SERDANG: Kementerian Pendidikan (KPM) dan kementerian lain yang terlibat dalam mengendalikan asrama diminta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan jumlah kluster pendidikan terus meningkat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal mungkin agak sukar dilaksanakan di sekolah asrama namun peringatan perlu terus disampaikan kepada pelajar.

Begitupun, menurut Khairy, kesan COVID-19 kepada pelajar dalam Kluster Pendidikan tidaklah begitu teruk kerana kebanyakan kes hanya dalam Kategori 1 dan 2.

“Bagi sekolah harian pula, ibu bapa yang ada anak bergejala, buat ujian saringan kendiri. Kalau tak sempat buat ujian kendiri, tolong jangan hantar anak ke sekolah sehingga melakukan ujian.

“Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan jelas tunjukkan bahawa kalau anak anda ada gejala seperti batuk, demam, hilang deria, buat ujian kendiri atau kalau tiada kit ujian, jangan bawa mereka ke sekolah.

“Ini akan banyak bantu kurangkan kes jangkitan di sekolah. Sekarang ini ada kanak-kanak yang pergi sekolah tapi positif. Akibatnya, akan menjangkiti rakan sekelas dan tutup satu kelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian KKM di Hospital Serdang pada Khamis selepas menghadiri Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di hospital tersebut.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan jumlah kluster pendidikan COVID-19 dilihat meningkat dengan ketara pada minggu Minggu Epidemiologi (ME) pada 22 Februari lepas dengan 92 kluster dilaporkan pada ME 7/2022, berbanding 61 kluster pada ME 6/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) mencatatkan 367 kluster pendidikan sejak 1 Januari hingga 19 Februari lepas, dan daripada jumlah itu 346 kluster masih aktif manakala 21 kluster telah tamat.

Beliau berkata walaupun terdapat trend penurunan kluster pendidikan pada ME 5/2022 disebabkan cuti sambutan Tahun Baharu Cina, namun trend itu dilihat kembali meningkat pada ME 6/2022 dan ME 7/2022 berkadaran dengan peningkatan kes yang ketara di seluruh negara.

Katanya, negeri yang merekodkan kluster pendidikan paling tinggi ialah Kelantan (54 kluster), diikuti Selangor (49 kluster), Pahang (38 kluster), Kuala Lumpur (37 kluster), dan Sabah (34 kluster).