NAMA Nasir Jani akan kekal sebagai "The Angry Young Man" bagi senario dunia real dekad 80-an.
Pengarah filem dan drama yang "daring", rebel dan pencetus minda baharu bagi generasi zamannya.
Nasir Jani bukan setakat nama; tetapi tanda dagang bagi seniman yang mahukan naratif seni bukan setakat karya - tetapi suara aktivis yang berani berdiri sebagai individu.
Nasir Jani sang pelawan dengan catatan sejarahnya yang tersendiri. Malah, guru hidup dan "gambino" bagi lingkaran kartel seniman zamannya.
Mengapa Nasir Jani gambino?
Jawabnya mudah. Generasi Nasir Jani menentang "mafia industri" dan "mafia politik". Dekad 80-an adalah puncak jenayah "money laundry" dalam dunia seni.
Zaman urus niaga jenayah "lanun cetak rompak" yang dikuasai mafia ekonomi hitam dan pihak berkuasa yang korupsi.
Jenayah yang menyedut ratusan juta keuntungan dengan menyedut darah hasil kerja seni industri muzik.
Filemnya "Kembara Seniman Jalanan" (KSJ, 1986) ialah protes sinematik yang membuktikan bahawa suara seni Nasir Jani berlawan secara "kreatif tetapi brutal".
Perlawanan kasar yang akhirnya berlarutan sampai luar filem.
Ini heroiknya Nasir Jani. Walaupun harga pembalasan pihak berkuasa dan konspirasi lanun turut menjejaskan kerjayanya.
Nasir Jani mengangkat KSJ sebagai naratif perlawanan menentang lanun cetak rompak serta naratif sindiran kepada pihak berkuasa.
Itu kemarahan yang menyebabkan kerajaan bertindak balas, menyekat rezeki dan menyenaraihitamkan namanya.
Apa pun perlawanan Nasir Jani menyalakan gerakan anti cetak rompak secara besar-besaran.
Kumpulan pendesak di kalangan pemain industri mula sepakat apabila lanun cetak rompak mula meluaskan jenayahnya merangkumi industri filem.
"Lanun bijak bersembunyi sejak zaman P. Ramlee dan kami tersedar dari mimpi ngeri bahawa sekian lama selama sejak zaman P. Ramlee," kata Nasir Jani.
Kesedaran ini menjadikan Nasir Jani dipenuhi dendam.
Saya saksi zaman sukar yang dihadapi Nasir Jani. Hukuman pemulauan terhadap hasil seninya menyebabkan pintu pendapatannya ditutup rapat di semua tempat.
Melihat seorang Nasir Jani
Ketika ingin belajar celik filem dan drama TV oada 1989, saya bekerja hampir setahun dengan lelaki garang dan sentiasa tegas dan ganas dengan imej rambut panjangnya.
Saya bermula sebagai budak gulung wayar dan pembantu penata seni dalam tiga dramanya "Kaset", "Gigolo" dan "Namaku Shima".
Nasir Jani tidak melangkah masuk ke dunia filem pada 1986 sekadar kerana ini berkreatif. Dia menyertai generasi rebelnya - dan menjadikan filem sebagai alat perlawanan yang agresif.
"Dalam kelompok aktivis filem, saya dan kawan-kawan macam Johan Jaafar, Mansor Puteh, arwah Dr Anuar Nor Arai, Hanapiah Samad, Ku Seman, Hassan Mutalib dan Meor Hashim Manap serta grup teater Dinsman mahukan sesuatu yang baharu," kata Nasir Jani.
Saya mewawancara Nasir Jani secara panjang lebar melalui WhatsApp. Selain menjelaskan kepada "sifu" perspektif artikel yang ditulis bakal menjadi sudut pandang peribadi saya terhadap dirinya.
Malah, saya mengingati banyak memori ketika melihat zaman gigihnya bekerja, berkelahi dan berperang dengan pelbagai pihak dalam memerangi "musuh".
"Kau tengok lanun cetak rompak, masih ada di mana-mana. Bertan-tan duit seniman tempatan dikopak dan dirompak," kata Nasir Jani.
Dialog ini saya dengar ketika kami minum kopi di rumahnya pada 1989. Saya kerap bermalam di rumah Nasir Jani kalau ada penggambaran.
Karektor keras Nasir Jani boleh difahami. Ketika itu industri muzik memilih untuk berdiam diri. Malah, ada syak wasangka "mafia dan lanun" berada dari dalam industri sendiri.
Ekonomi hitam cetak rompak sangat strategik. Kuasa wang "lanun" mampu membeli undang-undang.
Itu punca Nasir Jani jadi "ganas" dan liar memerangi musuh industri selama 20 tahun.
Apabila isu cetak rompak kekal berleluasa dan krisis ini menyeret pertembungan Nasir Jani dengan penguasa politik, suara perangnya makin lantang.
Nasir Jani tidak hanya bercakap dalam karya. Dia bertempur sebagai aktivis di luar platform karya kreatif dan ini melengkapkan profilnya sebagai angkatan "The Angry Young Man".
Seniman adalah pelawan
Seniman adalah aktivis. Bukan bersembunyi di balik karya.
Nasir Jani percaya perjuangan melawan tidak datang hanya dengan visual sinema. Perang melawan ekonomi hitam turut melibatkan korupsi dan penyelewengan kuasa.
Ini menjadikan kesukaran menghapuskan lanun jadi berganda.
Justeru, suara Nasir Jani bergema keras di luar filem. Dia sangat lantang pada zamannya.
Apabila melangkah ke dewan seminar perfileman atau diskusi - malah siaran langsung di TV - suara keras dan pandangan anti koruptornya menyebabkan banyak pihak berasa gementar.
Tapi itulah Nasir Jani. Dia tidak disenangi "tuan-tuan berkepentingan". Namun, pada dekad 80-an dan 90-an, Nasir Jani tidak pernah berhenti melawan.
Dalam wawancara melalui WhatsApp - itu juga berpesan pada anak muda hari ini. Bahawa, perlawanan satu keperluan.
"Anak muda hari ini mesti terus berani membongkar isu-isu ketidakadilan sosial, rasuah dan bencana yang melibatkan jati diri bangsa," jawabnya.
Kata Nasir Jani, bahan karya atau kandungan kreatif dalam kerja seni filem, muzik, buku dan teater adalah senjata perlawanan berkesan.
Nasir Jani lahir 1954 (66 tahun) dan dirinya sangat dipengaruhi oleh muzik folk, rock dan blues. Dia mengajar saya mendengar Grand Funk Railroad dan The Who.
Kami berkongsi naratif yang sama terhadap Bob Marley, Bob Dylan dan Bono U2.
Muzik woodstock dan naratif hippie banyak menjadikan Nasir Jani melihat keperluan perlawanan yang real sebagai obsesi realistik sebagai seniman.
Nasir Jani pembeli risiko. Itu tanda dagang yang nyata dalam filem KSJ.
Filem Rozana Cinta '87 (RC87) juga mencipta pembaharuan. Walaupun bernafaskan tema remaja, filem ini mengangkat permasalah dunia percintaan yang rumit dalam latar komplikated dekad 80-an.
Drama Funfair (1985) sangat obses mengkritik sikap tepu minda Melayu. Manakala drama Kaset, Namaku Shima dan Gigolo (1989) meneroka jauh pelebaran cerita.
Nasir Jani gemar meneroka elemen muzikal, psiko dan psikik gelap orang Melayu. Malah, skandal seksual puak elit.
Keluar tinggalkan tabu
Kejayaan terbesar Nasir Jani ialah drama Lela Sari (1990) dengan latar awal abad ke-20 yang dipenuhi gelombang kebangkitan kaum muda yang berperan nasionalisme.
Nasir Jani punya sebab dengan semua penerokaan pembaharuan yang diperjuangkan secara peribadi dan rakan segenerasi.
"Kami mahu keluar daripada stail Jalan Ampas dan legasinya yang mengikat filem Melayu apabila berpindah ke Kuala Lumpur," kata Nasir Jani.
Sebagai anak muda yang mendapat pendidikan seni di Institut Teknologi Mara (sekarang UITM), pengarah rebel ini mahukan perubahan drastik.
"Kami mahu suara filem yang kontemporari dan sifatnya mengangkat isu-isu kontroversi secara lebih berani," katanya.
Aspirasi itulah yang melahirkan filem-filem dekad 80-an yang lebih dinamik. Antaranya, Abang, Mekanik, Kami dan Matinya Seorang Patriot.
Itu senarai kerja seni mewakili generasi "The Angry Young Man" yang mencetus dan mengisi warna perfileman Melayu.
Malah, meningkatkan naratif filem sebagai teks bertulis yang panas dan menjadi lebih keras apabila divisualkan ke layar lebar.
Nasir Jani juga aktif menulis pada era 80-an sebagai kolumnis akhbar.
Pada April 2016, Nasir menerbitkan koleksi artikelnya melalui buku memoirnya bertajuk Brader, Kita Mesti Terus Hidup!
Selain merebel dalam filem dan drama, suara keras Nasir Jani terakam sebagai penulis lirik bagi zaman rock kapak.
Nasir Jani tidak boleh dipisahkan sebagai sebahagian era hebat itu dengan lirik-lirik lagu yang konsiten dan menyentuh isu rasuah.
Lagu Satelit Puaka dan Bazooka Penaka (Wings) sangat keras dan agresif mengkritik budaya korup.
"Kesimpulannya, kami berani rebel dan langgar apa yang belum diterokai terutama isu politik dan kritik sosial," jawabnya melalui WhatsApp.
Nasir mengakui, sebagai pembaca, dirinya dipengaruhi tiga buah buku yang memberikan aspirasi terhadap kerja seni dan pemikiran kritisnya.
Buku The Painted Bird, The Devil Tree dan Cockpit karya Jerzy Konsiski (1933-1991).
"Buku-buku ini mempengaruhi saya untuk memahami perangai dan sisi gelap manusia serta membantu mencipta watak-watak dalam karya saya," katanya.
Mengenai novel ke filem, Nasir Jani memilih novel Shit karya Shahnon Ahmad (1999) sebagai teks yang ingin difilemkannya.
"Saya ingin menghasilkan Shit dalam bentuk filem melalui gabungan realiti dan animasi," jawabnya mengakhiri pandangan.
________________________________________________________________________________
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Zainal Rashid Ahmad
Fri Jun 05 2020
Nasir Jani mengangkat KSJ sebagai naratif perlawanan menentang lanun cetak rompak serta naratif sindiran kepada pihak berkuasa. -Gambar FB Nasir Jani
Bangunan baharu MOM di Bukit Jalil diharap jadi motivasi tingkat prestasi atlet - Ahmad Zahid
Beliau berkata pembinaan bangunan baharu itu telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, bagi pihak kerajaan.
Aaron-Wooi Yik Olimpian Tahunan 2024
Ia mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka menyumbang pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Berakhirnya pemerintahan Baath Syria buka jalan kepada keamanan - Erdogan
Erdogan mengulangi komitmen Turkiye untuk terus menyokong golongan tertindas di seluruh dunia.
Kesan kenaikan cukai import minyak sawit oleh India bersifat sementara - KPK
Kenaikan itu sebahagian daripada usaha India melindungi harga minyak tempatan dan menyokong industri pertanian domestiknya.
Ketiadaan akauntabiliti antarabangsa bolehkan Israel lakukan jenayah terhadap rakyat Palestin - PM Mustafa
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Wakil Khas Kesatuan Eropah untuk Proses Keamanan Asia Barat Sven Koopmans pada Rabu.
Qatar akan buka semula kedutaan di Damsyik selepas 13 tahun
Doha akan membuka semula kedutaannya di Syria tidak lama lagi selepas memuktamadkan pengaturan yang diperlukan.
Pusat Data Bagan Datuk bakal jadi pencetus perubahan ekonomi digital global
Ia bagi menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden dan membuka peluang dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Rusia: Penipu curi puluhan juta dolar melalui pusat panggilan ditahan
Penipu yang mencuri puluhan juta dolar daripada penduduk lebih 20 negara melalui tiga pusat panggilan telah ditahan di Moscow.
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Pemain dram Chicago Blues, Sam Lay meninggal dunia
Lay meninggal dunia di pusat jagaan warga emas di Chicago pada Sabtu akibat sakit tua.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Koleksi kenangan Bob Dylan dijual hampir setengah juta dolar
Koleksi kenangan Dylan yang dimiliki Glover termasuk transkrip temubual yang dijalankan Glover dengan ada tulisan tangan Dylan.
KLWBC2020: Filem sebagai teks perlawanan
Nasir Jani mengangkat KSJ sebagai naratif perlawanan menentang lanun cetak rompak serta naratif sindiran kepada pihak berkuasa.
KLWBC 2020: Lirik lagu mengubah dunia
Muzik Bob Dylan sangat statik selama enam dekad. Kekuatan utamanya pada irama blues dan folk yang mewakili jiwa Minnesota.
Bob Dylan akhirnya terima Hadiah Nobel, lebih tiga bulan selepas majlis anugerah
Penyanyi dan penulis lirik Bob Dylan dianugerahkan Hadiah Nobel dalam kesusasteraan pada Sabtu di satu majlis khas di Stockholm, Sweden.