[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Pimpinan Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan ikut langkah sama. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

[KOLUMNIS] 2026: Krisis peralihan serentak

Syirfan Indra Mitra Surya Hussin 30/12/2025 | 04:35 MYT
2026 bukan kegagalan sistem, tetapi fasa peralihan tegang. Ekonomi gig tanpa perlindungan sosial, legitimasi kuasa rapuh, AI mendahului etika, serta keletihan psikologi menjadi norma baharu.
TAHUN 2026 tidak wajar dijangka sebagai tahun ancaman sistem global, tetapi sebagai fasa ketegangan peralihan. Dunia masih berfungsi dengan baik. Ekonomi bergerak, institusi beroperasi, teknologi berkembang namun semakin ramai merasakan sesuatu yang tidak selari. Situasi dirujuk sebagai polycrisis (Tooze, 2022), situasi di mana pelbagai krisis (ekonomi, politik, geopolitik, alam sekitar, sosial) berlaku serentak dan saling berkait, menyebabkan kesan buruk yang jauh lebih besar daripada jumlah gabungan krisis tersebut, lalu menimbulkan ketidakstabilan dan ketidakpastian global yang kompleks.


Ringkasan AI
  • Ekonomi global mengalami ketidakpastian dengan lebih 60 peratus pekerjaan baharu terdiri daripada kontrak jangka pendek dan kerja fleksibel, menyebabkan pertumbuhan upah yang rendah dan ketiadaan perlindungan sosial.
  • Institusi politik dan pentadbiran masih beroperasi, tetapi keabsahan moral semakin rapuh dengan tahap kepercayaan awam yang rendah dan penggunaan teknologi yang tidak disertai undang-undang dan etika yang jelas.
  • Keletihan psikologi menjadi gejala senyap yang makin serius, dengan bilangan gangguan kesihatan mental dan kematian akibat bunuh diri yang meningkat, menuntut usaha kolektif untuk mengurus krisis peralihan yang kompleks.


Ekonomi Ketidakpastian sebagai Norma Baharu

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan lebih 60 peratus pekerjaan baharu global kini berada dalam kategori tidak tetap. Ia dilabel sebagai kontrak jangka pendek, kerja gig dan pekerjaan fleksibel. Apa yang pada awalnya dipersembahkan sebagai fleksibiliti kerja kini berkembang menjadi model ekonomi baharu yang mengubah hubungan antara kerja, keselamatan dan pendekatan sosial.

Pada masa sama, laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mendapati pertumbuhan produktiviti terus meningkat sekitar 2-3 peratus setahun. Ia tidak seiring dengan pertumbuhan upah sebenar di banyak negara kekal sekitar 0.5–1 peratus.

Laporan Bank Dunia pada 2023 pula menganggarkan terdapat lebih 435 juta pekerja gig di seluruh dunia. Angka ini dijangka terus meningkat selari dengan pertumbuhan pantas platform digital. Jelas pertumbuhan ini tidak disertai dengan perlindungan sosial seperti caruman pencen, insurans kesihatan atau jaminan pendapatan minimum.

Seperti yang diingatkan oleh sejarawan ekonomi, Karl Polanyi bahawa pasaran yang berkembang tanpa perlindungan sosial akan mencetuskan tekanan balas masyarakat. Ekonomi gig menjadi contoh jelas bagaimana inovasi ekonomi yang tidak disertai reka bentuk perlindungan boleh menghakis ketahanan sosial secara senyap.

Ahli sosiologi Ulrich Beck juga telah lama mengingatkan bahawa masyarakat moden sedang bergerak ke arah risk society iaitu masyarakat yang maju, tetapi sentiasa hidup dalam ketidakpastian yang diciptanya sendiri. Pada 2026, amaran ini menjadi realiti harian: ketidakpastian bukan lagi gangguan sementara, tetapi struktur ekonomi itu sendiri.

Kuasa Tanpa Legitimasi, Teknologi Mendahului Kebijaksanaan Sosial

Institusi politik dan pentadbiran masih beroperasi, namun keabsahan moralnya semakin rapuh. Indeks Kepercayaan Edelman secara konsisten melaporkan tahap kepercayaan awam terhadap institusi utama seperti nehara, media dan agensi korporat berlegar sekitar 30 hingga 40 peratus di banyak negara. Penyertaan pengundi pula menurun, dengan beberapa negara merekodkan kadar keluar mengundi di bawah 65 peratus.

Ahli teori politik David Easton membezakan antara sokongan terhadap sistem dan sokongan terhadap pihak berkuasa. Pada 2026, sokongan prosedural masih wujud, tetapi sokongan normatif semakin terhakis. Kepatuhan berlaku bukan kerana kepercayaan, tetapi kerana ketiadaan pilihan alternatif.

Kemajuan teknologi bergerak dengan kelajuan yang tidak seiring dengan adaptasi sosial. Dalam ekosistem digital, lebih 70 peratus kandungan kini dihasilkan atau dibantu oleh sistem automasi dan kecerdasan buatan.

Namun hanya sekitar 20 peratus negara mempunyai kerangka undang-undang dan etika kecerdasan buatan yang menyeluruh. Shoshana Zuboff, aktivis terkenal menegaskan bahawa masalah utama bukan teknologi itu sendiri, tetapi struktur kuasa yang mengawal penggunaannya. Di sudut lain, ketidakadilan teknologi akan menjadi sumber ketegangan sosial baharu.

Keletihan Psikologi sebagai Gejala Senyap

Salah satu kesan paling nyata tetapi jarang dibincangkan ialah keletihan psikologi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih satu bilion orang di seluruh dunia hidup dengan ancaman gangguan kesihatan mental dan kemurungan.

Di tempat kerja pula, WHO dan ILO melaporkan bahawa 15 peratus dewasa dalam usia bekerja hidup dengan ancaman gangguan mental pada satu-satu masa. Selain itu, kajian serantau menunjukkan kadar burnout di kalangan pekerja Asia Tenggara berada pada paras sekitar 59–63 peratus, satu fenomena yang dikaitkan dengan tekanan kerja yang berpanjangan, beban kerja tinggi dan keseimbangan kerja/hidup yang kurang memuaskan. Angka ini akan terus mengalami kenaikan selaras dengan ancaman lain.

Angka bunuh diri global juga menunjukkan kadar yang menggerunkan. Menurut WHO, sekitar 727,000 orang mati akibat bunuh diri pada 2021, menjadikan penyebab ketiga utama kematian di kalangan remaja dan dewasa muda umur 15–29 tahun. Di negara berpendapatan rendah dan sederhana kematian berlaku sebelum umur 50 tahun dan majoriti (73 peratus).

Dalam konteks negara, contohnya United Kingdom, terdapat 7,055 kematian akibat bunuh diri pada 2023. Jumlah lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan lelaki bawah 50 tahun terutamanya terjejas. Di Malaysia, statistik menunjukkan peningkatan dari 981 kes pada 2022 kepada 1,087 kes pada 2023-2024. Ia pastinta menjadi trend yang turut dibimbangi oleh Kementerian Kesihatan.

Penyertaan komuniti dan aktiviti sukarela turut menurun antara 15 hingga 25 peratus di kawasan urban. Ahli psikologi sosial menyifatkan keadaan ini sebagai chronic adaptation stress apabila manusia sentiasa dipaksa menyesuaikan diri tanpa ruang pemulihan. Kesannya bukan sekadar keletihan individu, tetapi penghakisan empati dan kepercayaan sosial.

Krisis Peralihan, Bukan Kegagalan

Maka, 2026 tidak akan menandakan kegagalan sistem secara total. Jika tidak diuruskan, ia hanya menandakan kegagalan mengurus peralihan. Sejarawan ekonomi Karl Polanyi menegaskan bahawa masyarakat akan sentiasa bertindak balas apabila perubahan ekonomi memusnahkan perlindungan sosial. Sejarah menunjukkan masyarakat jarang runtuh kerana perubahan semata-mata; ia runtuh apabila perubahan berlaku tanpa kebijaksanaan peralihan.

Atas apa pun alasan yang bakal dinyatakan, usaha kolektif dan holistik merapatkan jurang krisis peralihan ini mesti jadi keutamaan.

Selamat Tahun Baru 2026.



* Penulis ialah sarjana media dan penyelidik naratif digital yang memberi tumpuan kepada transformasi kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan transformasi wacana awam.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.







#kesihatan mental #tahun 2026 #ketidaktentuan ekonomi #keletihan psikologi