[KOLUMNIS] Amanat KSN 2026: Kepimpinan yang bergerak pantas, berakar pada amanah
![[KOLUMNIS] Amanat KSN 2026: Kepimpinan yang bergerak pantas, berakar pada amanah [KOLUMNIS] Amanat KSN 2026: Kepimpinan yang bergerak pantas, berakar pada amanah](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-01/61768912454_tbShamsulAzriAbuB.jpg)
Shamsul Azri hadir pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2026 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri baru-baru ini.- Gambar Bernama
PADA 15 Januari 2026, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan amanat yang kelihatan ringkas pada lafaznya, tetapi mencabar pada implikasinya: Mempercepat pelaksanaan, memperhebat reformasi.
Namun, yang membezakan amanat ini bukanlah keindahan bahasanya, tetapi nada moral yang mendasarinya. Amanat ini tidak datang sebagai senarai janji atau katalog inisiatif baharu. Ia hadir sebagai satu bentuk pengakuan sistemik bahawa masalah perkhidmatan awam Malaysia hari ini bukan pada kekurangan dasar tetapi pada jurang antara keputusan yang dibuat dan kesan yang dirasai rakyat.
Secara tersirat, amanat ini mengalihkan graviti perbincangan daripada “apa lagi yang perlu dirancang” kepada “kenapa apa yang telah diputuskan masih belum disiapkan.” Ini memerlukan sistem melihat dirinya sendiri sebagai sebahagian daripada masalah, bukan sekadar mangsa kekangan luaran.
Dalam banyak organisasi besar, kegagalan jarang diakui dari dalam. Ia lebih mudah dikisahkan sebagai kesan ekonomi global, tekanan geopolitik, kekangan undang-undang, kekurangan sumber manusia atau isu teknikal. Semua faktor ini wujud dan tidak boleh dinafikan.
Namun amanat KSN memilih laluan yang lebih jujur dan berisiko. Bahawasanya di sebalik semua kekangan tersebut, terdapat satu masalah teras yang lebih sukar disentuh yakni ketidakselarasan disiplin dan ketiadaan keberanian untuk menyempurnakan amanah hingga ke hujungnya.
Apabila kenyataan ini dilontarkan dari kedudukan tertinggi perkhidmatan awam, ia tidak lagi berfungsi sebagai motivasi kosong. Ia menjadi satu standard kepimpinan yang mengikat. Ia menuntut pertanggungjawaban bukan sahaja terhadap hasil, tetapi terhadap proses, sikap dan keberanian moral yang menyertainya.
Dalam erti kata lain, amanat ini bukan tentang bekerja lebih laju semata-mata. Ia tentang bekerja dengan kesedaran bahawa setiap kelewatan, setiap keputusan yang ditangguhkan tanpa sebab jelas, dan setiap penjelasan yang kabur mempunyai implikasi langsung terhadap kepercayaan rakyat.
Amanat bukan sekadar acara tahunan
Kekuatan utama amanat KSN 2026 ialah keupayaannya memecahkan kebiasaan menjadikan amanat tahunan sebagai ritual pentadbiran. Dalam banyak konteks, amanat sering berfungsi sebagai penutup kitaran, menyusun pencapaian tahun lalu, mengucapkan terima kasih, dan membuka lembaran baharu dengan senarai aspirasi. Amanat ini memilih arah yang berbeza. Ia tidak berhenti pada pencapaian 2025, tetapi mengikat pencapaian tersebut kepada tuntutan masa hadapan yang lebih ketat.
Apabila tahun 2026 ditandai sebagai tahun fast execution, impactful results, mesejnya jelas. Masa untuk berlindung di sebalik proses telah tamat. Dalam bahasa pentadbiran, ini bermaksud tiada lagi ruang untuk memanjangkan prosedur sebagai strategi perlindungan diri. Banyak organisasi awam sebenarnya tidak gagal kerana ketiadaan usaha, tetapi kerana kegagalan menutup kitaran kerja. Projek dimulakan, pelan dilancarkan, makmal diadakan, tetapi kesan di lapangan tidak pernah benar-benar disempurnakan.
Kejujuran menuntut kita mengakui bahawa sistem sering menang dalam mesyuarat, tetapi kalah di kaunter. Rakyat tidak menilai kerajaan berdasarkan jumlah slaid atau kecanggihan istilah teknikal, tetapi berdasarkan pengalaman seharian seperti berapa lama mereka menunggu, sejauh mana mereka difahami dan sama ada mereka mendapat jawapan yang jujur. Amanat ini membaca realiti tersebut tanpa berselindung. Ia menuntut disiplin follow up dan follow through sebagai amalan teras, bukan kemahiran tambahan. Dalam bahasa yang paling mudah dan keras, mesejnya ialah: jangan hanya mula, jangan hanya umum, jangan hanya sibuk. Siapkan.
Kepantasan sebagai isu moral, bukan sekadar teknikal
Satu kesilapan besar dalam pengurusan sektor awam ialah menganggap kelajuan sebagai isu teknikal semata-mata. Maka reformasi sering difokuskan kepada pemotongan proses, pengurangan langkah, atau integrasi sistem digital. Semua ini penting dan perlu. Namun amanat KSN 2026 mengangkat kelajuan ke tahap yang lebih tinggi, sebagai isu amanah dan tanggungjawab moral.
Apabila keputusan telah dibuat, peruntukan telah diluluskan dan keperluan rakyat telah dikenal pasti, kelewatan tidak lagi neutral. Ia bukan sekadar kelemahan operasi. Ia menjadi kegagalan amanah. Di sinilah amanat ini mencabar bahasa biasa pentadbiran. Kita sering menyebut “birokrasi” seolah-olah ia fenomena yang tidak bernilai moral. Hakikatnya, birokrasi yang tidak perlu akan membawa kos yang sangat nyata kepada rakyat, kos masa, kos kewangan, kos emosi dan dalam banyak kes, kos maruah.
Penegasan terhadap prinsip “mudahkan urusan rakyat, jangan susahkan” dan no wrong door policy perlu dibaca dalam konteks ini. Ia bukan slogan perkhidmatan pelanggan. Ia adalah usaha memulihkan maruah hubungan kerajaan–rakyat. Ia mengubah logik lama yang menganggap rakyat perlu menyesuaikan diri dengan struktur kerajaan, kepada logik baharu bahawa struktur kerajaan wujud untuk memudahkan rakyat. Ini peralihan nilai, bukan sekadar penambahbaikan proses.

Amanah yang dirasa, bukan amanah yang dilaung
Dimensi yang paling mendalam dalam amanat KSN 2026 ialah bingkai amanah yang dibina melalui rujukan al-Quran. Pemilihan ayat-ayat ini adalah penegasan bahawa isu pelaksanaan dan kepercayaan tidak boleh dipisahkan daripada persoalan nilai dan nurani.
Apabila Surah al-Hasyr ayat 18 dikemukakan, tentang keperluan setiap insan melihat apa yang disediakan untuk hari esok, ia memaksa satu refleksi yang serius. Amanah tidak lagi difahami sebagai kewajipan pentadbiran semata-mata, tetapi sebagai tanggungjawab yang melangkaui masa kini.
Soalan yang tersirat bukan sahaja “apa yang telah kita lakukan,” tetapi “apa kesannya kepada esok rakyat, esok institusi, esok negara dan akhirnya esok di hadapan Allah "Di sinilah amanah menjadi rasa, bukan laungan.
Rasa takut yang dipanggil oleh amanat ini bukan ketakutan yang melumpuhkan, tetapi ketakutan yang menyucikan, takut mengecewakan amanah, takut menyalahgunakan kuasa, takut memudahkan diri dengan mengorbankan kesusahan orang lain. Dalam budaya organisasi moden, rasa takut sering dianggap negatif. Namun amanat ini membezakan dengan jelas antara takut yang mematikan dan takut yang mendewasakan.
