awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
MALAYSIA
KPM akan bentang pindaan akta wajibkan pendidikan menengah bulan depan
MALAYSIA
KPT pantau pelajar Malaysia di Iran
MALAYSIA
Kementerian Pertahanan sedia bantu bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

MALAYSIA

[KOLUMNIS] Bahagian Siasatan SPRM: Benteng integriti dan keadilan

Zainul Darus
Zainul Darus
19/06/2025
02:10 MYT
[KOLUMNIS] Bahagian Siasatan SPRM: Benteng integriti dan keadilan
SPRM percaya, kejayaan dalam operasi yang dijalankan mesti diterjemahkan kepada kesan yang dapat dirasai oleh rakyat iaitu pengurangan ketirisan dana awam, peningkatan kecekapan pentadbiran dan keadilan yang dapat dilihat serta dirasai oleh semua.
SEBAGAI negara berdaulat yang menegakkan undang-undang, ketelusan dan akauntabiliti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperanan penting bagi memastikan jenayah rasuah dibendung dan integriti ditegakkan.
Bahagian Siasatan SPRM memainkan peranan utama dalam menyiasat dakwaan salah laku, penyalahgunaan kuasa, serta penyelewengan melalui kuasa yang diberikan di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Berdasarkan kepada prinsip Bebas, Telus dan Profesional dalam melaksanakan tugasnya, Bahagian ini memastikan setiap aduan dan maklumat yang diterima diuruskan mengikut SOP penilaian maklumat dan siasatan selaras dengan undang-undang yang berkaitan,
Di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, Bahagian Siasatan SPRM telah menggariskan tiga fokus utama untuk memerangi dan mengekang perlakuan rasuah iaitu dalam bidang Perolehan Awam, Penguatkuasa Undang-Undang serta Grand Corruption (rasuah berskala besar yang berprofil tinggi dan berkepentingan awam).
Namun, Bahagian ini sering berdepan dengan jumlah kes yang besar, menjadikan pengurusan sumber manusia, kewangan, dan masa sebagai salah satu cabaran. Ini kerana setiap siasatan memerlukan penelitian tinggi bagi mendapatkan bukti yang kukuh, bukan sahaja bagi memastikan tindakan pendakwaan dapat dilakukan secara sah dan berkesan, tetapi juga untuk mengelakkan sebarang ketidakadilan terhadap individu yang tidak bersalah.
Salah satu cabaran utama dihadapi pegawai penyiasat adalah menjaga kerahsiaan maklumat. Dalam era digital ini, di mana teknologi berada di hujung jari, kebocoran maklumat boleh berlaku dengan pantas sekiranya kawalan keselamatan tidak diperkukuhkan.
Sekiranya maklumat siasatan terbocor ia mungkin menjejaskan siasatan kes kerana suspek atau saksi berkesempatan melarikan diri ataupun menghapuskan atau memusnahkan sebarang bukti.
Oleh itu, dalam mengejar “breaking news”, wartawan dan pihak media juga harus faham mengapa maklumat siasatan tidak boleh dibocorkan sebelum sesebuah siasatan atau serbuan dijalankan.
Selain itu, perkembangan teknologi juga merupakan cabaran kepada pegawai-pegawai siasatan dalam aspek pengetahuan dan kepakaran berkaitan sesuatu teknologi. Kesalahan rasuah semakin sukar dikesan kerana transaksi boleh dilakukan melalui pelbagai cara - menggunakan e-wallet, mata wang digital termasuk cryptocurrency, menggunakan pengurup wang dan sistem hawala dan cara tradisional termasuk pemindahan wang tunai dalam jumlah yang besar. Keupayaan penjenayah menghapuskan bukti dengan mudah menambahkan lagi kesulitan dalam proses penyiasatan.
Seperkara lagi, jenayah rasuah tidak sama dengan jenayah lain di mana mangsa sanggup tampil ke depan untuk menjadi saksi. Lazimnya, kedua-dua pemberi dan penerima rasuah sama-sama mendapat faedah dan tiada saksi untuk melaporkan jenayah itu.
Jika ada pun, ramai saksi enggan tampil membantu SPRM, sama ada semasa proses siasatan mahupun dalam fasa pendakwaan. Keengganan ini berpunca daripada ketakutan, ancaman, atau kepentingan peribadi yang terlibat dalam kes berkenaan.
Cabaran bertambah rumit apabila siasatan melibatkan entiti luar negara. Setiap negara mempunyai sistem perundangan berbeza, menjadikan proses mendapatkan dokumen atau keterangan saksi sebagai satu tugas yang mencabar. Perbezaan dalam prosedur perundangan, termasuk kaedah memperoleh bukti dan perlindungan hak asasi, boleh melambatkan proses siasatan.
Tambahan pula, jika kes melibatkan penahanan suspek di luar negara, isu utama adalah mendapatkan perjanjian ekstradisi. Tanpa perjanjian ini, membawa pulang suspek untuk disiasat atau dibicarakan di negara asal menjadi satu tugas yang sangat mencabar.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Bahagian Siasatan terus komited dalam menjalankan tugasnya dengan profesionalisme tinggi. Melalui strategi yang efektif dan kerjasama erat antara agensi dalam dan luar negara, siasatan dijalankan dapat mencapai tahap keberkesanan lebih baik dalam usaha menegakkan keadilan dan membanteras rasuah.
Pada masa yang sama, pegawai penyiasat SPRM sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan tentang akta-akta dan teknologi terkini. Dengan memahami peruntukan undang-undang berkaitan, mereka dapat memastikan setiap langkah siasatan mematuhi prosedur yang sah.
Pendedahan kepada teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), Blockchain, analitik data forensik dan big data akan membantu pegawai dalam mengenal pasti, mengesan serta menganalisis bukti dengan lebih pantas dan tepat. Penggunaan algoritma untuk mengesan pola transaksi yang tidak wajar atau tidak biasa boleh memberi petunjuk awal tentang kemungkinan jenayah rasuah.
Dalam menangani cabaran siasatan antarabangsa pula, SPRM sentiasa memperkukuh hubungan dengan agensi-agensi antirasuah luar negara seperti Corrupt Practice Investigation Bureau (CPIB) Singapore, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia dan Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong melalui memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama strategik.
Penyertaan dalam organisasi antarabangsa seperti Interpol, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah Malaysia (UNCAC) dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) juga dapat membantu mempercepatkan proses ekstradisi dan perkongsian maklumat rentas sempadan.
Bahagian Siasatan SPRM juga berusaha meningkatkan jalinan kerjasama erat dengan institusi kewangan dan syarikat-syarikat yang menyediakan platform perbankan dalam talian bagi mendapatkan bukti transaksi rasuah dalam talian. Penggunaan perisian analisis kewangan dan teknologi blockchain juga dapat membantu mengesan aliran wang haram dengan lebih sistematik.
Keberkesanan siasatan tidak boleh dicapai secara bersendirian. Oleh itu, Bahagian Siasatan menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai bahagian dalam SPRM seperti Bahagian Perisikan, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Analisa Kewangan dan Bahagian Forensik Kewangan termasuk Bahagian Penyiasatan Tatakelola dalam menjalankan siasatan serta Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) untuk melihat isu-isu kelemahan prosedur dan tadbir urus.
Statistik SPRM dari tahun 2020 sehingga tahun 2024 menunjukkan 4,441 Kertas Siasatan telah dibuka dan 4,480 tangkapan. Dari situ, 2,193 orang telah dituduh dengan 1,103 menerima sabitan.
Bahagian Siasatan juga turut melibatkan Bahagian Komunikasi Strategik dalam usaha penyebaran maklumat terkini berkaitan kes-kes yang dijalankan serta bagi meningkatkan keyakinan terhadap peranan dan fungsi SPRM.
SPRM percaya, kejayaan dalam operasi yang dijalankan mesti diterjemahkan kepada kesan yang dapat dirasai oleh rakyat iaitu pengurangan ketirisan dana awam, peningkatan kecekapan pentadbiran dan keadilan yang dapat dilihat serta dirasai oleh semua.
Dengan penyiasatan lebih berkesan, proses siasatan bukan sahaja boleh dipercepatkan, tetapi juga memastikan keadilan ditegakkan dengan lebih baik. Setiap kes disiasat perlu menghasilkan impak positif, bukan sekadar membawa pesalah ke muka pengadilan, tetapi juga mengembalikan aset dan wang yang diselewengkan balik ke kantung negara demi faedah rakyat.
Akhir kata, kerjasama dan penglibatan rakyat dalam menyalurkan maklumat berkaitan rasuah amat penting untuk membantu siasatan dan membentuk budaya antirasuah dalam negara ini.

* Datuk Zainul Darus ialah Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Topic Berkaitan
#SPRM
#Bahagian Siasatan SPRM
#Rasuah
#integriti
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami