA






#diplomasi Anwar #KL Accord #Panglima ATM #gencatan senjata #Thailand #Kemboja #ASEAN25