Apabila Surah at-Tahrim ayat 6 digunakan untuk mengingatkan peranan ketua jabatan, amanat ini bergerak ke tahap kepimpinan moral. Ketua jabatan tidak lagi dilihat sebagai pengurus KPI atau penandatangan dokumen, tetapi sebagai penjaga nilai dan budaya.
Anak buah bukan sekadar sumber manusia, tetapi insan yang boleh tersasar jika sistem membenarkan budaya fitnah, kenyataan awam tanpa disiplin, kebocoran maklumat atau kuasa tanpa kawalan. Dalam konteks ini, penegasan terhadap pengurusan kenyataan awam dan risiko media sosial bukan isu kecil. Ia adalah peta risiko kepercayaan institusi. Sekali maruah institusi tercalar, tempoh pemulihannya jauh lebih panjang daripada tempoh kejatuhannya.
Daripada visi kepada penyempurnaan: Soalan paling tidak selesa
Salah satu peralihan paling signifikan dalam amanat KSN 2026 ialah perubahan fokus daripada pembinaan visi kepada tuntutan penyempurnaan. Dalam banyak tahun kebelakangan ini, perkhidmatan awam sering dituntut untuk berfikir besar, tentang transformasi, reformasi, pendigitalan dan masa depan.
Visi memainkan peranan penting; ia memberi arah dan makna. Namun visi juga mempunyai satu kelemahan.Ia boleh menjadi selimut yang selesa jika tidak disusuli disiplin pelaksanaan. Amanat ini secara halus tetapi tegas memindahkan tumpuan daripada what we want to change kepada why haven’t we finished what we already decided.
Soalan ini tidak popular kerana ia menolak alasan yang sudah lama dinormalisasikan. Ia menolak budaya “pilot project” yang tidak pernah ditutup, pelancaran yang tidak pernah diukur dan poster reformasi yang tidak pernah diterjemahkan kepada pengalaman rakyat.
Amanat ini menolak reformasi episodik, reformasi yang muncul sebagai acara, bukan sebagai perubahan tabiat. Dalam konteks ini, kepantasan bukanlah simbol agresif atau tergesa-gesa, tetapi tanda kejelasan dan keberanian. Apabila hala tuju jelas dan akauntabiliti wujud, kelajuan sebenarnya mengurangkan risiko kerana masalah muncul lebih awal dan boleh diperbetulkan sebelum menjadi krisis.
KSN menegaskan bahawa mempercepat pelaksanaan tidak bermaksud mengorbankan ketelitian. Ini satu garis penting. Dalam sistem, kelewatan sering disamarkan sebagai kehati-hatian. Ada kalanya ia wajar, terutamanya apabila melibatkan implikasi undang-undang atau keselamatan.
Namun dalam banyak keadaan, “berhati-hati” menjadi topeng kepada ketidakberanian iaitu takut dipersalahkan, takut mencabar status quo, takut membuat keputusan yang tidak popular. Amanat ini cuba menanggalkan topeng tersebut dengan hujah yang jelas: kelajuan dan ketelitian bukan musuh; kabur dan takut itulah musuh sebenar.
Reformasi bukan kosmetik: Antara paperless dan budaya lama
Ungkapan ringkas “paperless, bukan paper less” yang dilontarkan dalam amanat ini kelihatan kecil, tetapi membawa simbolisme yang besar. Ia mencerminkan kekecewaan terhadap perubahan separuh masak, perubahan yang wujud pada istilah, tetapi tidak pada tabiat.
Banyak organisasi hari ini mengaku digital, tetapi masih bergantung kepada kertas sebagai simbol kawalan. Banyak mesyuarat diadakan atas nama kecekapan, tetapi berakhir sebagai ritual pengesahan keputusan yang telah ditangguhkan terlalu lama.
Amanat ini mengingatkan bahawa reformasi bukan projek IT. Ia adalah perubahan cara berfikir dan bekerja. Mesyuarat tanpa kertas, edaran memo elektronik, pengecualian hanya atas sebab keselamatan,semua ini mencerminkan satu prinsip asas. Sistem lama kekal bukan kerana ia kuat, tetapi kerana kita membenarkannya selesa.
Apabila KSN menyebut paradoks produktiviti dan kecerdasan buatan, ia satu pengakuan matang bahawa teknologi boleh wujud tanpa peningkatan produktiviti jika budaya kerja tidak berubah. Tanpa perubahan sikap, teknologi hanya mempercepat kekeliruan.
Bahasa, persepsi dan kuasa kepercayaan
Bahagian komunikasi dalam amanat KSN 2026 adalah antara yang paling strategik. Ia mengiktiraf satu realiti yang sering dinafikan oleh institusi yakni ruang persepsi tidak pernah kosong. Jika kerajaan tidak menjelaskan, orang lain akan menafsirkan. Jika kerajaan lambat, persepsi akan mendahului fakta. Jika kerajaan defensif, rakyat akan menganggap ada sesuatu yang disembunyikan.
Arahan agar unit komunikasi terlibat sejak peringkat perumusan dasar, menggunakan bahasa rakyat dan menjawab isu dengan pantas bukanlah tuntutan kosmetik. Ia adalah pengakuan bahawa komunikasi hari ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan, bukan aktiviti selepas pelaksanaan.
Bahasa bukan neutral, ia mendedahkan niat. Bahasa yang terlalu teknikal melahirkan jarak. Bahasa yang defensif melahirkan syak wasangka. Sebaliknya, bahasa yang jujur dan berlapang dada, walaupun mengakui kekangan, sering kali lebih berkesan memulihkan kepercayaan.
Bahasa rakyat tidak bermaksud bahasa pasar. Ia bermaksud bahasa yang menghormati kecerdasan rakyat dan mampu menjawab soalan paling asas yang bermain di fikiran mereka: kenapa keputusan ini dibuat, bila ia akan dilaksanakan, siapa yang bertanggungjawab dan apa pilihan yang ada. Di sinilah total communication diuji. Ia bukan jumlah kenyataan atau posting, tetapi keselarasan mesej dengan tindakan, ketepatan masa dan keberanian menjawab sebelum persepsi menguasai naratif.
Ketua jabatan dan beban watak
Amanat ini juga dengan jelas memindahkan pusat graviti tanggungjawab daripada “sistem” kepada “ketua”. Dalam era krisis kepercayaan, struktur sahaja tidak mencukupi. Jawatan sahaja tidak memberi legitimasi. Watak menjadi penentu. Ketua jabatan tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik prosedur atau hierarki.
Mereka dituntut menjadi penentu kelajuan dengan menyelesaikan halangan, bukan menambah lapisan kelulusan. Mereka mesti menjadi penapis nilai yang menjaga budaya organisasi daripada reputasi yang rosak. Mereka perlu menjadi penjaga fakta dan bahasa sebelum ia keluar kepada rakyat. Paling sukar, mereka perlu menjadi pelindung kepada anak buah yang membuat keputusan betul walaupun berisiko.
Jika ketua jabatan gagal memikul peranan ini, reformasi akan mati di peringkat pertengahan. Lapisan middle management akan meniru sikap berhati-hati berlebihan dan barisan hadapan akan kehilangan motivasi. Amanat ini secara tersirat menegaskan bahawa krisis kepercayaan sering bermula di ruang ini yakni ruang di mana keputusan sepatutnya digerakkan, tetapi sebaliknya ditangguhkan.
Budaya takut silap: Penyakit senyap sistem
Mengapa sistem yang telah lama wujud dan sarat dengan kepakaran masih sukar bergerak pantas walaupun arah jelas? Amanat KSN 2026 memberi petunjuk yang jujur: budaya takut silap. Prosedur hanyalah kulit. Di bawahnya wujud ketakutan terhadap hukuman, penilaian negatif dan risiko kerjaya. Kesilapan kecil sering menjadi rekod kekal, lalu pegawai belajar satu tabiat yang berbahaya, jangan buat keputusan.
Akibatnya, keputusan dinaikkan tanpa henti, mesyuarat ditambah, lampiran diperbanyakkan dan masa berlalu tanpa penyelesaian. Paradoksnya, sistem yang terlalu menekankan pematuhan melahirkan ketidakberanian dan ketidakberanian melahirkan kelewatan.
Amanat ini cuba memecahkan kitaran tersebut dengan menegaskan bahawa keputusan yang betul tetapi tidak popular lebih bernilai daripada tidak membuat keputusan langsung. Namun mesej ini hanya akan hidup jika disokong oleh mandat jelas, latihan kepimpinan sebenar dan keselamatan psikologi kepada pembuat keputusan.
Pelaksanaan akar umbi dan realiti tidak seragam
Amanat ini juga realistik tentang hakikat pelaksanaan. Dasar boleh seragam, tetapi realiti di lapangan tidak. Kapasiti antara jabatan dan wilayah berbeza. Ada pejabat yang kekurangan staf, ada yang terperangkap dalam sistem warisan, ada yang dibebani fungsi bertindih, dan ada yang lemah kepimpinannya.
Dalam konteks ini, penekanan terhadap low-hanging fruits dan projek kecil berimpak tinggi bukan tanda merendahkan cita-cita, tetapi kefahaman tentang psikologi kepercayaan. Kepercayaan tidak dibina melalui janji besar yang tergantung, tetapi melalui kemenangan kecil yang konsisten dan dirasai.
Namun di sinilah integriti kepimpinan diuji. Bolehkah ketua jabatan membezakan antara kekangan sebenar dan alasan yang disengajakan? Banyak kelewatan berlindung di sebalik istilah “kekangan” untuk menutup kelemahan disiplin dan kepimpinan. Amanat ini menuntut kejujuran institusi untuk menamakan masalah sebenar, walaupun ia tidak selesa.
Latihan sebagai pembinaan keupayaan dan karakter, bukan pemindahan ilmu
Penekanan Ketua Setiausaha Negara terhadap latihan dan pembelajaran sepanjang hayat dalam amanat 2026 perlu dibaca sebagai satu pengakuan jujur terhadap kegagalan lama sistem latihan sektor awam. Selama bertahun-tahun, latihan sering difahami sebagai pemindahan pengetahuan,kursus, sijil, jam latihan dan pematuhan KPI.
Namun realiti di lapangan menunjukkan jurang yang besar antara apa yang diketahui dan apa yang dilakukan. Ramai pegawai memahami dasar, menguasai prosedur dan lulus penilaian, tetapi teragak-agak apabila berhadapan situasi sebenar yang melibatkan tekanan emosi, kritikan awam dan ketidakpastian maklumat.
Amanat ini menggesa satu peralihan paradigma: daripada latihan sebagai aktiviti kepada latihan sebagai pembinaan manusia. Keupayaan yang diperlukan hari ini bukan sekadar teknikal, tetapi decision capability yakni keberanian membuat keputusan dalam keadaan maklumat tidak lengkap, kebolehan mengurus emosi apabila berhadapan kemarahan rakyat dan kemahiran menjelaskan keputusan tidak popular dengan empati.
Tanpa keupayaan ini, kepantasan yang dituntut akan sentiasa tersekat pada ketakutan. Pegawai yang tidak dilatih untuk berhadapan tekanan akan memilih jalan selamat, bukan jalan betul. Di sinilah latihan juga berkait rapat dengan karakter. Karakter bukan sifat semula jadi semata-mata; ia boleh dibentuk melalui pengalaman, pendedahan dan bimbingan yang betul.
Amanat ini secara tersirat mengkritik sistem latihan yang terlalu fokus kepada pengetahuan tetapi mengabaikan pembentukan keberanian, ketahanan dan empati. Tanpa karakter, kecekapan hanya menghasilkan pematuhan mekanikal. Dengan karakter, kecekapan bertukar menjadi kepimpinan yang dipercayai.

Empat misi pelaksanaan sebagai sistem hidup, bukan senarai semak
Empat misi pelaksanaan pantas 2026 harus dilihat sebagai satu arkitektur perubahan tingkah laku, bukan pelan projek berjangka pendek. Setiap misi saling bergantung antara satu sama lain untuk memutuskan kitaran lama yang melambatkan sistem: perancangan lewat yang menormalisasikan kecemasan, orientasi dalaman yang memindahkan beban kepada rakyat, budaya kerja yang sibuk tetapi tidak berimpak, serta komunikasi yang datang terlalu lewat untuk membina kepercayaan.
Apabila digabungkan, keempat-empat misi ini membentuk satu logik baharu kerja kerajaan, bahawa nilai sebenar pentadbiran diukur pada keupayaan menyampaikan keputusan tepat pada masanya, dengan kejelasan tujuan dan rasa tanggungjawab terhadap pengalaman rakyat.
Nilai strategik terbesar misi-misi ini terletak pada keupayaannya menukar reformasi daripada program episodik kepada cara berfikir institusi. Pelaksanaan tidak lagi bergantung pada pengumuman besar atau pekeliling berulang, tetapi pada disiplin harian yang konsisten: menyelesaikan halangan, mengambil pemilikan, memendekkan jarak antara keputusan dan kesan serta bercakap dengan rakyat sebelum persepsi menguasai naratif.
Jika dihayati sebagai sistem hidup, empat misi ini berupaya memulihkan kelajuan tanpa mengorbankan prinsip dan membina kepercayaan tanpa retorik. Jika gagal, ia sekadar akan menambah satu lagi lapisan pematuhan,lengkap di atas kertas, tetapi tidak mengubah realiti di lapangan.
Sumber manusia dan komunikasi sebagai enjin reformasi
Dalam amanat ini, terdapat dua fungsi yang secara senyap menjadi penentu kejayaan atau kegagalan keseluruhan agenda: bahagian sumber manusia dan unit komunikasi. Bahagian sumber manusia menentukan siapa yang dinaikkan, siapa yang dibentuk, siapa yang perlu dipupuk bakat dan keunikan kemahiran.
Jika sistem ganjaran, insentif dan penilaian masih menghargai kepatuhan tanpa keberanian, maka segala seruan kepada kepantasan akan mati. Amanat ini secara tidak langsung menuntut keberanian bahagian sumber manusia untuk menyelaraskan kenaikan pangkat, latihan, insentif,dan penempatan dengan nilai yang diangkat yakni keberanian membuat keputusan, kejujuran dan keupayaan menyampaikan hasil.
Unit komunikasi pula menguji kepercayaan rakyat secara langsung. Dalam era digital, kegagalan komunikasi bukan sekadar kelemahan reputasi, tetapi risiko strategik. Bahasa yang defensif, lambat atau terlalu teknikal akan menjarakkan kerajaan daripada rakyat.
Amanat ini menuntut komunikasi yang berfungsi sebagai jambatan, bukan perisai. Ia memerlukan kepimpinan komunikasi yang berani mencabar naratif dalaman yang selesa tetapi tidak jujur, dan sanggup menjelaskan kekangan sebenar tanpa merendahkan maruah rakyat.
Pelantikan dan pemilihan pegawai di kedua bahagian ini perlu penyemakan berkala dan bagitu juga hala tuju kepimpinan di kedua-dua fungsi ini yang harus di lihat sebagai bukan lagi urusan pentadbiran rutin, tetapi keputusan strategik.
Tahun 2026 sebagai tahun ujian, bukan tahun janji
Keseluruhan amanat KSN 2026 akhirnya meletakkan tahun ini sebagai satu pertaruhan kepimpinan. Ia bukan pertaruhan kerana kekurangan perancangan, tetapi kerana keberanian menguji sama ada sistem benar-benar mampu menyampaikan apa yang telah diputuskan.
Pertaruhannya jelas: bahawa kelajuan boleh dipacu tanpa mengorbankan prinsip, reformasi boleh digerakkan tanpa melunturkan kemanusiaan dan komunikasi boleh berfungsi sebagai jambatan kepercayaan, bukan tembok defensif.
Dalam konteks ini, kejayaan tidak diukur pada bilangan inisiatif baharu, tetapi pada kebolehan menyempurnakan keputusan sedia ada dengan disiplin, kejelasan dan empati. Jika pertaruhan ini berjaya, kesannya mungkin tidak dramatik dari luar, tetapi mendalam dari dalam. Rakyat mungkin tidak bersetuju dengan setiap dasar, tetapi mereka akan mula merasakan kehadiran kerajaan yang lebih jelas, lebih jujur dan lebih bertanggungjawab.
Jika ia gagal, implikasinya jauh lebih senyap dan berbahaya. Rakyat tidak semestinya bangkit dalam kemarahan; mereka mungkin sekadar berundur, kurang bertanya, kurang berharap dan kurang percaya. Dalam politik kepercayaan, kekecewaan senyap ini adalah kerosakan paling sukar dipulihkan kerana ia tidak mencetuskan konflik terbuka, tetapi meninggalkan jurang psikologi yang semakin melebar antara kerajaan dan rakyat
Selepas amanat: Apa yang wajib berubah?
Selepas amanat disampaikan, perubahan pertama yang wajib berlaku ialah perubahan cara kepimpinan memahami tanggungjawab mereka. Amanat ini tidak boleh berhenti sebagai kefahaman normatif atau persetujuan senyap dalam dewan.
Ia mesti diterjemahkan kepada kesedaran peribadi bahawa setiap ketua jabatan dan pegawai kanan kini diukur bukan pada sejauh mana mereka mematuhi prosedur, tetapi pada sejauh mana mereka berani menutup kitaran keputusan yang tertangguh. Amanat ini menuntut peralihan psikologi: daripada menunggu arahan tambahan kepada mengambil pemilikan; daripada melindungi proses kepada melindungi amanah. Jika selepas amanat, keputusan masih ditangguhkan atas alasan yang sama, maka amanat itu telah gagal pada peringkat paling asas.
Perubahan kedua ialah penyelarasan sistemik, bukan sekadar komunikasi dalaman. Amanat ini perlu difahami oleh seluruh perkhidmatan awam sebagai pedoman wajib, bukan wacana kepimpinan tertinggi semata-mata. Ini menuntut tindakan jelas daripada ketua jabatan, bahagian sumber manusia dan unit komunikasi untuk menterjemahkan amanat kepada bahasa operasi: dalam penetapan keutamaan kerja, dalam penilaian prestasi, dalam latihan kepimpinan, dan dalam cara isu dijelaskan kepada rakyat. Tanpa penyelarasan ini, amanat akan terperangkap sebagai naratif elit yang difahami di atas, tetapi tidak dirasai di lapangan.
Akhirnya, perubahan paling kritikal ialah hasil yang boleh dirasai dalam tempoh singkat. Amanat KSN 2026 meletakkan dirinya sebagai ujian, bukan janji. Maka ujian itu mesti dijawab dengan tindakan nyata iaitu keputusan yang usahanya disiapkan, masa menunggu yang dipendekkan, dan komunikasi yang lebih jujur serta manusiawi.
Rakyat tidak menilai amanat melalui teks atau petikan ucapan, tetapi melalui pengalaman harian mereka. Jika pengalaman itu berubah, amanat ini hidup. Jika tidak, ia akan menjadi satu lagi ucapan yang betul dari segi niat, tetapi gagal dari segi kesan.
Warisan kepimpinan: Apa yang tinggal selepas amanat?
Setiap amanat besar akhirnya dinilai bukan pada hari ia disampaikan, tetapi pada apa yang berubah selepasnya. Amanat KSN 2026 meletakkan satu ukuran warisan yang tinggi, bukan pada bilangan pelan baharu, tetapi pada keupayaan sistem menutup kitaran lama yang tidak disiapkan.
Warisan sebenar bukan poster atau slogan, tetapi tabiat baharu yang kekal walaupun tanpa arahan berulang. Jika amanat ini berjaya diterjemahkan, perkhidmatan awam akan meninggalkan satu warisan yang halus tetapi mendalam: budaya membuat keputusan yang lebih jelas, komunikasi yang lebih jujur, dan pelaksanaan yang lebih berdisiplin.
Rakyat mungkin tidak mengingati frasa amanat ini, tetapi mereka akan mengingati pengalaman yang berubah,urusan yang lebih mudah, jawapan yang lebih manusiawi dan kerajaan yang kelihatan hadir, bukan sekadar berkuasa.
Namun amanat ini juga membawa amaran yang jelas, walaupun tidak dilafazkan secara keras. Risiko kegagalan terbesar bukan kegagalan yang bising, tetapi kegagalan yang senyap. Rakyat tidak semestinya turun ke jalan atau meluahkan kemarahan terbuka. Mereka mungkin sekadar menurunkan jangkaan, mengurangkan interaksi dan menerima bahawa sistem tidak akan berubah. Dalam keadaan ini, kerajaan masih berfungsi secara teknikal, tetapi kehilangan hubungan emosi dengan rakyat.
Kegagalan senyap ini berbahaya kerana ia tidak mencetuskan pembetulan segera. Ia membina jurang psikologi yang semakin melebar antara kerajaan dan rakyat,jurang yang hanya disedari apabila kepercayaan sudah terlalu mahal untuk dipulihkan. Amanat KSN 2026, dalam konteks ini, bertindak sebagai isyarat awal untuk mengelakkan kerosakan jangka panjang ini.
Penutup: Amanat sebagai pertaruhan moral dan institusi
Pada akhirnya, amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2026 bukan sekadar seruan untuk bekerja lebih pantas atau mereformasi prosedur. Ia adalah satu pertaruhan moral dan institusi. Ia mempertaruhkan bahawa perkhidmatan awam Malaysia cukup matang untuk menilai dirinya dengan jujur, cukup berani untuk meninggalkan zon selesa dan cukup berprinsip untuk mengutamakan amanah walaupun dalam tekanan.
Tahun 2026, seperti yang digariskan oleh amanat ini, bukan tahun janji. Ia tahun ujian. Ujian sama ada amanah benar-benar dirasai, bukan sekadar dilaung. Ujian sama ada komunikasi digunakan untuk menjelaskan, bukan melindungi. Ujian sama ada kepantasan dipacu dengan disiplin, bukan ketergesaan. Jika ujian ini dilalui dengan jujur, perkhidmatan awam bukan sahaja akan menjadi lebih cekap, tetapi kembali dipercayai sebagai penjaga amanah negara.
Jika gagal, rakyat mungkin tidak menjerit. Mereka hanya akan menjauh. Jarak itulah yang paling sukar dirapatkan semula.
Amanat ini bukan penamat. Ia adalah cermin. Apa yang dilihat oleh perkhidmatan awam di dalam cermin itulah yang akan menentukan masa depan kepercayaan negara.
* Datuk Yahaya Abdullah adalah pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


