MALAYSIA

[KOLUMNIS] BAK: Menganalisis jejak kewangan, merungkai struktur jenayah moden

Mohd Azwan Ramli 30/06/2025 | 08:00 MYT
KPKPj Mohd Azwan Ramli adalah Pengarah, Bahagian Analisa Kewangan (BAK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto SPRM
DI sebalik pendedahan kes rasuah berprofil tinggi, terdapat sebuah bahagian teknikal yang beroperasi secara sistematik dan senyap: Bahagian Analisa Kewangan (BAK). Ditubuhkan bagi memperkukuh dimensi siasatan berasaskan bukti kewangan, BAK berperanan mengenal pasti, mengesahkan dan merungkai struktur transaksi yang direka bentuk untuk menyembunyikan hasil jenayah.
BAK bukan sekadar menganalisis angka, tetapi menyusun semula aliran kewangan bagi membina naratif yang menyeluruh dan konsisten dan mengenal pasti punca dana, entiti perantara, serta penerima akhir. Dalam konteks jenayah kewangan yang semakin kompleks, ketepatan analisis menjadi penentu utama kepada kejayaan pendakwaan.
Antara pendekatan utama yang diaplikasi ialah Excessive Property Analysis (EPA), iaitu penilaian sama ada harta yang dimiliki melebihi keupayaan pendapatan sah. Jika terdapat ketidakseimbangan ketara, ia membuka ruang kepada siasatan lebih mendalam berkaitan sumber perolehan.
Selain EPA, kaedah money trail dan asset tracing digunakan untuk menjejak aliran dana dari peringkat permulaan hingga ke destinasi akhir. Transaksi melalui akaun proksi, pemindahan ke luar negara, dan pelaburan luar jangka merupakan antara corak yang kerap dianalisis.
BAK turut mengendalikan kes-kes yang melibatkan transaksi syarikat pelbagai lapisan (layered companies) dan struktur pemilikan kompleks. Tugas ini memerlukan bukan sahaja kepakaran teknikal dalam perakaunan forensik, tetapi juga kerjasama strategik bersama agensi pemantau kewangan dan pihak berkuasa di Malaysia.
Salah satu cabaran utama ialah penggunaan tunai dalam jumlah besar, yang menyukarkan pengesanan aliran sebenar dan mengaburkan bukti dokumentari. Di samping itu, kewujudan aset digital seperti mata wang kripto memperkenalkan satu lagi dimensi kerumitan, memerlukan pemahaman terhadap teknologi Blockchain dan kaedah pengesanan dompet digital.
Bagi memperkukuh keupayaan, pegawai BAK dilatih secara berterusan dalam bidang perakaunan forensik, undang-undang kewangan dan penggunaan teknologi terkini. Pendekatan moden termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi proses robotik (RPA) dan pembelajaran mesin (machine learning) kini digunakan untuk mengenal pasti corak penyelewengan yang tidak mudah dikesan secara manual.
Laporan yang dihasilkan bukan hanya sekadar dokumen teknikal, tetapi berperanan sebagai dokumen forensik yang menyokong elemen penting dalam pembuktian kes. Ia memberi gambaran jelas kepada mahkamah tentang mekanisme penyamaran transaksi dan justifikasi terhadap kewujudan aset tanpa sumber sah.
Lebih daripada sekadar menyumbang kepada sabitan, hasil kerja BAK telah membantu pemulihan aset negara yang telah diseleweng dan memperkukuh kredibiliti siasatan SPRM di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selari dengan komitmen untuk tidak beroperasi secara silo baru-baru ini, BAK memperkenalkan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) sebagai platform kolaboratif strategik. KKFP menghimpunkan tujuh agensi utama iaitu Jabatan Audit Negara (JAN), SPRM, Jabatan Akauntan Negara (JANM), Lembaga Hasil Dalam
Negeri Malaysia (LHDNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA); dalam usaha memperkukuh perkongsian kepakaran berkaitan peraturan, pematuhan, pelaburan serta struktur pemilikan syarikat. Inisiatif ini turut menjadi instrumen penting dalam
mengesan dan memulihkan dana awam yang dicuri serta disorokkan di luar negara.
Dalam era jenayah kewangan yang semakin licik dan terselindung di sebalik struktur sah perniagaan, BAK muncul sebagai barisan hadapan dalam memecahkan ilusi kesahihan. Melalui analisis yang teliti, cekap dan berteraskan prinsip forensik, BAK terus menyumbang kepada ketelusan, akauntabiliti serta pemulihan integriti institusi kewangan negara.
"Di mana terdapat jejak wang, di situ wujud ruang bagi kebenaran untuk dibongkar."
Itulah asas dan semangat di sebalik setiap gerak kerja BAK.

*KPKPj Mohd Azwan Ramli adalah Pengarah, Bahagian Analisa Kewangan (BAK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Bahagian Analisa Kewangan #SPRM #kes rasuah berprofil tinggi #enayah kewangan