Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Belanjawan 2026: Amanah negara di tangan penjawat awam

Datuk Yahaya Abdullah 11/10/2025 | 16:15 MYT
Sejak Merdeka, perkhidmatan awam menjadi tulang belakang negara, daripada membina sistem pendidikan dan kesihatan, membuka jalan raya, mengurus pembangunan wilayah hingga menjaga pentadbiran demokrasi. - Gambar fail/Bernama
APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 pada petang Jumaat 10 Oktober 2025, beliau tidak hanya membaca angka, beliau membaca hala tuju negara.

Ternyata Belanjawan MADANI keempat adalah saksi Malaysia memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional (national rejuvenation).

Belanjawan ini merupakan satu pernyataan dasar negara, sebuah doktrin strategik yang menetapkan hala tuju Malaysia dalam menghadapi dekad yang penuh ketidaktentuan.

Ia juga adalah bab pembukaan bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), satu pelan pembangunan jangka panjang yang menjadi tunjang Malaysia sekali gus belanjawan ini adalah pintu masuk kepada Tahun Melawat Malaysia 2026, satu momen besar untuk mempamerkan wajah negara kepada dunia.

Apa yang menjadikan Belanjawan 2026 begitu signifikan bukan hanya keberanian politiknya, tetapi siapa yang akan menjadi pemegang amanah utama pelaksanaannya; bukan saja tokoh politik, bukan sekadar agensi pusat, tetapi kesemua penjawat awam, ratusan ribu pegawai yang menggerakkan sistem negara setiap hari.

Belanjawan ini memperuntukkan RM419.2 billion meliputi RM338.2 billion belanja mengurus dan RM81 billion belanja pembangunan dan pada masa sama defisit fiskal diunjur turun kepada 3.5 peratus. Ini bukan angka retorik, ini isyarat bahawa Malaysia mahu membelanjakan secara berani tetapi bertanggungjawab. Namun, angka ini tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang jujur, pantas dan bersih daripada ketirisan.

Kita sering membayangkan belanjawan sebagai milik kerajaan semata-mata. Hakikatnya, selepas Perdana Menteri membentangkan dan ahli Parlimen mengundi meluluskannya, tanggungjawab sebenar berpindah kepada jentera awam ,mereka yang akan menentukan sama ada ia menjadi kenyataan atau sekadar catatan dalam 'hansard'.


Belanjawan sebagai doktrin, bukan sekadar dokumen

Dunia yang sedang kita hadapi hari ini jauh lebih mencabar daripada sedekad lalu. Perang tarif antara kuasa besar, gangguan rantaian bekalan global, perubahan iklim, serta lonjakan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap pentadbiran awam secara mendasar.

Dalam negara pula, landskap politik semakin matang tetapi semakin rumit, rakyat semakin vokal, ekspektasi semakin tinggi dan toleransi terhadap kelemahan semakin tipis.

Dalam keadaan ini, belanjawan bukan lagi sekadar alat fiskal, tetapi alat tadbir urus nasional. Ia adalah perisytiharan tekad, bagaimana negara mahu bertahan, berkembang dan bersaing.

Tiga langkah besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 membuktikan keberanian kerajaan mengubah dasar lama;

1. Penyasaran subsidi nasional - Langkah berani untuk menjimatkan RM15.5 bilion setahun melalui RON95, diesel, ayam, telur dan tarif elektrik.

2. Disiplin fiskal bersejarah - RM419.2 bilion perbelanjaan dengan defisit 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terendah dalam sedekad.

3. Pelaburan strategik dalam AI dan digitalisasi negara - RM2 bilion bagi membina Sovereign AI Cloud dan mengangkat Malaysia sebagai pemain teknologi serantau.

Ketiga-tiga langkah ini bukan sekadar idea ekonomi. Ia adalah keputusan politik dan pentadbiran yang besar. Tetapi pelaksanaan sebenar bukan akan berlaku di Parlimen atau Putrajaya. Ia akan berlaku di daerah, di hospital, di sekolah, di balai, di kaunter perkhidmatan, di tanah lapangan dan pelaksana sebenar bukan wakil rakyat tetapi penjawat awam.

Belanjawan 2026 memperkenalkan pelbagai langkah cukai yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan perniagaan kecil-sederhana. Bagi individu, pelepasan cukai diperluas kepada penjagaan anak, vaksinasi, perlindungan insurans, pelancongan domestik, gaya hidup lestari dan sokongan keluarga termasuk kanak-kanak OKU. Langkah ini selaras dengan agenda kesejahteraan rakyat dan pelan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam sektor perniagaan, insentif cukai diperkukuh untuk latihan AI, teknologi hijau, pertanian moden, modal teroka dan latihan OKU - bagi mendorong pelaburan dalam bidang strategik dan meningkatkan produktiviti.

Selain itu, kerajaan memperluas potongan cukai untuk derma sosial, dana amal, biasiswa profesional, perusahaan sosial, serta program antirasuah. Dalam hartanah, pengecualian duti setem untuk rumah pertama diteruskan hingga 2027, manakala kadar baharu duti untuk pembeli asing ditetapkan 8 peratus.

