MALAYSIA
[KOLUMNIS] ADMM peluang pamer kematangan MINDEF, Malaysia di peringkat serantau
![[KOLUMNIS] ADMM peluang pamer kematangan MINDEF, Malaysia di peringkat serantau [KOLUMNIS] ADMM peluang pamer kematangan MINDEF, Malaysia di peringkat serantau](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/51751954299_MindefKhaledNordi.jpg)
Satu aspek penting selaku pengerusi untuk mengemudi ADMM dan ADMM Plus, keupayaan Kementerian Pertahanan untuk mengutarakan isu yang relevan dan pandangan sesuai dengan keperluan rantau ini akan sangat teruji. - Sumber foto Kementerian Pertahanan
KEBERSANAN sebuah institusi dalam menangani cabaran keselamatan menjadi neraca kestabilan bagi mana-mana rantau.
ASEAN adalah contoh utama untuk sebuah institusi penting rantau ini yang sejak sekian lama dihormati.
Terutamanya tatkala persaingan kuasa besar di Asia, peranan ASEAN semakin mendapat perhatian dalam memastikan rantau ini kekal selamat, aman dan stabil.
Cabaran mendatang ASEAN adalah dalam mengemudi pelbagai cabaran serantau yang semakin rumit dan berisiko. Antara aspek yang paling mendapat tumpuan di bawah ASEAN sudah pastilah kerjasama dan dialog pertahanan di bawah ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus.
Kedua-dua platform ini muncul sebagai instrumen diplomasi pertahanan utama bagi ASEAN serta 10 negara rakan dialog seperti China, Amerika Syarikat, Rusia, dan lain-lain dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan.
Selaku pengerusi ASEAN 2025, sudah pastilah keupayaan Malaysia, khususnya Kementerian Pertahanan (MINDEF), mengoptimumkan ADMM dan ADMM-Plus bagi menangani seberang cabaran dalam landskap geopolitik serantau akan menjadi perhatian semua pihak.
Yang bakal menjadi persoalan utama semua pihak, apakah strategi dan bagaimanakah Malaysia, dan MINDEF, akan memanfaatkan platform ini bagi memastikan ASEAN mencapai objektifnya, khususnya dalam mendepani realiti keselamatan semasa?
Fokus strategik Malaysia
Salah satu aspek penting selaku pengerusi yang akan mengemudi ADMM dan ADMM Plus, keupayaan Kementerian Pertahanan untuk mengutarakan isu yang relevan dan pandangan yang sesuai dengan keperluan rantau ini akan sangat teruji. Ia bukan sahaja mesti direncanakan secara teliti dan strategik.
Tetapi yang mesti turut dipastikan adalah segala fokus yang diangkat oleh Malaysia akan benar-benar membawa impak kepada negara-negara anggota dan tidak sekadar bersifat slogan di atas kertas.
Pendekatan terbaharu Malaysia dalam konteks diplomasi pertahanan serantau memperlihatkan fokus dan keseriusan yang jelas.
Di bawah kepimpinan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, MINDEF menzahirkan komitmen Malaysia untuk menggerakkan perhatian ASEAN ke arah cabaran keselamatan yang lebih dinamik dan kontemporari.
Walaupun perkara ini sama sekali tidak bermakna yang cabaran-cabaran lama dan konvensional sudah tidak penting dan boleh dilupakan.
Berdasarkan deklarasi bersama semasa Permukiman ADMM (ADMM Retreat) di Pulau Pinang pada Februari 2025, ADMM dijangka terus memainkan peranan penting dalam diplomasi pertahanan serantau, khususnya dalam menangani cabaran bukan tradisional seperti kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
Di bawah kepengerusian Malaysia, tumpuan diberikan kepada pengukuhan kerjasama mengenai pembangunan tadbir-urus AI peringkat ASEAN dalam usaha merapatkan jurang teknologi menerusi perkongsian amalan dan pemindahan teknologi.
Malaysia turut menyokong integrasi elemen AI dalam perbincangan siber sebagai komitmen memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN menghadapi cabaran teknologi masa depan.
Pada masa yang sama, Dato’ Seri Mohamed Khaled telah turut mencadangkan penubuhan pasukan bantuan kemanusiaan dan bencana peringkat ASEAN, sebagai tindak balas proaktif menghadapi realiti ancaman baharu yang berteknologi canggih serta rentas sempadan.
Penekanan beliau terhadap tema-tema ini turut mencerminkan pengiktirafan terhadap usaha sedia ada ASEAN terhadap Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) dan ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre), yang menjadi rangka kerja dasar utama bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan tindak balas serantau.
Langkah ini memperlihatkan nilai strategik apabila Malaysia tidak lagi mengikat tumpuan keselamatan ASEAN kepada ancaman bersenjata semata-mata.
Sebaliknya, Menteri Pertahanan memilih untuk menunjukkan kematangan MINDEF dengan memberi ruang yang luas dan serius kepada bentuk ancaman yang lebih tersembunyi, berlapis dan mencabar dari sudut respons.
