MALAYSIA

[KOLUMNIS] Alumni hebat bermula dengan pengalaman bermakna di kampus

Mohd Zul Helmi Rozaini 31/12/2025 | 05:00 MYT
Dalam konteks Universiti Malaysia Terengganu (UMT), perjalanan seorang alumni yang hebat bermula pada hari pertama mereka menjejakkan kaki ke kampus dengan pelbagai pengalaman bermakna yang diraih melalui aktiviti mahasiswa seawal minggu orientasi.
TAHUN 2025 bakal melabuhkan tirainya.

Dalam sukuan terakhir tahun ini, universiti di negara pada kebiasaannya akan mengadakan istiadat atau majlis konvokesyen masing-masing dengan jayanya.

Musim konvoksyen universiti di negara yang bermula Oktober lalu telah pun berakhir Disember ini.

Semua graduan telah menikmati saat-saat indah menggenggam segulung ijazah bersama keluarga tercinta. Selesai konvokesyen, mereka kini bergelar alumni dan duta universiti masing-masing di seluruh dunia.

Alumni memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan dan kelestarian sesebuah universiti, bukan sahaja sebagai cerminan kejayaan institusi, malah sebagai rakan strategik dalam memperkukuh reputasi, jaringan dan sumbangan berimpak tinggi.

Justeru, tanggungjawab untuk melahirkan alumni hebat tidak bermula selepas bergraduasi semata-mata, tetapi perlu dipupuk lebih awal ketika mahasiswa masih menuntut pengajian.

Seawal hari pertama mereka melaporkan diri, mahasiswa disuntik pengalaman kampus yang bermakna.

Alumni yang hebat merupakan mereka yang mempunyai pengalaman kampus yang hebat dalam hari-hari pengajian. Pengalaman bermakna itulah yang menyuburkan rasa cinta kepada alma mater mereka.

Tidak dinafikan bahawa mahasiswa atau bakal alumni mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam mempersiapkan diri agar mampu menyumbang secara bermakna kepada universiti dan masyarakat pada masa hadapan.

Pertama, bakal alumni bertanggungjawab membangunkan kecemerlangan akademik dan profesional secara seimbang.

Pencapaian akademik yang kukuh perlu disertai dengan penguasaan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritikal dan etika kerja.

Mahasiswa perlu mengambil peluang menyertai latihan industri, projek penyelidikan, pembelajaran berasaskan kerja dan aktiviti kokurikulum bagi membina keupayaan diri yang relevan dengan keperluan dunia sebenar.

Keupayaan ini akan menentukan kredibiliti mereka sebagai alumni yang berwibawa dan diyakini.

Kedua, pembentukan jati diri dan nilai integriti merupakan asas kepada kelahiran alumni hebat. Bakal alumni perlu menghayati nilai murni seperti amanah, tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan.

Penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, program khidmat masyarakat dan inisiatif kelestarian bukan sahaja membentuk kepekaan sosial, malah memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang melahirkan graduan beretika dan berjiwa rakyat.

Ketiga, bakal alumni perlu membina jaringan profesional dan hubungan strategik sejak di peringkat pengajian.

Jaringan dengan pensyarah, rakan mahasiswa, industri dan alumni sedia ada merupakan aset jangka panjang yang menyokong pembangunan kerjaya dan sumbangan masa depan.

Keupayaan memanfaatkan jaringan ini secara beretika dan berkesan akan membolehkan bakal alumni berperanan sebagai penghubung antara universiti dan ekosistem luaran selepas bergraduasi.

Selain itu, kesedaran tentang peranan alumni dalam pembangunan universiti perlu disemai lebih awal.

Bakal alumni harus memahami bahawa sumbangan kepada alma mater bukan terhad kepada kewangan, tetapi merangkumi perkongsian ilmu, kepakaran, pengalaman industri dan pengaruh profesional.

Kesedaran ini akan membentuk sikap memberi kembali (giving back) sebagai satu tanggungjawab moral dan intelektual.

Dalam konteks Universiti Malaysia Terengganu (UMT), perjalanan seorang alumni yang hebat bermula pada hari pertama mereka menjejakkan kaki ke kampus dengan pelbagai pengalaman bermakna yang diraih melalui aktiviti mahasiswa seawal minggu orientasi menjadi seornag mahasiswa idaman.

Seiring dengan bidang tujahan dan kekuatan UMT, mahasiswa baharu telah didedahkan dengan aktiviti kelestarian seperti penanaman pokok bakau dan menjadi mahasiswa sejahtera dengan aktiviti terapi pasir yang menyeronokkan.

Melalui aktiviti yang telah disusun oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) ini, mahasiswa baharu dapat menyelami fasa baharu kehidupan dengan lebih bernilai.

Pembentukan alumni hebat terus diperkasakan lagi oleh Pusat Alumni melalui pelbagai program khususnya dengan kerjasama alumni unggul yang telah mencipta nama besar dalam bidang kerjaya masing-masing.

Akhir sekali, bakal alumni perlu mengekalkan hubungan berterusan dengan universiti dan menyokong agenda pembangunan institusi.

Kesetiaan dan rasa kepunyaan terhadap universiti akan mendorong keterlibatan aktif dalam program alumni, inisiatif pembangunan dan usaha memperkasa generasi pelajar seterusnya.

Hubungan yang kukuh antara alumni dan universiti merupakan asas kepada kelestarian dan kecemerlangan institusi.

Secara tuntasnya, mempersiapkan diri sebagai alumni hebat merupakan satu proses berterusan yang bermula sejak hari pertama mereka menjadi mahasiswa.

Melalui pembangunan akademik, pembentukan nilai, pembinaan jaringan dan kesedaran tanggungjawab sosial, bakal alumni mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan universiti dan masyarakat secara berimpak dan lestari.



* Profesor Madya ChM Dr Mohd Zul Helmi Rozaini ialah Pengarah Pusat Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




#Kolumnis AWANI #Alumni #pencapaian akademik #universiti malaysia terengganu