Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] ‘Belanjawan bukan sekadar dokumen, tapi Waad Nasional besar’

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu. Kali ini, Belanjawan 2027 menyediakan RM510 bilion, paling besar dalam sejarah. Inilah waad kita kepada rakyat dan negara. Malah kepada generasi akan datang. - Gambar Jabatan Penerangan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu. Kali ini, Belanjawan 2027 menyediakan RM510 bilion, paling besar dalam sejarah. Inilah waad kita kepada rakyat dan negara. Malah kepada generasi akan datang. - Gambar Jabatan Penerangan

Advertisement

BELANJAWAN 2027 yang dinantikan oleh rakyat sudah pun disajikan. 

Pada petang Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang membentangkan bajet tahunan yang terbesar dalam sejarah negara, menekankan satu perkara penting. 

Beliau menggambarkan belanjawan bukan sekadar satu dokumen kemajuan negara dan rakyat, tetapi satu “Waad Nasional” atau “pernyataan moral.”

Sebenarnya apa yang dikatakan oleh beliau ada kebenaran. Kita menguruskan wang yang diamanahkan oleh rakyat. Kita perlu menguruskan wang rakyat untuk rakyat dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti.

Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) (2026-2030) yang dibentangkan oleh beliau pada 31 Julai 2025 turut menggariskan kepentingan amalan tatakelola dalam setiap tindakan perkhidmatan awam. 

Sebaliknya, ia meliputi setiap aspek kehidupan kita. Malah perkara itu sering ditekankan oleh beliau sejak mengepalai jawatan Perdana Menteri.

Beberapa hari sebelum pembentangan bajet tahunan, Laporan Ketua Audit Negara, walaupun ada komponen positif, turut menekankan tentang kelemahan dalam pengurusan wang oleh agensi-agensi awam. Ini yang dimaksudkan “Waad Nasional.” 

Belanjawan negara sebahagian daripada komponen perbelanjaan wang rakyat yang disalurkan menerusi khazanah nasional.

Berucap membentangkan ucapan Belanjawan 2027 yang kelima di bawah kepimpinannya di Dewan Rakyat, beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kemajuan yang sebenar tidak diukur tentang sejauh mana “kita bergerak, tetapi tentang apa yang kita angkat bersama dalam perjalanan itu, yakni maruah manusia, kekuatan keluarga, mobiliti generasi, keutuhan pranata, dan keyakinan bahawa usaha pastinya dibalas dengan hamparan peluang.’

 “Bukan hanya mewarisi kekuatan yang ada, tetapi berusaha memperluaskannya sehingga akhirnya ia menjadi legasi yang lebih besar untuk generasi penerus,” kata beliau yang merujuk kepada Sejarawan dan Failasuf Inggeris, Sir Isaiah Berlin yang meminjam satu gambaran purba yang ringkas tetapi tajam dan mendalam.

Mengulas rujukan itu, beliau menambah kata bahawa sang rubah mengetahui banyak perkara, sedangkan sang landak mengetahui satu perkara yang besar. 

“Dalam konteks kehidupan bernegara, kedua-duanya diperlukan. Sesebuah bangsa mesti mempunyai satu cita-cita besar yang konsisten, suatu tujuan yang memberi arah dan makna kepada perjalanan.

“Ekonomi menuntut pertumbuhan dan pengagihan, teknologi menuntut inovasi dan perlindungan, fiskal menuntut disiplin dan ihsan, selain pembangunan menuntut kepantasan dan kebijaksanaan. 

"Khulasahnya, sesebuah negara harus memiliki keteguhan sang landak tentang arah tuju dan cita-cita, dan kecerdikan sang rubah tentang jalan dan mekanisme untuk menjelmakannya,” jelas beliau.

Persaingan kuasa besar

Ucapan Anwar yang turut memetik pemikir dan faqih besar Islam al-Mawardi, menarik perhatian bahawa kekuasaan tidak berdiri dengan sendirinya tanpa tertib, hukum dan tanggungjawab.

Maka, tegas beliau, pemerintahan hanya memperoleh makna apabila amanah kekuasaan dilaksanakan dengan adil, institusi berfungsi dengan baik, dan kepentingan massa dipelihara. 

Kuasa diberikan menerusi mandat yang diperoleh dalam setiap pilihan raya. Ahli-ahli politik perlu menghargai, menghormati dan mengamalkan dengan baik sepanjang masa.

“Hari ini, itulah ujian dan tantangan kita. Dunia semakin bergejolak. Perang dan persaingan kuasa-kuasa besar serta perubahan dan kelaku iklim memberi kesan kepada harga makanan dan kos tenaga.

“Rantaian bekalan yang selama ini kita tanggapi sebagai kukuh, mula merapuh dan melemah, lantas menguji aspek keterjaminan makanan dan bekalan.

“Perkembangan kecerdasan buatan sedang mengubah perdagangan, tenaga, pekerjaan dan kehidupan dengan pantas. 

"Namun perubahan besar tidak hanya mewujudkan kekhawatiran. Ia juga membuka ruang kepada negara yang berani membaca dan menggarap zaman, menguasai ilmu baharu dan mempersiapkan rakyat sedari awal,” kata beliau.

Maka, tambah beliau, “persoalan kita bukan sekadar berapa besar ekonomi yang mahu dibina, tetapi sama ada pertumbuhan itu membuka ruang kepada keluarga untuk membina simpanan, kepada pekerja untuk menikmati upah yang lebih bermaruah, kepada perusahaan kecil untuk terus berkembang, dan kepada mana-mana mereka untuk menggapai di langit dan terus mengakar di bumi.

Lantaran itu, Perdana Menteri mengingatkan bahawa belanjawan negara adalah pernyataan moral atau Waad Nasional sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, tradisi pemikiran Melayu sendiri telah lama meletakkan persoalan keadilan dan amanah sebagai teras dan pasak pemerintahan. 

Dalam hal ini, beliau sekali lagi memetik kata-kata falsafah lama. 

Kali ini beliau memetik ungkapan penyair dan sejarawan Melayu purba Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas (1847), dengan merujuk kepada “Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.” 

Anwar menambah, “dalam tradisi kita, hubungan antara pemerintah dengan rakyat tidak pernah berdiri atas kuasa semata-mata.”

Ia terpasak atas waad, yakni suatu ikatan yang menuntut kesetiaan yang mesti dibalas dengan keadilan dan kuasa mesti dipagari amanah, kata beliau dan seterusnya menambah: “Inilah Waad Nasional kita.” Beliau berkongsi bahawa “waad ini juga bukan janji sehala.” 

Sebaliknya, negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya dengan ilmu, kerja, daya cipta dan keberanian. Pemerintah menjaga amanah, rakyat memperkukuh negara melalui usaha dan kecemerlangan, kata beliau.

Maka, menurut Anwar lagi, pengurusan amanah itu (belanjawan negara), adalah kewajiban sejarah. 

”Namun kewajiban itu bukan beban yang dipikul dengan sikap yang pesimis. Ia adalah kesempatan kepada generasi kita untuk meninggalkan sebuah negara yang lebih kukuh daripada yang kita warisi, dengan institusi yang lebih diyakini dan dipercayai, ekonomi yang lebih rencam dan generasi muda yang mempunyai ruang lebih luas untuk mencipta masa depan mereka sendiri.”

Beliau seterusnya berkata: “Maka, sejarah tidak diukir hanya oleh nama-nama besar, tetapi oleh jutaan manusia yang bekerja setiap hari, yang mengajar dan yang merawat, yang berniaga dan mencipta, yang menggembur tanah, yang menjaga keluarga dan membina kehidupan.”

Menurut beliau lagi, ukuran belanjawan bukan pada tebalnya dokumen, besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman. 

