BAGI seorang graduan yang baru bekerja, bayaran pinjaman PTPTN boleh menentukan sama ada masih ada wang untuk mereka membantu ibu bapa dan menabung sedikit simpanan.
Sebab itu, langkah meringankan bayaran balik PTPTN dalam Belanjawan 2027 memberi erti yang jauh melampaui urusan kutipan hutang. Ia sebenarnya menyentuh kemampuan pendidikan tinggi mengubah kehidupan.
Kerajaan mengumumkan penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan dan bayaran minimum RM50 sebulan bagi mereka yang berpendapatan RM2,501 hingga RM3,000. Diskaun 10 peratus turut diumumkan bagi peminjam tanpa tunggakan yang membayar secara teratur.
Sebagai Naib Canselor sebuah universiti swasta, saya melihat langkah ini sebagai pengiktirafan terhadap keadaan sebenar sebahagian graduan.
Memiliki ijazah tidak semestinya bermakna seseorang sudah mempunyai pendapatan yang selesa.
Pada tahun awal pekerjaan, mereka selalunya juga akan menanggung sewa kediaman, pengangkutan dan keperluan keluarga.
Pada masa sama, kelestarian dana PTPTN perlu dipelihara supaya generasi pelajar seterusnya terus mendapat akses pembiayaan.
Peminjam yang mampu perlu menunaikan tanggungjawab, sementara mereka yang menghadapi kesempitan diberi ruang berdasarkan kemampuan sebenar.
Dasar bayaran balik yang adil perlu mengimbangi kedua-dua keperluan ini.
Hakikatnya, penangguhan bayaran balik juga memberi ruang bernafas buat graduan.
Oleh itu, perbahasan mengenai PTPTN perlu bergerak lebih jauh kepada hubungan antara kos pengajian, mutu pendidikan dan pendapatan selepas bergraduasi.
Kemampuan membayar balik akan bertambah baik apabila graduan memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran mereka.
Tanggungjawab ini turut dipikul universiti. Program pengajian perlu dinilai berdasarkan penguasaan ilmu, kemahiran yang diperlukan dan perkembangan kerjaya graduan.
Hubungan dengan industri mesti membolehkan pelajar mendapat pengalaman kerja yang bermutu serta laluan pekerjaan yang jelas.
Universiti juga perlu mengurus kos dengan telus agar kenaikan yuran tidak menjadi jawapan mudah kepada setiap tekanan kewangan.
Bagi pelajar daripada keluarga miskin, persoalannya bermula sebelum mereka menerima diploma atau ijazah.
Jika pendidikan diharapkan memutuskan rantaian kemiskinan, pembiayaannya perlu mengambil kira kemampuan keluarga sejak awal.
Saya berpandangan bahawa gabungan biasiswa bersasar, zakat bagi penerima yang layak, wakaf pendidikan dan tajaan industri wajar diperluas untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN.
Pendekatan ini patut mempertimbangkan pelajar yang layak di institusi awam dan swasta, dengan syarat mutu serta percapaian yang jelas.
Anak daripada keluarga asnaf yang memasuki universiti ialah bakat yang perlu digilap.
Bantuan pendidikan melalui bantuan zakat dan wakaf pendidikan seharusnya membuka peluang untuk mereka membina kehidupan yang lebih baik tanpa dibebani hutang yang terlalu besar.
Belanjawan 2027 turut mengumumkan potongan cukai kepada majikan yang membayar pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja untuk bayaran sepanjang 2027 hingga 2028.
Pada pandangan saya, galakan ini boleh dikembangkan sebagai sebahagian pakej pembangunan bakat.
Universiti dan industri boleh merangka kerjasama yang menghubungkan latihan, pengambilan pekerja dan bantuan pembayaran pinjaman, dengan syarat pekerjaan yang adil.
Persoalan pekerjaan graduan membawa kita kepada kedudukan Malaysia dalam ekonomi antarabangsa.
Dari sudut hubungan antarabangsa, belanjawan adalah gambaran tentang bagaimana negara membina keupayaannya untuk berhadapan dengan dunia luar.
Pendidikan menyediakan tenaga mahir, manakala dasar perdagangan dan hubungan diplomatik membantu membuka ruang untuk tenaga mahir itu digunakan.
