NATIONAL

[KOLUMNIS] 218 Tahun PDRM: Benteng keselamatan, teras keharmonian

Maziatul Syima Rusly 25/03/2025 | 01:00 MYT
Penulis mengucapkan Selamat Menyambut Hari Polis Ke-218 kepada semua wira negara yang bekerja tanpa mengira masa dan kalis cuaca. 'Terima kasih di atas segala pengorbanan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi.' - Gambar hiasan/BERNAMA
POLIS dan Masyarakat Berpisah Tiada merupakan tema yang amat bertepatan dan sentiasa relevan untuk diguna pakai merujuk kepada senario dahulu, semasa dan akan datang berhubung kaitan di antara masyarakat dan polis. Tahun ini memasuki tahun ke-218 sambutan Hari Polis di Malaysia. Sebuah institusi yang amat disegani dan mungkin juga amat ditakuti oleh segelintir ahli masyarakat.
Mengimbau kenangan hampir dua dekad yang lalu, apabila perlu menjalani Modul Polis di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, Kuala Lumpur dan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak hampir dua minggu lamanya yang merupakan salah satu modul wajib bagi peserta Diploma Pengurusan Awam (DPA). Berpeluang memakai seragam Sang Saka Biru dan menjalani latihan seperti rekrut yang baru melapor diri untuk menjadi pegawai polis. Difahamkan bahawa latihan yang dijalani tidak mencapai walau 2% daripada latihan sebenar yang dilalui oleh seorang pegawai kanan polis. Walaupun begitu, beban yang dirasakan amat berat ditambah pula terpaksa bermain dengan terik mentari dan pacat di hutan menjadikan ianya pengalaman hidup yang amat bermakna dan sukar untuk dilupakan.
Pada waktu siangnya dipaksa berkawad dan pada waktu malamnya dipaksa menjadi polis sentri. Ada yang terlena dan tidak kurang juga yang amat teruja menjalankan tugasan yang diberi. Setiap pagi sebelum waktu Subuh kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada empat atau lima orang dan perlu memikul sebatang kayu yang agak berat sambil dikerah untuk berlari sejauh beberapa kilometer. Pada ketika itu, kami tidak memahami akan keperluan latihan seperti ini, namun setelah sekian lama baru difahami bahawa dalam pasukan keramat ini Command and Control adalah nadi. Belajar mengikut arahan adalah kunci kejayaan sebuah pasukan dan bertanya hanya bila perlu bagi mendapatkan kepastian. Sesungguhnya di dalam sebuah pasukan, hanya ada satu arahan iaitu dari seorang ketua. Jatuh bangunnya sesebuah pasukan itu, ditentukan oleh kebijaksanaan dan kecekapan sang ketua yang mengambil kira semua aspek dalam membuat keputusan terutama menaakul situasi di lokasi dan insiden yang berlaku.
Semasa di hutan, didedahkan pula dengan ilmu-ilmu untuk menjadi “survivor” dan pertama kali dapat merasa daging landak dan ikan bakar yang ditangkap terus dari sungai menggunakan perangkap dan tombak. Selain itu, kami juga diajar untuk menggunakan senjata dan lain-lain kemahiran ikhtiar hidup yang pada pertimbangan kami amat menarik untuk dipelajari dan diterokai. Begitu banyak soalan ditanya yang ada kalanya melangkaui pengalaman jurulatih sendiri. Ia berkemungkinan pada ketika itu ramai yang menjiwai watak dalam filem Rambo, Tarzan atau terkesan dengan program realiti tv seperti Survivor.
Menyentuh keutuhan PDRM dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti dan dedikasi, ia dijelmakan apabila kita sebagai rakyat dapat merasai nikmat keamanan, keharmonian dan dilindungi. PDRM telah mengalami evolusi dari semasa ke semasa seiring dengan kemajuan teknologi dan cabaran globalisasi yang dapat disaksikan melalui penggunaan peralatan yang sofistikated dan juga aplikasi yang mesra pengguna serta mudah diakses oleh rakyat terbanyak. Sepuluh Jabatan di dalam PDRM berkembang dengan pesatnya dan sentiasa cakna akan kehendak dan keperluan kumpulan sasar serta pemegang taruh. Begitu banyak penambahbaikan yang dilakukan dalam memastikan fungsi dan piagam
pelanggan bagi setiap Jabatan dapat dicapai sepenuhnya.
Jika dahulu ada pendapat yang mengatakan memilih kerjaya sebagai seorang polis adalah last resort bagi seorang graduan universiti, namun pendapat sebegitu layak disangkal apabila kerjaya sebagai seorang pegawai polis kini menjadi pilihan ramai graduan cemerlang dan berkebolehan serta berkemahiran tinggi. Dengan tawaran gaji dan elaun yang memberangsangkan serta peluang mengikuti latihan dan laluan kerjaya yang meyakinkan telah menarik minat ramai lepasan universiti untuk menceburi bidang kepolisan.
Namun, kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi tetapi harus dilengkapi dengan pengalaman dan pendedahan dalam kerjaya. Pengalaman tidak boleh diperolehi sekelip mata dan dapat dipelajari secara langsung daripada buku tetapi ia harus dilalui sendiri. Pengalaman menghasilkan pendedahan dan diperolehi daripada siri-siri kejadian yang mirip dan hampir sama lalu strategi taktikal dapat digerakkan. Begitulah senario di dalam pasukan polis di mana pengalaman merupakan elemen pemberat utama dalam melaksanakan tugasan dengan cekap dan berkesan. Libat urus dan pergaulan dengan ahli masyarakat amat penting dalam mendapatkan informasi, mengawal situasi dan juga mencari solusi. Tidak keterlaluan jika dikatakan antara soft skill yang dimiliki oleh majoriti pegawai dan juga anggota polis adalah kemahiran berunding dan kemahiran antara perorangan.
Ada perkara yang boleh diselesaikan melalui rundingan dan budi bicara dan ada kekeliruan atau salah faham yang boleh dimurnikan melalui pendekatan persuasif. Ini menyokong matlamat Malaysia Madani melalui dasar pentadbiran yang lebih manusiawi, membentuk kepercayaan rakyat kepada Kerajaan selain dasar ketelusan dan kerjasama.
PDRM juga tidak ketinggalan menerapkan strategi Associated & Integrated (AI) bagi memastikan pasukannya tidak bekerja secara silo dan sintesis dalam memastikan semua aset dan sumber dimanfaatkan sepenuhnya. Mutakhir ini kita juga dapat melihat bahawa PDRM begitu giat mengemaskini setiap aktiviti dan pencapaian pasukan di beberapa platform media sosial bagi mendedahkan kepada rakyat akan maklumat dan perkembangan terkini selain merupakan pendekatan strategi untuk mendekati masyarakat. Antara yang mencuri tumpuan adalah melalui siri lawatan pengurusan tertinggi PDRM menziarahi pegawai, anggota dan keluarga polis yang sakit atau ditimpa musibah malah kebajikan pesara polis juga turut disantuni.
Kesimpulannya walau kita mungkin berpeluang menyaksikan fungsi hanya segelintir Jabatan di dalam
PDRM, namun hakikatnya setiap Jabatan itu tidak culas dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing iaitu perisikan, pencegahan, pengawalan , perlindungan, penguatkuasaan, pemantauan, pematuhan, penangkapan dan lain-lain lagi. Sejujurnya peranan polis wujud dan mencakupi di segenap lapisan masyarakat samada disedari atau tanpa kita sedari.
Selamat Menyambut Hari Polis Ke-218 kepada semua wira negara yang bekerja tanpa mengira masa dan kalis cuaca. Terima kasih di atas segala pengorbanan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi di dalam memastikan Malaysia tercinta sentiasa stabil, aman dan makmur.

* Maziatul Syima Rusly ialah Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Hari Polis #Sang Saka Biru #integriti #PDRM