Dalam sektor pelancongan dan mobiliti, pengecualian cukai terus menyokong pemain industri menjelang 2026. Kerajaan turut menaikkan cukai eksais tembakau dan alkohol, memperkenal cukai karbon bermula 2026, serta mempercepat proses pematuhan cukai melalui e-invois dan sistem penilaian sendiri - menandakan langkah serius ke arah tadbir urus fiskal moden dan lestari.




Penjawat awam: Dari pelaksana ke pemacu negara

Salah satu kesilapan besar dalam wacana dasar negara selama ini ialah kita sering meremehkan kedudukan penjawat awam sebagai sekadar pelaksana rutin. Hakikatnya, merekalah “mesin sebenar” negara ini bergerak. Polisi sehebat mana pun akan gagal jika mesin ini tidak digerakkan dengan pantas, cekap dan berprinsip.

Kita sering mendengar; “Dasar bagus, tapi pelaksanaan lemah.” Kalimat ini sebenarnya menyembunyikan realiti bahawa pelaksanaan negara bergantung sepenuhnya pada jiwa, disiplin dan budaya kerja penjawat awam.

Belanjawan 2026 memberikan tanggungjawab yang lebih berat daripada sebelumnya;

• Subsidi bersasar memerlukan penyelarasan rentas agensi, kecekapan data, dan komunikasi dasar yang tepat kepada rakyat.

• Disiplin fiskal memerlukan kawalan perbelanjaan yang ketat dan pengawasan yang telus.

• Digitalisasi negara melalui MyDigital ID (dengan sasaran 15 juta pengguna aktif menjelang akhir 2025) memerlukan pegawai yang bukan sekadar tahu menggunakan sistem, tetapi mampu memudahkan rakyat menggunakannya.

• Pelaburan AI memerlukan jentera pentadbiran awam yang mampu mengadaptasi teknologi baharu, bukan yang takut padanya.

Semua ini bukan kerja ringan. Ia menuntut anjakan budaya kerja yang besar dalam perkhidmatan awam daripada selamat kepada berani, daripada reaktif kepada strategik, daripada birokratik kepada lincah.


KSN dan kepimpinan pentadbiran

“Mewakili Kerajaan MADANI serta seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang saban hari menjalankan amanah, berkhidmat
bagi menjayakan dasar-dasar MADANI demi kesejahteraan rakyat.” - Petikan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pembentangan Belanjawan 2026.

Peranan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersama ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua pengarah jabatan dan setiausaha-setiausaha kerajaan negeri dalam konteks ini amat kritikal.

Mereka bukan sekadar ketua pentadbiran, tetapi penjaga semangat dan budaya kerja seluruh perkhidmatan awam.

Setahun kebelakangan ini, KSN dan pasukannya dilihat konsisten menekankan nilai;

• Kecekapan dan kepantasan keputusan.

• Keberanian menanggung tanggungjawab.

• Pengurangan lapisan kelulusan yang membazir masa.

• Serta pemerkasaan unit pelaksanaan strategik seperti pasukan STAR

Pasukan STAR (special taskforce on agency reform) telah membuktikan bahawa apabila diberi mandat dan ruang, perkhidmatan awam mampu menjimatkan RM1.1 bilion melalui penyelarasan projek dan peningkatan keberkesanan.

Ini bukan angka kecil. Ini bukti bahawa kekuatan sebenar ada dalam jentera awam sendiri, bukan semestinya dalam konsultan luar. Inilah kepimpinan teknokratik yang diperlukan dalam doktrin strategik bajet ini. Bajet bukan milik menteri. Ia milik negara dan pemegang amanahnya adalah penjawat awam.


Antara tekad dan jurang pelaksanaan

Namun kita juga tidak boleh menutup mata terhadap realiti. Jurang pelaksanaan masih terus tetap menjadi pengganggu utama reformasi nasional. Banyak dasar hebat terhempap bukan kerana ia salah, tetapi kerana pelaksanaannya lemah;

• Prosedur dalaman yang lambat.

• Budaya menunggu arahan, bukan mencipta penyelesaian.

• Ketakutan membuat keputusan.

• Birokrasi yang lebih takut pada kesalahan pentadbiran berbanding kegagalan menyampaikan perkhidmatan.

Dalam konteks Belanjawan 2026, kelemahan sebegini bukan lagi boleh diterima. Subsidi bersasar boleh menjadi pencetus kemarahan rakyat jika pelaksanaannya perlahan. Pendigitalan perkhidmatan awam boleh menjadi bahan ketawa jika pegawai sendiri tidak bersedia.

Pelaburan AI boleh menjadi projek papan tanda jika tiada strategi pelaksanaan yang menyeluruh. Kelemahan ini bukan sekadar risiko pentadbiran tetapi risiko politik dan nasional.




Penjawat awam sebagai tulang belakang naratif negara

Apa yang menarik, Belanjawan 2026 secara tidak langsung mengembalikan pusat graviti naratif negara kepada perkhidmatan awam. Jika kita perhatikan, semua inisiatif besar bajet ini - penyasaran subsidi, pendigitalan perkhidmatan, AI, pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak berpaksikan satu perkara; keupayaan jentera awam untuk menyampaikan.

Rakyat tidak menilai belanjawan di Parlimen. Mereka menilai di pasar tani, di sekolah, di hospital, di kaunter perkhidmatan. Bagi petani di Baling, belanjawan ini bermakna bantuan sampai tepat waktu. Bagi pelajar di Kapit, belanjawan ini bermakna internet wujud di kampungnya. Bagi penjaja kecil di Lembah Klang, belanjawan ini bermakna proses lesen tidak lagi tersangkut.

Itulah ukuran sebenar bukan defisit, bukan Sovereign AI Cloud, bukan angka RM bilion dalam teks ucapan. Penjawat awam bukan lagi sekadar pentadbir dasar. Mereka kini arkitek kepercayaan rakyat terhadap kerajaan MADANI.


Budaya baharu perkhidmatan awam

Oleh itu, doktrin strategik ini menuntut perubahan budaya dalam perkhidmatan awam;

1. Daripada birokrasi kepada solusi

Pegawai tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik alasan peraturan. Mereka mesti menjadi pencipta penyelesaian.

2. Daripada reaktif kepada strategik

Perkhidmatan awam mesti mampu membaca tren, bukan sekadar menunggu arahan politik.

3. Daripada takut kepada berani

Pegawai mesti berani bertanggungjawab - membuat keputusan berdasarkan data dan integriti, bukan hanya prosedur selamat.

4. Daripada tertutup kepada terbuka

Pendekatan lama yang tidak telus sudah tidak sesuai dalam dunia digital dan pasaran terbuka.


Peluang besar di sebalik Belanjawan 2026

Belanjawan ini, jika dilihat secara jujur, membuka peluang besar;

• RM15.5 bilion penjimatan subsidi boleh disalurkan semula kepada kesihatan, pendidikan dan infrastruktur luar bandar.

• RM2 bilion pelaburan AI boleh menjadikan Malaysia pusat teknologi serantau.

• MyDigital ID dan Kiosk MADANI boleh menjadikan perkhidmatan awam lebih pantas, mudah dan inklusif.

• Pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak boleh merapatkan jurang pembangunan dan menyatukan negara.

Namun peluang hanya akan menjadi realiti jika jentera awam bergerak. Tanpa penjawat awam yang kuat, belanjawan ini hanya tinggal impian.


Seruan kepada penjawat awam

Inilah saatnya perkhidmatan awam Malaysia membuktikan nilainya yang sebenar. Sejak Merdeka, perkhidmatan awam menjadi tulang belakang negara, daripada membina sistem pendidikan dan kesihatan, membuka jalan raya, mengurus pembangunan wilayah hingga menjaga pentadbiran demokrasi.

Kini, peranan itu diuji semula bukan sekadar dari segi keberkesanan, tetapi daya tahan dan keupayaan beradaptasi dalam dunia baharu.

KSN dan barisan kepimpinannya telah menunjukkan bahawa kepimpinan teknokratik boleh menggerakkan perubahan. Tetapi kepimpinan umpama ini hanya akan bermakna jika ia disambut oleh seluruh penjawat awam, dari Putrajaya ke pedalaman, dari pegawai kanan ke barisan hadapan. Bajet ini tidak akan berjaya dengan slogan. Ia hanya akan berjaya dengan tindakan seharian.


Belanjawan ini bukan tentang angka. Ia tentang kita

Setiap belanjawan akhirnya akan dihakimi oleh rakyat. Bukan pakar ekonomi. Bukan birokrat. Tetapi;

• Mak cik yang mahu harga barang stabil

• Anak muda yang mahu peluang kerja

• Nelayan yang mahu bantuan tidak tersangkut di meja pegawai

• Pelajar luar bandar yang mahu akses teknologi seperti orang kota

Belanjawan ini menyentuh mereka melalui program Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat, perkhidmatan bergerak, subsidi bersasar, MyDigital ID dan AI Talent.

Namun segala ini hanya akan menjadi kenyataan jika penjawat awam benar-benar bekerja dengan jiwa bukan sekadar ikut arahan. Jika pelaksanaannya berjaya, Belanjawan 2026 akan dikenang sebagai titik perubahan negara. Jika gagal, ia akan menjadi satu lagi peluang besar yang terbuang.

Buktikan bahawa perkhidmatan awam Malaysia bukan sahaja jentera negara, ia adalah jiwa dan nadi kemajuan bangsa. Kerana akhirnya, kejayaan atau kegagalan belanjawan ini akan ditentukan bukan oleh apa yang dibentangkan di Parlimen, tetapi apa yang dilakukan di lapangan oleh kita semua.

Ia adalah ujian terhadap kecekapan, maruah dan daya juang perkhidmatan awam Malaysia.



* Datuk Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.







#penjawat awam #kecerdasan buatan #subsidi bersasar #Belanjawan 2026