“Ukurannya malah jauh lebih asas, yakni adakah lebih ramai rakyat dapat hidup dengan bermaruah, dan apakah Malaysia yang kita serahkan kelak kepada generasi seterusnya lebih adil daripada Malaysia yang kita warisi.” 

Malah ujar beliau: “Jika jawapannya ya, maka itulah anjakan dan kemajuan yang sebenar.” “Dengan keyakinan bahawa kekuatan ekonomi harus akhirnya mengangkat kemuliaan insan, pertumbuhan mesti membuahkan keadilan, reformasi mesti memulihkan keyakinan dan setiap generasi wajib mewariskan negara yang lebih baik dari sebelumnya,” kata beliau.

Justeru, kata Anwar lagi, beliau menggubal Belanjawan MADANI 2027 sebagai ikhtiar sebuah generasi untuk memperkukuh tatanan dan memenuhi janji dan Waad Nasional kepada rakyat dan negara.

Menggapai di langit, mengakar di bumi

Belanjawan 2027 sekali lagi telah mencipta sejarah. Kali kedua berturut-turut. Belanjawan bernilai RM510 bilion ini merupakan bajet terbesar dalam sejarah Malaysia. Belanjawan 2026 yang diumumkan tahun lepas telah mencipta sejarah sebagai bajet terbesar.

Kali ini, kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM40 bilion, sekali gus menunjukkan bahawa ia sedang meningkatkan dana untuk memenuhi keperluan rakyat dan negara.

Kata Anwar, Belanjawan MADANI Kelima meneruskan dasar fiskal mengembang dengan mendaya guna seluruh kekuatan negara keseluruhannya berjumlah RM510 bilion ketimbang RM470 bilion. 

Daripada RM510 bilion itu, RM376.8 bilion adalah perbelanjaan mengurus persekutuan, RM83 bilion belanja pembangunan persekutuan, RM25 bilion pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),  RM11 bilion pelaburan awam-swasta dan RM14.2 bilion adalah pelaburan badan berkanun persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). 

"Tahun ini, hasil Persekutuan diunjur lebih tinggi RM363.6 billion, ketimbang anggaran asal RM343.1 billion. 

"Bagi tahun hadapan, hasil dijangka terus meningkat kepada RM380.8 billion. Krisis Asia Barat meningkatkan subsidi bahan api hingga RM40 billion. Defisit fiskal 2026 kini diunjur pada 3.6 peratus, ketimbang sasaran asal 3.5 peratus,” kata Perdana Menteri.

Namun, kadar ini kekal dalam jalur menurun daripada 5.5 peratus (2022) dan 3.7 peratus tahun lalu. Insya-Allah, defisit 2027 akan turun lagi kepada 3.3 peratus, menuju sasaran 3 peratus menjelang 2028.

Peruntukan bajet yang besar pada kali sememangnya sesuatu yang dijangkakan. Ini kerana rakyat di semua peringkat sangat berharap agar kerajaan akan melakukan sesuatu untuk mengurangkan beban, terutamanya kos sara hidup, di samping meningkatkan kualiti hidup rakyat. 

Lebih 300 insentif dan inisiatif telah diperkenalkan dalam Belanjawan 2027, yang seiring dengan tema Rancangan Malaysia ke-13.

Belanjawan 2027 bertemakan "Menggapai di langit, mengakar di bumi."

Kita mempunyai tanggungjawab yang besar lagi berat dalam menguruskan sejumlah wang yang besar diperuntukkan. 

Kali ini, Belanjawan 2027 menyediakan RM510 bilion, paling besar dalam sejarah. Inilah waad kita kepada rakyat dan negara. Malah kepada generasi akan datang.

Negara telah menyaksikan banyak kes kecil dan besar dalam soal kegagalan kita dalam daripada segi pernyataan moral pengurusan wang dan amanah rakyat. 

Kita perlu belajar daripada pengajaran lalu ke arah ekosistem kehidupan lebih baik ketika belanjawan bersejarah disajikan.


  • Profesor Adjung Dr G Manimaran ialah perunding media dan penganalisis pilihan raya.
  • Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement