BATU CAVES: Di sebalik kibaran Jalur Gemilang dan laungan merdeka, ada semangat yang diterjemahkan dalam bentuk yang cukup bermakna.
Klinik Sivananda yang dikendalikan Divine Life Society, di sini sejak lebih empat dekad lalu, membuka pintunya kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan rawatan secara percuma tanpa mengira kaum atau agama.
Pakar Kardiologi, Datuk Seri Dr K Balachandran berkata, selain rawatan biasa seperti demam, selesema dan batuk, pesakit turut mendapatkan rawatan luka ringan termasuk jahitan dan dressing, selain nebulizer bagi membantu melegakan masalah pernafasan.
Beliau berkata, klinik berkenaan terbuka kepada semua dengan hanya satu syarat iaitu mempunyai kad pengenalan.
Menurutnya, kewujudan klinik itu amat bermakna terutama dalam keadaan kos mendapatkan rawatan di klinik swasta yang semakin meningkat.
"Kalau pergi klinik swasta, bayaran untuk berjumpa doktor sahaja boleh mencecah RM35 hingga RM50, (itu) belum termasuk kos ubat.
"Bagi sesetengah masyarakat, jumlah itu mungkin membebankan. Jadi, tujuan kami adalah untuk membantu mereka mendapatkan rawatan dan ubat secara percuma.
"Kalau dicampurkan (ubat), sekurang-kurangnya RM90 dan ubat itu mungkin hanya untuk tiga atau empat hari. Sebab itu tujuan kami adalah menyediakan klinik amal yang memberikan rawatan dan ubat secara percuma," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Divine Life Society, di sini pada Isnin.
Balachandran menambah, bagi kes yang memerlukan rawatan lanjut, pesakit akan dirujuk ke Hospital Selayang, dengan pihak klinik turut berhubung dengan hospital berkenaan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya.
Beliau berkata, kepuasan terbesar sepanjang memberikan khidmat sukarela adalah apabila melihat pesakit yang datang mendapatkan rawatan kembali sihat, malah ada antara mereka yang terus mengingati klinik berkenaan dan kembali bersama keluarga.
Menurutnya, senyuman dan ucapan terima kasih daripada pesakit yang pernah dibantu sudah cukup menjadi ganjaran, sekali gus mendorongnya untuk terus berkhidmat selepas bersara dari Institut Jantung Negara (IJN).
Tambah beliau, Klinik Sivananda beroperasi dari pukul 6 petang hingga 8 malam, Isnin hingga Sabtu dan digerakkan doktor serta petugas perubatan secara sukarela.
Dalam pada itu, Balachandran memberitahu, Klinik Sivananda juga bakal menghidupkan semula perkhidmatan pergigian percuma yang sebelum ini dihentikan sementara, mulai Sabtu ini.
Beliau berkata, kos rawatan pergigian yang semakin tinggi menyebabkan sebahagian masyarakat memilih untuk menangguhkan atau tidak mendapatkan rawatan gigi, terutama apabila berdepan kekangan kewangan.
Kata beliau, rawatan seperti scaling dan prosedur tertentu boleh diberikan melalui janji temu, manakala kes yang memerlukan cabutan gigi boleh dirawat segera bergantung kepada penilaian doktor.
Sementara itu, Presiden Divine Life Society, Swami Samyamananda berkata, sejak ditubuhkan pada 1956, Divine Life Society pula menjadikan kerja amal antara teras perjuangannya dalam mendekati masyarakat, menyemai nilai kemanusiaan serta memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, kerja amal bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan, sebaliknya memberi peluang kepada sukarelawan memahami kesusahan masyarakat dan perkara yang boleh dilakukan untuk meringankan beban mereka.
"Bila kita buat kerja amal, kita dapat faham kesusahan masyarakat dan apa yang patut kita lakukan," katanya.
Menurut Swami Samyamananda, selain perkhidmatan kesihatan, Divine Life Society turut melaksanakan pelbagai program kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
"Antaranya termasuk bantuan bulanan kepada ibu tunggal, pendidikan kanak-kanak, kelas yoga, kelas komputer serta pelbagai program kebajikan untuk masyarakat.
"Meskipun objektif Divine Life Society adalah untuk mengajar Hinduisme, namun teras perjuangannya yang disemai ini bukan sekadar membantu komuniti India, sebaliknya turut memberi khidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama," katanya.
Menurutnya, semangat untuk terus berbakti itu selari dengan prinsip yang dibawa Divine Life Society, yang menekankan kehidupan berlandaskan nilai kemanusiaan, khidmat kepada masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan.