KL Park Festival 2025 tarik ribuan pengunjung, serentak Sidang Kemuncak ASEAN

Dari kiri: Pooi Kwan, Mohd Amirul dan Mohd Fakhrun.
KUALA LUMPUR: KL Park Festival 2025 di Taman Tasik Titiwangs terus mencuri tumpuan apabila ribuan pengunjung membanjiri kawasan itu sejak ia dibuka pada 17 Oktober lalu.
Festival yang berlangsung sehingga 26 Oktober ini mengetengahkan pelbagai aktiviti berkonsepkan alam semula jadi, seni dan budaya, menjadikan lokasi itu tumpuan warga kota serta pelancong dalam dan luar negara.
Pengunjung, Mohd Amirul Razali berkata beliau mengetahui mengenai festival tersebut melalui Facebook dan tertarik untuk hadir kerana ia ditawarkan secara percuma.
“Saya dapat tahu dari Facebook, ada pameran bunga dan masuk pula percuma. Anak-anak memang suka tengok pokok bunga, jadi saya ambil peluang bawa mereka sempena cuti Deepavali ini,” katanya.Sementara itu, Mohd Fakhrun Hanif pula tidak menyangka akan menemui festival tersebut ketika datang ke taman berkenaan untuk bersiar-siar dan berjoging.
“Saya ambil peluang singgah ke gerai jualan tumbuhan, bunga dan kaktus. Lepas ini mungkin saya akan cuba makanan dan lihat tarikan Mystical Titiwangsa,” katanya.
Bagi Ho Pooi Kwan, beliau mengetahui tentang festival itu melalui TikTok dan memilih untuk berkelah terlebih dahulu sebelum menyertai aktiviti yang ditawarkan.
“Ibu saya memang minat bunga, jadi kami datang bersama untuk menikmati suasana,” katanya.

Hayani Abdul Rahim berkata, minat terhadap bunga dan taman mendorongnya mengajak suami berkunjung ke festival ini sempena cuti hujung minggu.
Bagi Hayani Abdul Rahim, minat terhadap bunga dan taman mendorongnya mengajak suami berkunjung ke festival ini sempena cuti hujung minggu.
"Saya yang ajak suami saya sebab saya minat bunga. Saya minat pergi taman, jadi alang-alang cuti cuti hari ini saya ajak suami datang jalan-jalan sini," katanya.

Wan Zuraidah Abdul Samad mengetahui tentang festival ini melalui rakannya yang bekerja di DBKL selepas melihat status WhatsApp rakannya itu.
Wan Zuraidah Abdul Samad pula mengetahui tentang festival ini melalui rakannya yang bekerja di DBKL selepas melihat status WhatsApp rakannya itu. Beliau teruja untuk hadir kerana menganggap ia peluang terbaik menikmati keindahan alam semula jadi.
"Saya dapat tahu melalui rakan, dia kerja DBKL. Saya tengok melalui WhatsApp status dia, macam menarik tempat ni. Itu yang teruja nak datang harini. Dekat mana lagi nak tengok alam semula jadi kalau bukan di sini," katanya.
Lebih istimewa, penganjuran kali ini diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN 2025, menjadikan Kuala Lumpur pusat perhatian serantau.
Festival ini juga menampilkan acara seperti KL Genta: Festival Gendang dan Tarian, ASEAN Halal Food Festival, ASEAN Sculpture Garden serta pelbagai persembahan seni yang mencerminkan kepelbagaian budaya rantau ini.
Masuk adalah percuma, dengan kemudahan tempat letak kenderaan percuma dan perkhidmatan ulang-alik disediakan untuk pengunjung.
Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, penganjuran kali ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat dan kelestarian bandar, malah menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti serantau melalui seni, budaya dan inovasi hijau.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.klparkfestival.com atau mengikuti Instagram dan Facebook rasmi KL Park Festival.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami