KUALA LUMPUR: APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini, beliau berdepan cabaran untuk mengimbangi tiga tuntutan.
Rakyat mahukan kelegaan daripada tekanan kos sara hidup, pelabur menuntut kepastian dasar, manakala parti-parti dalam kerajaan pula memerlukan pencapaian yang boleh dibawa kepada pengundi menjelang pilihan raya.
Memenuhi ketiga-tiga tuntutan ini bukan sahaja akan menguji kedudukan kewangan negara, tetapi juga sejauh mana Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kesepaduan politiknya.
Keutamaan kerajaan seharusnya jelas: melindungi kuasa beli rakyat tanpa mengorbankan keupayaan negara untuk terus melabur ketika menghadapi kejutan geopolitik.
Bantuan mesti sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, tetapi kerajaan juga perlu mengakui bahawa komitmen perbelanjaan berulang semakin mengecilkan ruang fiskal.
Memberikan habuan menjelang pilihan raya dengan menangguhkan keputusan-keputusan sukar mungkin menguntungkan dari sudut politik dalam jangka pendek, tetapi akhirnya hanya memindahkan beban kepada pentadbiran seterusnya.
Atas sebab itu, Belanjawan 2027 mempunyai nilai politik yang luar biasa.
Ia berkemungkinan menjadi belanjawan terakhir yang dirunding dan diluluskan bersama oleh parti-parti yang kini membentuk Kerajaan Perpaduan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun, kemungkinan itu tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang pasti.
Sekiranya pilihan raya berlangsung lebih lewat, kerajaan masih berpeluang membentangkan satu lagi belanjawan.
Apa yang lebih penting ialah apabila perbezaan antara parti semakin ketara, keputusan mengenai cukai, subsidi dan perbelanjaan kerajaan juga semakin sukar dipisahkan daripada perkiraan kelangsungan politik masing-masing.
Kongres DAP pada Ogos lalu, yang menyaksikan majoriti besar perwakilan memilih untuk terus kekal dalam kerajaan, memperlihatkan dua perkara serentak: komitmen untuk mempertahankan kerajaan dan kegelisahan terhadap kedudukan parti itu sendiri.
Ketegangan antara DAP dan UMNO menyerlahkan dilema utama Kerajaan Perpaduan.
Parti-parti yang bersama-sama memikul tanggungjawab mentadbir Putrajaya pada masa sama perlu meyakinkan pengundi bahawa mereka masih mempunyai identiti dan pendirian tersendiri.
Majoriti yang kukuh di Parlimen tidak semestinya bermakna wujud kesepakatan tentang siapa yang perlu menanggung kos sesuatu pembaharuan.
Di sinilah muncul risiko ketidakselarasan dasar.
Parti-parti kerajaan boleh bersetuju tentang pentingnya disiplin fiskal, tetapi dalam masa sama menolak pelarasan subsidi, menuntut lebih banyak peruntukan untuk kawasan masing-masing atau mahukan pengecualian bagi kelompok tertentu.
Setiap tuntutan mungkin mempunyai justifikasinya sendiri.
Namun apabila terlalu banyak kompromi dihimpunkan dalam sebuah belanjawan, keseluruhan kerangka fiskalnya boleh menjadi lemah.
Bagi pelabur, persoalannya mudah: adakah Belanjawan 2027 dibina berdasarkan hala tuju ekonomi yang jelas dan konsisten, dan mampukah kerajaan menanggung segala komitmen yang diumumkan?
Tekanan dari luar menjadikan persoalan ini semakin mendesak.
Kenyataan pra-Belanjawan Kementerian Kewangan memberi amaran bahawa konflik di Asia Barat telah melonjakkan harga minyak mentah melebihi AS$100 setong, manakala bil subsidi bahan api Malaysia boleh mencecah RM40 bilion tahun ini.
Apabila lebih banyak wang dibelanjakan untuk subsidi, semakin sempit ruang yang tinggal untuk pendidikan, kesihatan dan infrastruktur, kecuali kerajaan mampu meningkatkan hasil atau melakukan penjimatan di bahagian lain.
Memang benar harga petroleum yang lebih tinggi boleh meningkatkan hasil kerajaan.
Namun pada masa sama, ia turut meningkatkan kos subsidi bahan api, pengangkutan dan input yang diimport.
Justeru, kenaikan harga minyak tidak semestinya memberikan keuntungan fiskal bersih kepada kerajaan.
Gangguan kepada laluan perkapalan serta kenaikan harga baja pula boleh diterjemahkan kepada harga makanan yang lebih tinggi.
Ini meningkatkan keperluan terhadap bantuan kerajaan pada ketika perbelanjaan pembangunan juga perlu dipertahankan.
Belanjawan 2027, oleh itu, wajar menyediakan peruntukan luar jangka yang telus untuk menghadapi gangguan bekalan tenaga dan rantaian bekalan, berserta syarat yang jelas mengenai bila dan bagaimana dana itu boleh digunakan.
Bantuan sementara yang benar-benar bersasar adalah lebih baik daripada mewujudkan komitmen kekal berdasarkan harga komoditi yang sentiasa berubah.
Begitu juga dengan pembaharuan subsidi. Pelaksanaannya secara berperingkat mesti disokong oleh mekanisme penentuan kelayakan yang tepat dan boleh dipercayai.
