KUALA LUMPUR:Isu membabitkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR boleh diselesaikan jika semua pihak duduk berbincang dan saling mendengar.

Yang Dipertua Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MIMBAR) Selangor, Datin Seri Ismalina Ismail berpendapat, kata sepakat boleh dicapai jika pihak ibu bapa, sekolah dan kerajaan saling bekerjasama dan memainkan peranan dengan baik.

"PdPR di bawah ruang lingkup pentadbiran sekolah. Tetapi mengikut pengalaman saya sendiri, pihak sekolah, apabila mendapat cadangan penambahbaikan daripada PIBG, mereka tidak ada masalah untuk menerima dan disesuaikan dengan keadaan.

"Saya puji usaha guru-guru yang mengambil inisiatif sendiri, seperti adakan kelas di waktu malam kerana mahu mengatasi masalah kekurangan peranti di rumah.

"Ada juga yang membuat pengajaran dengan cara kreatif seperti menggunakan YouTube untuk menarik minat murid-murid kekal fokus," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.

Ismalina berkata, kolaborasi pihak sekolah dengan Kementerian Pendidikan boleh dilakukan bagi mencari cara yang lebih berkesan untuk melaksanakan PdPR.

"Mungkin boleh diadakan kolaborasi dengan bahagian teknologi dan sumber KPM, untuk membolehkan material pengajaran disiarkan bukan sahaja melalui internet tetapi juga di televisyen.

"Pendekatan ini boleh membantu murid-murid dalam membuat ulang kaji, malah boleh juga membantu memberi panduan kepada ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah," katanya.


AWANI Ringkas: PdPR: Kerajaan perlu pertingkat jaringan internet | PdPR: Apa rasional terbaik?


PdPR | Apa harapan ibu bapa?