[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

KLIA kini kedua tersibuk di Asia Tenggara, rapat jurang dengan Changi

Bernama 10/09/2025 | 12:22 MYT
Sehingga September ini, KLIA catat 3.32 juta tempahan tempat duduk iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. - Bernama
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Asia Tenggara, menurut data terbaharu OAG Aviation, penyedia analisis perjalanan global yang berpusat di United Kingdom.

Sehingga September ini, KLIA mencatatkan 3.32 juta tempahan tempat duduk iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, Lapangan Terbang Changi, Singapura mendahului senarai di rantau ini dengan 3.58 juta tempahan tempat duduk manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia berada di tempat ketiga.

Pengarah Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Narentheren Kaliappen berkata, pencapaian KLIA itu lebih daripada sekadar statistik kerana ia mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan menyeluruh Malaysia sejak pandemik.

"Aliran trafik penumpang di KLIA menggambarkan peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia sekali gus menunjukkan momentum yang kukuh dan tahap keyakinan yang semakin meningkat.

"Syarikat penerbangan kini memperluaskan laluan mereka melalui Malaysia dan semakin banyak pelancong memilih KLIA bukan sahaja sebagai tempat transit tetapi juga sebagai hab destinasi," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Narentheren memaklumkan bahawa Malaysia merekodkan kira-kira 27 juta pelawat antarabangsa pada 2024 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 31 juta tahun ini, iaitu peningkatan 15 peratus.

Beliau berkata pertumbuhan ini meletakkan asas kukuh kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) oleh kerajaan yang menyasarkan kedatangan 45 juta pelawat dan pulangan sebanyak RM270 bilion.

Dari segi persaingan di rantau ini, Narentheren berkata Lapangan Terbang Changi di Singapura kekal menjadi penanda aras utama dengan pengendalian kira-kira 69 juta penumpang pada tahun lepas.

Namun, KLIA semakin merapati jurang tersebut dengan kira-kira 57 juta penumpang manakala Lapangan terbang Soekarno-Hatta Airport, Jakarta juga kekal antara yang tersibuk dengan kira-kira 49 hingga 55 juta penumpang setahun.

"Perkara sebenarnya di sini ialah momentum. KLIA berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan banyak pihak dan pertumbuhan ini meletakkan kita lebih kukuh dalam liga lapangan terbang yang penting untuk kesalinghubungan di rantau ini," katanya.

Beliau berkata lonjakan ketibaan pelancong juga mencerminkan keyakinan baharu pengembara antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi yang selamat, stabil, mesra dan menarik.

Narentheren menegaskan memilih destinasi bukan sekadar membeli tiket penerbangan tetapi juga melibatkan keyakinan bahawa negara tersebut adalah selamat, bersih dan menawarkan pengalaman yang baik.

"Fakta bahawa syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan dan membuka semula laluan ke KLIA membuktikan permintaan adalah kukuh. Dengan erti kata yang mudah, keyakinan yang kita lihat sekarang adalah asas kepada pertumbuhan pelancongan pada masa depan," katanya.

Melihat ke hadapan, Narentheren berkata KLIA perlu terus menangani cabaran kapasiti, mempertingkatkan pengalaman penumpang dan mempergiat inisiatif hijau untuk mengekalkan pertumbuhannya.

Tambah beliau memperluaskan laluan jarak jauh, terutama ke Amerika Utara, Afrika dan bandar-bandar kecil di Eropah, juga akan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau.

"Malaysia sentiasa berhasrat untuk KLIA menjadi lebih daripada sekadar lapangan terbang negara. Pencapaian terbaharu ini menunjukkan kita semakin hampir untuk merealisasikan hasrat tersebut terutamanya dengan kelebihan berganda daripada syarikat penerbangan premium seperti Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan kos rendah bertaraf dunia seperti AirAsia," katanya.

Narentheren juga berkata prestasi KLIA secara langsung menyokong cita-cita ekonomi Malaysia, dengan pulangan pelancongan dijangka mencecah RM125.5 bilion pada 2025.

"Ia mengukuhkan ekonomi tempatan daripada sektor hotel hingga kepada pengendali pengangkutan dan peruncit selain mewujudkan pekerjaan dan membina jenama antarabangsa Malaysia.

"Secara ringkasnya, apabila KLIA berkembang pesat bukan sahaja sektor penerbangan yang mendapat manfaat tetapi seluruh ekonomi turut maju bersamanya," katanya.

-- BERNAMA

#KLIA #OAG aviation #perjalanan global #tempahan tempat duduk #changi #lapangan terbang tersibuk