MALAYSIA
[KOLUMNIS] Apabila integriti dan akauntabiliti menjadi sasaran kritikan
ADALAH amat mengecewakan - malah ironik - apabila pelantikan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Radzi, yang sepatutnya diraikan sebagai lambang kekuatan institusi akauntabiliti negara, kini dijadikan sasaran serangan politik. Bukan kerana gagal menjalankan tugas, tetapi kerana berjaya melaksanakannya tanpa tunduk kepada tekanan politik atau menjadi sorak-sorai agenda tertentu.
Ringkasan AI
- Pelantikan Wan Suraya Wan Radzi sebagai Ketua Audit Negara dipertahankan sebagai sah dan beretika, dengan proses pelantikan mengikut Perlembagaan serta rekod profesionalisme beliau dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun.
- Kritikan terhadap beliau dianggap sebagai serangan politik yang tidak berasas, dengan dakwaan konflik kepentingan dan ketidakbebasan disifatkan sebagai manipulasi naratif yang menjejaskan kepercayaan terhadap institusi awam.
- Komunikasi beretika dan keterlibatan aktif Ketua Audit Negara dalam tadbir urus negara perlu dihormati, bukan diserang, demi membina keyakinan nasional dan mempertahankan integriti institusi pengawasan negara.
Wan Suraya membawa bersama pengalaman 29 tahun dalam perkhidmatan awam, pemahaman mendalam tentang sistem pentadbiran negara, dan rekod bersih tanpa sebarang kontroversi. Bukankah ini menjadikan beliau lebih layak untuk mengaudit kerajaan dengan kefahaman yang teliti, berbanding individu luar yang tidak pun memahami mekanisme pentadbiran?
Sebagai pengamal komunikasi, saya melihat isu ini sebagai cerminan cabaran lebih besar: hakisan etika dan integriti dalam wacana awam. Komunikasi bukan sekadar menyuarakan pandangan — ia adalah proses mendidik masyarakat dengan konteks, ketepatan, dan hormat kepada institusi. Apabila naratif dimanipulasi demi keuntungan politik, kita bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi juga menjejaskan kepercayaan terhadap proses demokrasi. Komunikasi beretika dalam perkhidmatan awam mesti dipertahan - bukan diserang - jika kita benar-benar ingin membina keyakinan nasional.
Dan mengenai dakwaan bahawa Jabatan Audit Negara “bersorak” untuk Madani - kita harus bersikap waras. Jika kehadiran ke program rasmi atau perkongsian poster di Facebook dianggap sebagai propaganda, maka lebih baik kita tamatkan semua acara rasmi kerajaan sejak Merdeka. Kalau ikut logik ini, menekan tab ‘like’ hantaran keselamatan tempat kerja pun boleh dianggap konflik apabila ditugaskan mengaudit tapak pembinaan.
Jelasnya, Ketua Audit Negara bukan individu yang harus menyepi di gua sehingga dipanggil.
Peranannya adalah untuk terlibat secara aktif dalam tadbir urus, berkomunikasi secara telus dan membina kepercayaan rakyat. Kecaman terhadap beliau tentang satu hantaran media sosial, atau terhadap pengecualian konflik kepentingan yang sah dari segi prosedur dan yang pernah diamalkan dalam konteks tertentu sebelum ini, lebih menyerupai sandiwara politik daripada isu Perlembagaan.
Daripada menghargai usaha Jabatan Audit Negara yang terus menghasilkan laporan berkualiti dan tepat pada masanya, sesetengah pihak lebih gemar menembak pembawa mesej - hanya kerana mesejnya tidak menyenangkan.
Kepada para pengkritik: jika benar perjuangan mereka berlandaskan ketelusan, tampilkan hujah berfakta, bukan andaian bersulam sindiran dan ‘double standard’. Jangan bangkitkan dan persoalkan integriti sekiranya hakikat hanyalah permainan politik.
Malaysia tidak memerlukan Ketua Audit Negara yang mengikut telunjuk politik. Malaysia perlukan seorang yang berani, berwibawa, beretika dan yang sah dilantik mengikut proses Perlembagaan.
Saya yakin, kita telah pun ada Ketua Audit yang memenuhi kriteria ini.
* Penulis ialah Presiden, Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia).
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami