MALAYSIA

[KOLUMNIS] 'Aspirasi RMK13 bakal menguji kesabaran rakyat Malaysia'

Kolumnis AWANI 04/08/2025 | 04:00 MYT
Penulis membangkitkan persoalan sama ada rakyat Malaysia sudah bersedia untuk melakukan perubahan sebelum jangka masa tahun 2030 RMK13 ini.
SEMPENA pelancaran Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada sesi Parlimen kali ini, MUDA merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan kerajaan yang terlibat, khususnya dari Kementerian Ekonomi. Meskipun berlaku pertukaran menteri akibat percaturan politik MADANI, kakitangan kerajaan tetap teguh menunaikan amanah dan tanggungjawab dalam memuktamadkan RMK13 ini.

Seperti mana-mana inisiatif kerajaan, asas dasar RMK13 ini turut berpaut kepada hala tuju politik semasa, iaitu Kerangka Ekonomi MADANI yang dipacu oleh Perdana Menteri dan mantan Menteri Ekonomi.
Tidak dinafikan intipati RMK13 ini bersifat aspirational dalam membangunkan negara kita ke tahap yang lebih tinggi.

Namun seperti yang ditegaskan oleh penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Abhijit Banerjee dan Esther Duflo dari Massachusetts Institute of Technology (MIT), kejayaan sesuatu dasar bergantung kepada pelaksanaannya dan tidak hanya perancangan semata-mata.


Tidak Perlu Lama Untuk Menilai Keberkesanan MADANI

Satu cara untuk mengukur kemampuan ini adalah dalam melihat prestasi semasa dan corak aliran MADANI sepanjang memegang majoriti dua pertiga sejak tahun 2022.

Contohnya dalam aspek tadbir urus yang baik.

Tanpa kita perlu menunggu sehingga tahun 2030, rakyat dapat menilai sama ada kerajaan MADANI telah menjalankan tugas yang baik dalam melindungi keluhuran perlembagaan, kesaksamaan undang-undang, dan keterpisahan yang jelas dalam mengimbangi kuasa eksekutif.

Manakan tidaknya apabila usaha untuk mereformasikan sistem (seperti pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya) undang-undang drakonian (seperti Akta Hasutan) dan proses lantikan jawatan-jawatan utama (seperti kehakiman, ketua polis) itu masih berada di fasa “kajian” atau tidak disentuh langsung.

Realiti Sedih Melangkaui Angka Statistik

Saya pasti RMK13 ini telah disemak berulang kali agar pembawakan yang dibawa kali ini adalah segar dan berlainan daripada sebelumnya. Pembaca dapat menilai sendiri daripada penekanan MADANI kepada high growth high value (HGHV), sektor berimpak tinggi, pekerjaan berkemahiran, kecerdasan pintar, keterjaminan makanan, dan pendidikan berholistik.

Walaupun tanpa adanya Kerangka Ekonomi MADANI, aspek-aspek ini sebenarnya telah lama menjadi lumrah dalam kebanyakan pentadbiran kerajaan.

Namun apa yang lebih penting adalah dalam menilai sensitiviti kepimpinan MADANI kepada perkara yang tidak boleh dilihat daripada angka statistik semata-mata.

Dalam konteks ini, saya tidak melihat sebarang keluarbiasaan kepimpinan MADANI dalam memenuhi aspirasi yang telah mereka sebut-sebutkan, selain daripada hanya untuk membanding-bandingkan angka dalam mengejar ranking atau pengiktirafan antarabangsa.

Awalnya, saya menjangkakan RMK13 ini akan membuat pengukuran dengan lebih tersasar mengikut wilayah memandangkan kadar pembangunan dan kos kehidupan di negara kita ini tidak seimbang.

Kesenjangan yang Lambat Terubat

Misalnya, dalam pengiraan KDNK nasional, penglibatan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sahaja telah merangkumi 60.9% daripada pecahan saiz. Oleh itu sasaran pertumbuhan KDNK (2030) sebanyak 5.5% itu tidak semestinya mencerminkan perkembangan sebenar di kebanyakan negeri di Malaysia.

Begitu juga dalam usaha pembasmian kemiskinan. Walaupun perangkaannya dilihat semakin mengecil dari segi kemiskinan tegar, relatif dan pelbagai dimensi, sebahagian besar populasi miskin di persisiran pantai timur Sabah masih tidak berdaftar kerakyatannya atau merupakan pendatang tanpa izin. Besar kemungkinan realiti ini tidak termasuk dalam perangkaan kemiskinan, sekaligus mewujudkan “lost generation” yang diwarisi turun-temurun.

Kesenjangan antara perangkaan dan realiti ini perlu lebih diperhati kerana perkara inilah yang sebenarnya menimbulkan keresahan sosio-ekonomi terutamanya di luar Lembah Klang yang majoritinya adalah Melayu dan Bumiputera.

Kepada mereka yang berada negeri di luar kepusatan KDNK tersebut, bukan sahaja peluang pekerjaan HGHV dan potensi menambah pendapatan (terutamanya menerusi pelaburan langsung asing) berada di luar lingungan tempat bermastautin mereka, malah masa depan anak-anak mereka turut terancam akibat sistem pendidikan kita yang masih gagal menyelesaikan masalah asas.

Saya nyatakan perkara ini kerana masih ramai pelajar sekolah yang tidak mempunyai peranti pintar dan kemudahan internet – apatah lagi untuk mempelajari kecerdasan pintar seperti yang disebut Menteri Pendidikan. Bukan sahaja kemahiran berteknologi, ada dalam kalangan pelajar rendah atas yang masih tidak boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik.

Dalam keadaan lepasan SPM yang tidak berminat untuk ke universiti, sebenarnya lebih ramai lagi yang tidakpun menghabiskan Tingkatan 5 atau layak untuk ke peringkat TVET sekalipun.

Elak Kesilapan Berbuah Lagi

Keciciran anekdot sebeginilah yang boleh merencatkan perjalanan pembangunan negara kita, dan MUDA tidak yakin ada satu kesefahaman dalam kepimpinan MADANI untuk menyelesaikan masalah terpencil rakyat terbawah, walaupun RMK13 ini ada menyebut kepada pemakaian behavioural insights kerana impaknya bersifat setempat (seperti pendekatan sekolah angkat), sedangkan permasalahannya adalah meluas dan bersifat nasional.

Inilah antara sebab biarpun saban tahun peruntukan belanjawan semakin besar, dengan jumlah kumulatif hutang yang meningkat, permasalahan yang sama masih tidak dapat diselesaikan. Lihat sahaja kepada ketidakcukupan jumlah doktor dan doktor pakar di hospital-hospital awam.

Seperti kata Albert Einstein: kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang berbeza.

Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk melakukan perubahan sebelum jangka masa tahun 2030 RMK13 ini?



* Penulis ialah Ainie Haziqah, Setiausaha Agung MUDA

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.







#RMK13 #Kerangka Ekonomi MADANI #muda #pelaburan