Kolaborasi dan kesepakatan yang padu antara polis dan masyarakat perlu terus diperkasakan demi mewujudkan negara yang aman dan sejahtera, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata polis dan masyarakat tidak dapat dipisahkan, rakyat dan pasukan keselamatan saling memerlukan bantuan masing-masing.

Tambahnya, konsep kepolisan masyarakat atau 'community policing' telah diterapkan dalam perancangan dan pelaksanaan polis, terutamanya aspek pencegahan jenayah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mendokong konsep kepolisan masyarakat ke arah mewujud dan melahirkan kefahaman, kepercayaan serta tanggungjawab dua hala antara polis dan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.

"Visi PDRM dalam aspek ini adalah untuk memberi kesedaran atas keperluan tanggungjawab bersama, antara rakyat dan polis ke arah mengurang serta menidakkan peluang untuk jenayah berlaku," katanya ketika berucap pada perbarisan sempena peringatan Hari Polis Ke-208 di dataran kawad Pulapol di sini, hari ini.

Khalid berkata pasukan keselamatan itu terus mengorak langkah walaupun menghadapi pelbagai kecaman daripada pihak tertentu yang tidak berpuas hati di samping cabaran semasa yang sentiasa berubah.

"Alhamdulillah, semua cabaran ditangani dengan baik, malah pelbagai transformasi turut dilakukan polis untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.

Mengenai indeks jenayah, Khalid berkata ia mencatatkan penurunan iaitu 128,544 kes pada 2014 berbanding 147,062 kes pada 2013, penurunan sebanyak 18,518 kes atau 12.6 peratus.

Jenayah kekerasan turut menunjukkan penurunan 3,950 kes atau 13.4 peratus, sementara jenayah harta benda pula mencatat penurunan kes 14,568 atau 12.4 peratus, katanya.

Sehubungan itu, Khalid menyeru rakyat negara ini supaya terus menyokong dan memberi kerjasama sebagai pemangkin kelestarian dalam usaha mewujudkan kawasan sifar jenayah, dengan menjadi 'mata dan telinga' kepada polis dalam menjaga keamanan negara.