Kolokium Timbang Tara Antarabangsa bincang kedaulatan negara 9 Mei ini

Mirlen Axtius
Mei 5, 2023 07:04 MYT
Jelas Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, kolokium itu diadakan bagi memberi pencerahan lebih terperinci berkaitan status semasa isu tuntutan pihak mendakwa waris kesultanan Sulu. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Satu Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 yang bertajuk Kedaulatan dan Kekebalan Negara dalam Timbang Tara Komersial akan diadakan pada 9 Mei ini.
Menerusi satu kenyataan media oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kolokium itu diadakan bagi memberi pencerahan lebih terperinci berkaitan status semasa isu tuntutan pihak mendakwa waris kesultanan Sulu.
Kolokium yang dianjurkan oleh Asian International Arbitration Centre (AIAC), Universiti Malaya dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan memberi fokus kepada kesan Konvensyen Award Timbang Tara Antarabangsa (Konvensyen New York) dan kekebalan kedaulatan negara.
Jelas Khairul, kolokium yang sama juga dirancang untuk diadakan di negeri Sabah dan beberapa negara antaranya United Kingdom selepas ini.
"Selain itu, kerajaan juga mengambil usaha diplomatik berterusan melalui Kementerian Luar Negeri bagi menerangkan isu sebenar dan implikasi tindakan penuntut ini di negara-negara lain," katanya.
Pada masa sama, Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, satu sekreteriat khas ditubuhkan bagi menangani tuntutan ini secara lebih sistematik dalam menangani tuntuan Penuntut di Perancis, Belanda Sepanyol dan Luxembourg.
#Kolokium Timbang Tara Antarabangsa #Sulu #Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud #Sabah