Prakata dalam dokumen Perbelanjaan Persekutuan 2027 sendiri mengakui tekanan ketidaktentuan global dan konflik berterusan di Asia Barat.
Bagi ekonomi yang berhubung rapat dengan perdagangan antarabangsa, gangguan di luar negara boleh sampai ke kilang, perusahaan kecil dan rumah tangga melalui kos pengangkutan, bahan mentah serta perubahan permintaan.
Dalam keadaan ini, Malaysia perlu memperluas rakan dagang dan pasaran sambil mengekalkan kebebasan menentukan kepentingan nasional.
Diplomasi ekonomi perlu dinilai melalui peluang sebenar yang diwujudkan: akses pasaran, kerjasama teknologi, pembangunan kemahiran dan pelaburan yang memperkukuh perusahaan tempatan.
Hubungan yang baik antara kerajaan perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.
Justeru, universiti perlu menjadi sebahagian daripada usaha ini. Kerjasama dengan institusi luar negara boleh membuka peluang penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran dan latihan dalam bidang yang diperlukan negara.
Nilainya perlu diukur melalui ilmu yang dipindahkan, keupayaan penyelidik tempatan dan peluang yang tersedia kepada pelajar.
Pengantarabangsaan pendidikan tinggi juga mesti dapat dinikmati oleh pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Program mobiliti, latihan dan pendedahan antarabangsa wajar disertai pembiayaan bersasar.
Jika peluang tersebut hanya mampu disertai pelajar yang berada, jurang pengalaman dan jaringan profesional antara graduan akan terus melebar.
Dari perspektif hubungan antarabangsa, pendidikan turut membina kepercayaan antara masyarakat.
Pelajar antarabangsa yang memperoleh pendidikan bermutu dan pengalaman yang baik di Malaysia berpotensi menjadi penghubung antara negara selepas kembali ke tanah air.
Sebab itu, mutu akademik, kebajikan pelajar dan integriti institusi perlu menjadi asas diplomasi pendidikan negara.
Pada masa sama, usaha menarik pelajar antarabangsa perlu disertai pelaburan semula dalam pengajaran, penyelidikan dan kemudahan kampus.
Bagi universiti swasta, kepelbagaian sumber pendapatan boleh membantu kelestarian kewangan.
Namun, akses pelajar tempatan yang kurang berkemampuan mesti terus dipelihara melalui bantuan yang telus dan bersasar.
Hubungan antara pendidikan tinggi dengan pelaburan asing juga perlu dirancang dengan lebih rapat.
Kerjasama universiti dan majikan boleh merangkumi latihan berbayar, penyelidikan gunaan serta pembangunan kemahiran baharu.
Dengan itu, usaha menarik pelaburan turut membuka laluan kerjaya yang lebih baik kepada graduan tempatan.
Dalam menilai pelaksanaan Belanjawan 2027, saya mencadangkan agar perhatian diberikan kepada pendapatan graduan, kesepadanan pekerjaan dengan kelayakan dan kemampuan membayar pinjaman tanpa menjejaskan keperluan asas.
Universiti perlu meneliti hasil ini untuk memperbaiki program pengajian, manakala kerajaan dan industri membantu memperluas peluang pekerjaan bermutu.
Pembiayaan pendidikan dan hubungan antarabangsa bertemu pada persoalan keupayaan graduan.
Negara memerlukan graduan yang mampu menyumbang dalam ekonomi yang semakin saling bergantung.
Graduan pula memerlukan dasar yang membolehkan mereka memperoleh manfaat daripada hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ilmu dengan dunia luar.
Ukuran yang dekat dengan kehidupan rakyat bawahan dengan pendidikan tunggi perlu dinilai antaranya adakah anak daripada keluarga berpendapatan rendah berjaya mengubah kehidupan keluarga mereka ke arah yang lebih baik selepas mereka keluar dari institusi pengajian tinggi?
Belanjawan 2027 membuka ruang untuk tujuan itu.
Tugas kita ialah memastikan kelegaan hutang hari ini disusuli peluang pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan.
* Profesor Dr Mohd Afandi Salleh ialah Naib Canselor, MAIWP International University (UniMAIWP).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.