Ancaman siber terus menunjukkan peningkatan membimbangkan di Malaysia dan Asia Tenggara. Menurut National Cyber Coordination and Command Centre, sebanyak 4,626 insiden keselamatan siber direkodkan pada 2024 — peningkatan 43 peratus berbanding 2020.
Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCert) turut melaporkan kenaikan hampir 29 peratus dalam insiden kebocoran data pada suku pertama tahun ini, menandakan keperluan mendesak untuk memperkukuh keselamatan digital.
Firma keselamatan siber berpangkalan di Singapura, Cyfirma, pada tahun 2023, mendedahkan bahawa Asia Tenggara berdepan 68 serangan siber daripada keseluruhan 86 kempen ancaman berterusan lanjutan (advanced persistent threat, APT) yang dipantau dalam tempoh hanya lapan bulan.
Serangan ini secara khusus menyasarkan Singapura dengan 26 organisasi menjadi mangsa, diikuti Thailand, Vietnam, dan Indonesia. Apa yang semakin ketara ialah ruang digital telah berubah menjadi medan konflik bersifat senyap tetapi berterusan, yang menuntut pendekatan responsif yang sama licik dan cermat untuk menanganinya.
Dalam konteks ini, penekanan terhadap domain sekuriti siber harus dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan cara fikir tentang sistem pertahanan serantau. Pendekatan konvensional tidak lagi mencukupi untuk menghadapi ancaman yang muncul dalam sela masa yang singkat, tanpa corak yang tetap. Keupayaan sekuriti siber membuka ruang untuk membina keupayaan bertindak balas yang jauh lebih awal, lebih tepat, dan lebih kontekstual.
Walaupun fokus terhadap sekuriti siber hanyalah sebahagian daripada keperluan yang lebih luas untuk menyusun semula strategi pertahanan ASEAN mengikut sifat ancaman yang berbeza-beza.
Namun, penghujahan Datuk Seri Mohamed Khaled dalam hal ini menunjukkan pendirian MINDEF dan Malaysia yang boleh dianggap sebagai mesej penting bahawa pendekatan lama tidak lagi memadai.
Keutamaan dan kekuatan baharu mesti dibina setara dengan kecanggihan ancaman yang sedang melanda ruang digital serantau.
Satu lagi medan yang menuntut perhatian serius ialah keselamatan maritim. Isu ini kekal sensitif dalam kalangan negara anggota, terutamanya disebabkan pertindihan tuntutan di Laut China Selatan.
Kawasan ini bukan sekadar laluan perdagangan kritikal dunia, tetapi juga medan pertembungan kepentingan antara kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat dengan negara-negara ASEAN.
Peluang penting untuk Malaysia
Cabaran sebenar ADMM dan ADMM-Plus bukan terletak pada ketiadaan idea atau resolusi. Masalah yang lebih mendasar adalah kesenjangan antara komitmen yang dipersetujui dan kesediaan untuk melaksanakannya secara berterusan dan berkesan.
Keberkesanan serta rasa hormat pada platform ini sangat bergantung dengan keupayaan negara anggota, termasuk Malaysia selaku pengerusi untuk menggerakkan keputusan secara selaras dan terukur.
Malaysia yang kini memimpin pelbagai inisiatif penting tidak lagi berada pada posisi untuk sekadar menyumbang cadangan.
Peranan kita kini mesti bertumpu kepada usaha membuktikan bahawa setiap gagasan yang dipersetujui mampu untuk kita pantau dan terjemahkan dengan baik serta memberi manfaat pada negara-negara anggota.
MINDEF mesti mempamerkan keupayaan menyatukan semula persefahaman strategik dalam kalangan negara ASEAN.
Ketidakseimbangan kepentingan antara anggota sering menjejaskan keupayaan kolektif untuk bertindak dalam satu barisan. Keputusan yang dicapai akhirnya tidak lebih berakhir sebagai dokumen konsensus tanpa kesan yang jelas di lapangan.
Keperluan mendesak ialah merangka pelaksanaan yang sistematik, fleksibel, dan mampu bertindak dalam kerumitan konteks serantau yang sentiasa berubah.
Ketiadaan struktur pemantauan yang tegas dan berfungsi akan terus menjerat platform ini dalam kitaran yang lesu.
Apa sahaja yang dibincangkan berisiko besar untuk tenggelam sebagai dokumen rasmi yang tidak pernah diuji di medan sebenar.
Keupayaan Malaysia, dan MINDEF, dalam memimpin perubahan terletak pada kebolehan menghidupkan semula keputusan yang sudah diluluskan, agar ia tidak mati sebagai wacana. Tindakan mesti terarah, terukur, dan membawa kesan nyata kepada keseimbangan keselamatan serantau.
Jika asas pelaksanaan benar-benar diletakkan pada landasan yang kukuh, Mohamed Khaled akan berupaya menjadikan ADMM dan ADMM-Plus sebagai platform yang benar-benar dihormati.
Beliau akan dilihat sebagai pengerusi yang benar-benar mampu memberikan pemikiran strategik dan membawa ADMM dan ADMM Plus melangkah keluar daripada bayang retorik.
* Oleh Fikry A Rahman, Bait Al Amanah
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengaranag Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami