KLWBC 2020: Mengenal Pyanhabib lelaki sunyi yang berani

Zainal Rashid Ahmad
Ogos 24, 2020 05:57 MYT
Pyanhabib adalah sebahagian sejarah bagi dekad baca puisi jalanan yang turut dipelopori Nasir Jani, Kopratasa, Kamarool Yusof dan Ladin Nuawi. - Gambar Pyanhabib
PADA penghujung dekad 80-an dengan imej rambut panjang dan berwajah serius, Pyanhabib tidak kelihatan sebagai lelaki peramah.
Wajahnya serius dan sentiasa berjalan pantas. Walaupun kerap kelihatan ketawa berdekah dan dikenali di filem sebagai pelakon yang lucu - dia bukan totok komedian.
Ketika muda dan mula menyerap populariti di dunia hiburan dan dikenali di bidang kesusasteraan - Pyanhabib sebenarnya lelaki sunyi.
Pada dekad 80-an, ketika muda dan mudah dikenali dengan imej rambut panjang dan denim lusuhnya - dia sebenarnya lebih banyak menyendiri di Rumah Anak Alam.
Hakikatnya, Pyanhabib sukar didekati kalau bukan teman rapat. Tanpa sesi jenaka - wajahnya kekal serius dan sebenarnya dia memang seorang yang selesa bersendirian.
Pada 1987 - Pyanhabib sudah popular kerana sudah membintangi filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ).
Walaupun bergelar bintang layar lebar, Pyanhabib lebih terkenal di kalangan peminat sastera kerana imejnya yang "rugged" serta cara deklamasi puisinya yang unik.
Vokalnya yang lantang walaupun nada bacaannya monotonous. Aksinya yang energetik menjadikan penampilannya selalu mendapat perhatian.
Tiap kali membaca puisi di jalanan Kuala Lumpur terutama di Pasar Seni atau Pasar Malam Jalan Tunku Abdul Rahman - Pyanhabib sentiasa tampil meriah dan riuh-randah.
Pyanhabib sejak usia mudanya sudah punya aura dan karismatik yang tersendiri apabila membaca puisi.
Namun, Pyanhabib yang sama adalah lelaki paling sunyi ketika menghabiskan waktu-waktunya di Rumah Anak Alam.
Pertama kali melihat Pyanhabib ketika Perhimpunan Penyair Muda (PPM) 1987 di Padang Merbok - dia nampak meriah, hiper dan bersemangat.
PPM 87 diadakan di Bangunan KBN dan kini Bangunan Aswara.
Pyanhabib pada masa mudanya sangat ketara bergaya seperti 'hippie'.
Stailnya kasual tetapi bakatnya menakjubkan. Tampil dengan jeans lusuh, kameja dan sesekali memakai "ramayana", Pyanhabib nampak lain daripada yang lain.
Sekalipun luarannya kasual; sebagai penyair - ketajaman puisinya sangat menikam.
Siapa Pyanhabib
Mohd Supyan bin Abdul Rahman dilahirkan 27 Mei 1958 di Taiping, Perak.
Pyanhabib selalu bergurau kampungnya sebagai US (Ulu Senduk).
Sejak bertemu dan berjabat tangan di celah-celah 300 lebih perserta PPM 87, saya mengaguminya.
Walaupun sangat "hippie" tetapi puisinya sangat vokal dan idealistik.
Sejak muda Pyanhabib memang jelas pengkritik sosial. Apabila muncul di Baca Puisi Bawah Tiang Lampu sekitar Pasar Seni pada 1987 - Pyanhabib dan puisi-puisinya menjadi subjek utama tontonan.
Orang ramai yang lalu-lalang akan terpukau mendengar cara Pyanhabib membaca puisi.
Suaranya unik dan stailnya yang sentiasa terinjak-injak kerana keasyikan mendeklamasikan puisi menjadi satu "drama jalanan".
Seterusnya tali pengikat dan tarikan luar biasa menyebabkan penonton memenuhi lengkung laman persembahan.
Pyanhabib dilihat sebagai seniman jalanan dan pada masa sama bintang popular kerana sudah sering muncul di layar perak.
Selain filem KSJ, Pyanhabib juga muncul dalam Tsu Feh-Sofiah (1986), Tak Kisahlah Beb(1989) dan Mat Som (1990).
Pyanhabib adalah sebahagian sejarah bagi dekad baca puisi jalanan yang turut dipelopori Nasir Jani, Kopratasa, Kamarool Yusof dan Ladin Nuawi.
Kisah Pyanhabib
Pyanhabib akan dikenang kerana sajak "Suara". Sesuatu yang ikonik dan sentimental bagi yang menganggap dirinya merindukan suara atau bunyi.
Namun, saya menganggap itu pandangan skeptis. Pyanhabib bukan watak mendatar hingga sejarah fizikal dan peribadi perlu dijadikan ikatan cetek pada cara kita menilai kehebatan kepenyairannya.
Saya petik sebahagian sajak suara
seringkali terdesir dan menyelinap, ke penjuru ruang kamar pengap
siapakah yang datang mengetuk pintu itu, dan memanggil-manggil namaku
aku tidak pasti meskipun berkali-kali, engkau kususuri
suara
suara
suara
di manakah suara itu, ke manakah menghilang
sepi pun menurun, aku menjadi rindu
suara
suara
suara
sepi berguling, pada tebing bukit-bukit bening
pedih memilu, resah mengerang
pada jurang gaung-gaung garang,pahit mengilu
(Petikan puisi Suara)
Selama empat dekad sebagai penyair, Pyanhabib tidak terperangkap dalam "dunia dirinya".
Puisi-puisinya ialah susunan roman hidup dengan naratif kritik sosial dan politik.
Kiita harus membaca karya Pyanhabib tanpa membaca dirinya yang fizikal.
Sebagai penyair dan individu awam - Pyanhabib kekal konsisten dalam kritikan politik.
Ada yang menganggap dirinya "kiri". Namun, kalau kita mengikuti sejarah Pyanhabib sejak era puisi jalanan - suara kekal tanpa kiri dan kanan.
Pyanhabib sentiasa lurus dan konsisten sebagai pengkritik sosial.
Sejak dekad 80-an, Pyanhabib tegar mengkritik dengan keras dan berani. Malah, puisi-puisi kritik politik sudah dilaungkannya sejak sekian lama.
Saya petik sajak dekad 80-an yang selalu dibacanya di Pasar Seni.
"kisah sejarah dan hadis nabi
jadi hafalan bapaku bistari,
rakyat marhaen ditabur janji
tiada siapa tahu
bapaku gaji bermata dua,
sondol sana sondol sini,
dia main tutup mata,
orang-orang kampung terlopong,
melihat dengan mata terbuka
bapaku yb dinegara demokrasi,
aku anak bertuah tidak pernah mengundi
diajarnya aku berotak pintar,
untuk hidup mesti terlebih ajar,
oh alangkah bertuah aku anak bapa"
(Petikan puisi Bapaku Seorang YB)
Mengenali Pyanhabib sebenarnya mengenali seorang penyair tegar dan berani. Kritik politik ialah senjatanya sejak empat dekad lalu.
Tanpa perlu prasangka kepartiam atau jersi politik - Pyanhabib kekal sebagai penyair yang lantang dan berani.
Itu watak kekal Pyanhabib muncul pada hari pertama sebagai seniman yang menulis dan membaca puisi-puisinya.
Saya saran anda membaca bukunya Balada Pyanhabib terbitan Institut Terjemahan Buku Negara.
Pyanhabib ada di situ melalui himpunan sajak-sajak kerasnya sejak lama dulu.
#2020 #Anak Alam #Buku #Dunia #Ibu Kota #KLWBC #Kuala Lumpur #penulis #penyair #Pyanhabib #sajak