Dasar fiskal yang baik sekalipun boleh bertukar menjadi beban politik sekiranya pelaksanaannya gagal.
Pada masa sama, persaingan strategik antara Amerika Syarikat dan China menjadikan strategi pelaburan Putrajaya semakin kompleks.
Malaysia mempunyai peluang untuk menarik syarikat yang mahu mempelbagaikan lokasi pengeluaran mereka.
Namun tarif, sekatan teknologi dan penelitian yang semakin ketat terhadap rantaian bekalan boleh mengehadkan peluang tersebut.
Dalam keadaan ini, dasar berkecuali dari sudut diplomatik sahaja tidak mencukupi.
Syarikat yang beroperasi di Malaysia tetap tertakluk kepada realiti peraturan perdagangan dan teknologi yang ditentukan oleh kuasa-kuasa ekonomi utama.
Belanjawan juga perlu memperkukuh keupayaan pentadbiran kastam, termasuk kapasiti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), di samping membantu syarikat memenuhi keperluan pematuhan eksport serta menyokong perusahaan kecil meneroka pasaran alternatif.
Perbelanjaan seperti ini mungkin tidak semenarik pengumuman sebuah taman perindustrian baharu, tetapi kesannya penting dalam memastikan syarikat Malaysia terus mempunyai akses kepada pasaran antarabangsa.
Sokongan kerajaan kepada sektor perniagaan pula perlu membantu syarikat menyesuaikan diri dengan perubahan, bukannya menjadi subsidi berpanjangan kepada perniagaan yang tidak lagi berdaya saing.
Sektor semikonduktor hampir pasti akan terus diberikan perhatian strategik. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah pun memohon peruntukan besar untuk sektor tersebut.
Bidang seperti pembungkusan cip termaju, reka bentuk cip dan automasi industri menawarkan peluang kepada Malaysia untuk bergerak ke aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi. Tetapi insentif kewangan sahaja tidak mencukupi.
Kejayaan sektor ini bergantung kepada bekalan jurutera berkemahiran, keupayaan syarikat tempatan menjadi pembekal dan kewujudan infrastruktur yang stabil serta boleh dipercayai.
Sebab itu pembiayaan kerajaan perlu menghubungkan pendidikan teknikal dan latihan universiti dengan keperluan sebenar industri, menyokong penyelidikan yang mempunyai potensi komersial serta membantu syarikat Malaysia memasuki rantaian bekalan syarikat multinasional.
Setiap insentif juga perlu datang bersama sasaran yang boleh diukur, termasuk jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan, tahap gaji dan perolehan daripada syarikat tempatan.
Angka pelaburan yang diluluskan mungkin kelihatan mengagumkan di atas kertas.
Namun angka itu tidak banyak bermakna kepada rakyat sekiranya projek tidak direalisasikan, pekerjaan berkualiti tidak diwujudkan dan taraf hidup tidak bertambah baik.
Infrastruktur tenaga dan air juga perlu diberikan perhatian yang sama serius.
Pusat data dan industri pembuatan berteknologi tinggi memerlukan bekalan elektrik dan air yang stabil.
Menarik masuk pelaburan tanpa menyediakan utiliti yang mencukupi hanya akan mewujudkan kesesakan baharu yang mahal untuk diselesaikan kemudian.
Pelaburan dalam menaik taraf grid elektrik, meningkatkan kecekapan tenaga dan menjamin keselamatan bekalan air bukan sahaja menyokong industri strategik, malah meningkatkan daya saing keseluruhan ekonomi dan mengurangkan risiko apabila berlaku gangguan pada masa hadapan.
Namun cita-cita membangunkan industri berteknologi tinggi tidak boleh menyebabkan keperluan asas diketepikan.
Sistem kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial yang boleh diharapkan rakyat mesti terus menjadi keutamaan.
Belanjawan 2027 juga tidak boleh melupakan Sabah dan Sarawak. Peruntukan pembangunan wilayah perlu mengambil kira jurang kemudahan dan perkhidmatan serta kemampuan sebenar untuk melaksanakan projek yang dirancang.
Pelancongan, pertanian dan perusahaan kecil juga memerlukan sokongan yang praktikal supaya pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di koridor pelaburan utama.
Memberikan perhatian strategik kepada industri semikonduktor tidak bermakna sektor lain harus dipinggirkan, khususnya industri yang kesan ekonominya lebih cepat dan lebih langsung dirasai oleh rakyat.
Akhirnya, Belanjawan 2027 akan menjadi ujian sama ada kompromi antara parti dalam kerajaan mampu diterjemahkan kepada sebuah agenda nasional yang benar-benar meyakinkan.
Tolak ansur politik memang tidak dapat dielakkan dalam sebuah kerajaan campuran.
Namun harganya menjadi semakin sukar untuk dipertahankan apabila kompromi itu mula menghakis sumber negara dan kepastian dasar yang diperlukan untuk menjamin masa depan ekonomi Malaysia.
Belanjawan 2027 mengingatkan saya kepada satu peribahasa Melayu lama — menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Mustahil, namun boleh diikhtiarkan!
*Rizal Hamdan ialah Pegawai Program Kanan di Merdeka Center dengan fokus terhadap geopolitik dan hubungan luar. Pandangan yang dikemukakan adalah pandangan peribadi penulis. Beliau turut menulis mengenai geopolitik menerusi laman Rimau Geopolitic.Substack.Com
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.