[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Bakat wanita, aset strategik menuju negara maju

Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan 10/10/2025 | 06:30 MYT
Penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan kepemimpinan masih rendah, dengan hanya 6.20 juta wanita berbanding 10.65 juta lelaki pada 2025 (data DOSM). -Gambar hiasan/Freepik
APABILA berbicara tentang pembangunan negara, kita sering kali menekankan soal teknologi, modal insan, daya saing ekonomi dan infrastruktur moden.


Ringkasan AI
  • Ketidakseimbangan Penyertaan Wanita: Walaupun wanita mendominasi pendidikan tinggi (seperti majoriti pelajar universiti), penyertaan mereka dalam tenaga buruh dan kepemimpinan masih rendah, dengan hanya 6.20 juta wanita berbanding 10.65 juta lelaki pada 2025 (data DOSM), menyebabkan "kebocoran bakat" dan Malaysia ketinggalan dalam Indeks Jurang Gender Global 2025 (peringkat ke-15 daripada 19 negara di Asia Timur dan Pasifik).
  • Wanita sebagai Aset Strategik: Wanita membawa perspektif inklusif untuk inovasi dan etika, meningkatkan pertumbuhan ekonomi (potensi lonjakan KDNK >20% menurut Bank Dunia 2024), serta memainkan peranan kritikal dalam mendidik generasi masa depan, menjadikan pemberdayaan mereka penting untuk daya saing negara dan pembangunan lestari.
  • Langkah Penyelesaian: Perlu strategi menyeluruh seperti dasar mesra keluarga (cuti bersalin, kerja fleksibel, pusat penjagaan kanak-kanak), kuota wanita dalam kepemimpinan, pendidikan STEM dan keusahawanan, serta perubahan budaya untuk hapus stereotaip gender, bagi memastikan bakat wanita dimanfaatkan sepenuhnya menuju status negara maju.


Namun, ada satu aset strategik perlu diberikan perhatian dan komitmen dalam wacana dan pengisian pembangunan iaitu bakat wanita.

Secara realiti, separuh daripada populasi Malaysia terdiri daripada wanita. Malangnya, sumbangan mereka dalam ruang kepimpinan pelbagai sektor, penglibatan aktif di dalam sektor tertentu masih jauh daripada potensi sebenar.

Persoalannya, mampukah Malaysia benar-benar mencapai status negara maju sekiranya separuh daripada aset bakat ini masih tidak diberdayakan sepenuhnya?



Laporan dari Forum Ekonomi Dunia (2025) mengatakan keseimbangan antara perwakilan tenaga kerja wanita dan lelaki merentas industri akan menyokong kreativiti dan inovasi, menangani kekurangan bakat dan kemahiran, serta merapatkan jurang gaji di tengah-tengah transformasi teknologi dan anjakan demografi.

Ini juga dapat memberikan pulangan pelaburan pendidikan, kerana semakin hari, wanita mengatasi prestasi lelaki di peringkat pendidikan tinggi.

Walaupun begitu, mereka masih kurang diwakili dalam tenaga kerja dan dalam peranan kepimpinan , hanya 29.5% daripada pengurus kanan berpendidikan tinggi adalah wanita.

Ketidakpadanan ini menyerlahkan ketidakcekapan sistemik dalam menterjemahkan kesediaan kemahiran yang sedia ada kepada penglibatan ekonomi yang lebih luas dan juga dalam kepimpinan.

Sejarah membuktikan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap, malah penggerak utama dalam pembangunan masyarakat.

Dari sektor pendidikan hingga ke bidang ekonomi, sumbangan wanita terbukti kritikal dan tidak boleh dipandang ringan.

Di universiti misalnya, majoriti pelajar yang menamatkan pengajian adalah wanita. Namun, apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan, pola ini tidak lagi mencerminkan dominasi yang sama.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan fenomena ini. Pada suku kedua tahun 2025, jumlah tenaga buruh negara dicatatkan seramai 16.85 juta orang.

Daripada jumlah tersebut, 10.65 juta adalah lelaki, manakala hanya 6.20 juta adalah wanita. Jurang ini memberi gambaran jelas bahawa walaupun wanita mendominasi pengajian tinggi, penyertaan mereka dalam tenaga buruh masih jauh ketinggalan.

Lebih membimbangkan, jumlah penduduk yang berada di luar tenaga buruh turut memperlihatkan kecenderungan yang sama.



Pada tahun 2024, bilangan mereka meningkat sedikit daripada 7.0 juta orang pada 2023 kepada 7.02 juta orang dan wanita terus mendominasi kategori ini, iaitu dengan kadar 69.2 peratus (4.86 juta orang).

Ini telah menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 1 peratus berbanding tahun 2023. Manakala, lelaki mencatatkan 30.8 peratus, menunjukkan penurunan 1.1 peratus berbanding 2.19 juta orang pada 2023.

Fenomena ini menunjukkan berlakunya “kebocoran bakat” (leaky pipeline) dalam kalangan wanita yang merugikan negara.

Dalam era globalisasi, bakat merupakan penentu daya saing sesebuah negara. Sekiranya bakat wanita terus dipinggirkan, kita berisiko kehilangan sumber tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada inovasi, produktiviti, dan pembangunan lestari.

Justeru, mengiktiraf wanita sebagai aset strategik bukan sekadar isu kesaksamaan gender, tetapi soal kepentingan nasional.

Walaupun dasar-dasar progresif telah digubal, halangan terhadap penglibatan wanita masih wujud dalam bentuk budaya, norma sosial, dan sistem kerja yang kurang mesra keluarga.

Banyak wanita berkelayakan akhirnya memilih untuk berundur daripada pasaran kerja kerana beban berganda dan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

Selain itu, stereotaip yang melihat kepimpinan sebagai dominasi lelaki turut menyekat peluang wanita untuk menonjolkan bakat mereka.

Tidak hairan jika kita masih lagi melihat wanita perlu bekerja dua atau tiga kali ganda lebih kuat daripada lelaki untuk dilihat atau diiktiraf sebagai ketua atau pemimpin.

Lebih membimbangkan, ada juga suara yang mempersoalkan mengapa isu wanita masih terus diangkat.

“Tidakkah wanita sudah mendapat banyak peluang?” soalan ini kedengaran seolah-olah masalah sudah selesai.

Hakikatnya, wanita masih berdepan jurang dari segi penyertaan dalam politik, ekonomi dan korporat, serta kepimpinan strategik pelbagai sektor.

Normalisasi terhadap ketidakseimbangan ini menjadikan masyarakat kurang peka terhadap kepincangan yang berlaku.



Menurut Indeks Jurang Gender Global 2025 telah memberikan gambaran signifikan untuk diteliti bersama.

Indeks Jurang Gender Global 2025 merekodkan purata dunia 68.8%. Amerika Utara (75.8%), Eropah (75.1%), serta Amerika Latin dan Caribbean (74.5%) mencatatkan pencapaian tertinggi.

Asia Tengah (69.8%) dan Asia Timur serta Pasifik (69.4%) melepasi purata global, manakala Sub-Sahara Afrika (68.0%), Asia Selatan (64.6%), dan Timur Tengah serta Afrika Utara (61.7%) berada di bawahnya.

Malaysia, dalam kumpulan Asia Timur dan Pasifik, berada di tangga ke-15 daripada 19 negara, di bawah semua negara Asia Tenggara termasuk Brunei.

Dalam empat sub-indeks, kepimpinan politik menunjukkan jurang terbesar dengan hanya 22.9% dirapatkan, berbanding Penyertaan Ekonomi (61%), Kesihatan (96.2%), dan Pendidikan (95.1%).

Malaysia berada di tangga ke-128 daripada 148 negara, serta ke-9 daripada 10 negara Asia Tenggara dalam sub-indeks kepimpinan politik.

Semua data ini menunjukkan Malaysia masih ketinggalan. Ini petanda jelas bahawa kita tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian semasa.



Sekiranya ingin bersaing di pentas antarabangsa, Malaysia perlu berani melakukan lonjakan baharu dalam mengiktiraf dan memanfaatkan bakat wanita.

Mengapa wanita harus dilihat sebagai aset strategik? Pertama, mereka membawa perspektif berbeza dalam membuat keputusan.

Kajian menunjukkan bahawa organisasi yang mempunyai kepimpinan wanita lebih cenderung mengamalkan pendekatan inklusif, empati, lestari dan beretika serta people-centric.

Kedua, pemberdayaan wanita meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Laporan dikeluarkan oleh Bank Dunia pada 2024 menganggarkan bahawa penglibatan penuh wanita dalam pasaran kerja mampu melonjakkan KDNK sesebuah negara sebanyak lebih daripada 20%, sekali gus mampu menggandakan kadar pertumbuhan global sepanjang dekad akan datang.

Ketiga, wanita mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi masa depan. Keupayaan mereka tidak boleh disangkal di dalam mendidik, membimbing, dan mencorakkan nilai masyarakat adalah modal sosial yang tidak ternilai terutamanya di zaman pasca normal ini.

Malaysia memerlukan strategi menyeluruh untuk memastikan bakat wanita tidak lagi terpinggir.

Antara langkah utama termasuklah dasar mesra keluarga perlu diperluas, diperkemas dengan sistem sokongan yang membolehkan wanita mengimbangi kerjaya dan keluarga, seperti pusat penjagaan kanak-kanak berkualiti dan selamat di tempat kerja atau premis lain, cuti bersalin dan cuti paterniti, pengaturan kerja fleksibel, kemasukan kembali ke alam pekerjaan, bekerja dari rumah.

Selain itu, semua pihak perlu menyokong kepada dasar mesra keluarga ini, sebagai satu contoh ringkas, pihak terlibat di dalam sambutan atau perayaan, termasuk ketika cuti sekolah, lebih mesra keluarga dengan memberikan tawaran yang baik bagi membantu membolehkan rakyat menghabiskan masa bersama keluarga tanpa kos yang melampau dan bukannya mengambil peluang mengaut keuntungan yang melampau ekoran dari perayaan atau cuti sekolah ini.

Prinsip ini, sama ada di tempat kerja atau pun ruang awam mampu menyediakan satu eko-sistem yang menyokong dan membantu keseimbangan kehidupan dan boleh meningkatkan kualiti hidup.



Dari segi peluang kepimpinan pula perlu peningkatan kuota wanita dalam jawatan pembuat dasar, badan legislatif, institusi pendidikan tinggi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) dan sektor swasta.

Kuota bukan soal “memberi muka”, tetapi strategi mempercepatkan penglibatan wanita dalam ruang yang selama ini terbatas.

Melalui pendidikan dan latihan pula negara boleh membina keyakinan serta kemahiran wanita dalam bidang yang kurang diterokai seperti STEM, teknologi digital, dan keusahawanan berimpak tinggi.

Kita juga perlu perubahan budaya kerja yang menghapuskan stereotaip gender dan mengangkat meritokrasi, inklusiviti dan diversiti.

Ini membolehkan mewujudkan akses yang lebih adil kepada wanita serta kumpulan marginal yang lain. Budaya yang lebih rencam mampu menghasilkan pemikiran yang lebih inovatif dan pasukan yang mempunyai daya saing yang tinggi.



Kesimpulannya, menuju status negara maju bukan sekadar soal pencapaian ekonomi, tetapi juga keupayaan membina masyarakat inklusif yang menghargai setiap bakat tanpa mengira jantina.

Wanita bukan sekadar setengah daripada populasi, mereka adalah separuh daripada kekuatan negara. Sekiranya bakat wanita terus dipandang sebagai pelengkap dan bukannya pemacu, Malaysia akan kehilangan peluang emas untuk melonjak ke hadapan.

Sudah tiba masanya kita menukar persepsi bahawa wanita bukan lagi “isu sampingan” tetapi aset strategik negara.

Dengan memanfaatkan sepenuhnya bakat wanita, Malaysia bukan sahaja akan lebih bersedia menjadi negara maju, malah akan lebih lestari, inklusif, dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.



Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.









#Bakat Wanita #Ketidakseimbangan Penyertaan Wanita #tenaga buruh dan kepemimpinan #kebocoran bakat