Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada Isnin mula memperketatkan kawalan di pintu-pintu masuk ke Malaysia sebagai langkah pencegahan wabak kolera babi dan African Swine Fever (ASF).

Ia susulan penularan jangkitan kolera babi yang dikesan di Jepun pada Ahad yang merupakan kali pertama ia dilaporkan di negara itu sejak 26 tahun lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata walaupun tiada kes jangkitan tersebut dikesan di Malaysia setakat ini, usaha pemantauan di pintu-pintu masuk negara tetap dilaksanakan.

Quaza turut menegaskan bahawa wabak ini tidak berbahaya kepada manusia dan hanya menjangkiti ternakan tersebut.

“Kami telah berjumpa dengan pemegang kepentingan dan juga Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi mengetatkan kemasukan produk-produk daripada negara yang dijangkiti penyakit ini.

“Kami juga tingkatkan kawalan di pintu masuk supaya tiada kemasukan produk-produk babi secara tidak sah.

“Selain itu, kami juga telah memaklumkan kepada pengusaha-pengusaha ladang supaya mereka mengambil langkah kawalan untuk mengurangkan risiko jangkitan dari kemasukan barangan dan babi dari negara yang dijangkiti ke dalam ladang mereka,” kata Dr Quaza Nizamuddin.

Tambahnya, Malaysia mempunyai kira-kira 1.6 juta ternakan itu di mana penularan virus ini boleh melumpuhkan industri bernilai RM2.6 bilion ini kerana tiada rawatan untuk membunuh virus berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Malaysia diisytiharkan bebas daripada ASF sejak virus itu dikesan berleluasa di Benua Asia sejak 3 Ogos lalu.