Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Dari bilik darjah ke industri: Apabila pelajar sijil fesyen menjadi pereka fesyen

Sumber: Adobe Stock
Graduan TVET bukan sekadar tenaga kerja yang menunggu arahan, tetapi boleh menjadi tenaga profesional yang mempunyai kemahiran, kreativiti dan nilai tambah kepada industri. - Gambar hiasan
Advertisement

APAKAH yang berlaku apabila seorang pelajar TVET bukan sekadar belajar tentang industri, tetapi benar-benar dibawa masuk ke dalam dunia industri? 

Jawapannya dapat dilihat melalui pelaksanaan Industry on Campus (IoC) di Kolej Komuniti Rembau melalui kerjasama strategik bersama jenama Mars Kuala Lumpur dalam bidang fesyen. 

Sebagai sebuah institusi TVET, Kolej Komuniti bukan hanya berperanan menyampaikan ilmu dan kemahiran di dalam bilik darjah. 

Cabaran yang lebih besar ialah memastikan pelajar mampu mengaplikasikan apa yang dipelajari apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Dalam bidang fesyen, perkara ini amat penting. Pelajar bukan sekadar perlu tahu menghasilkan pakaian atau memahami asas reka bentuk. 

Mereka perlu memahami kehendak pelanggan, proses pengeluaran secara pukal, kawalan kualiti, pengurusan masa, penyelesaian masalah dan budaya kerja sebenar. 

Melalui IoC, pengalaman tersebut dibawa terus ke dalam proses pembelajaran. 

Pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian berpeluang merasai suasana kerja sebenar melalui penglibatan dalam pengeluaran pakaian wanita secara pukal serta aktiviti berkaitan reka bentuk fesyen. 

Mereka belajar daripada tugasan sebenar, berhadapan dengan cabaran sebenar dan memahami standard yang diperlukan oleh industri.

Pendedahan ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, malah membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja sebenar secara profesional.

Lebih menarik, hasil daripada kerjasama ini dapat dilihat melalui pencapaian graduan sendiri. 

Dua orang pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Rembau telah berjaya ditawarkan jawatan sebagai Pereka Fesyen di Mars KL Sdn Bhd selepas tamat pengajian. 

Bagi sesetengah pihak, mungkin timbul persoalan, bagaimana pelajar berkelulusan sijil boleh ditawarkan jawatan sebagai pereka fesyen? 

Di sinilah kekuatan sebenar TVET dapat dilihat. Kelayakan akademik penting, tetapi pengalaman, kemahiran praktikal, kebolehan menghasilkan produk dan kemampuan memenuhi kehendak industri juga mempunyai nilai yang besar.

Pelajar yang telah melalui pengalaman industri tidak bermula dari sifar apabila memasuki alam pekerjaan. 

Mereka telah mengenali persekitaran kerja, kehendak pasaran, strategi jualan online, memahami proses pengeluaran dan mengetahui standard yang perlu dicapai. 

Kajian yang dijalankan melalui temu bual separa berstruktur dan analisis dokumen turut menunjukkan bahawa program IoC menyumbang kepada peningkatan kemahiran teknikal, pengalaman industri, keyakinan diri dan peluang pekerjaan pelajar. 

Ini membuktikan bahawa hubungan antara institusi TVET dengan industri tidak seharusnya bersifat sekali-sekala. Ia perlu dibina sebagai satu ekosistem pembelajaran yang berterusan.

Kita perlu mengubah perspektif terhadap TVET. Graduan TVET bukan sekadar tenaga kerja yang menunggu arahan, tetapi boleh menjadi tenaga profesional yang mempunyai kemahiran, kreativiti dan nilai tambah kepada industri. 

Dalam bidang fesyen, seorang graduan bukan hanya boleh menjadi tukang jahit. 

Mereka boleh berkembang sebagai pereka fesyen, penyelia pengeluaran, pembangun produk, usahawan fesyen atau profesional dalam pelbagai cabang industri kreatif. 

Ini adalah satu cara untuk memastikan program fesyen di IPT kekal relevan dan masih mempunnyai permintaan di industri.

Akhirnya, kejayaan TVET bukan hanya diukur melalui berapa ramai pelajar yang berjaya memperoleh sijil. 

Kejayaan sebenar ialah apabila ilmu yang dipelajari mampu membuka pintu pekerjaan dan memberi keyakinan kepada graduan untuk melangkah ke industri. 

Daripada pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian kepada Pelopor industri fesyen, inilah gambaran bahawa apabila pendidikan dan industri bergerak bersama, laluan dari bilik darjah ke alam pekerjaan bukan lagi sekadar impian tetapi ia boleh menjadi realiti.


* Fara Azeerin A Karim menulis kajian penyelidikan bertajuk The Relationship between the Industry on Campus Program and the Employability of Graduates at Rembau Community College. Beliau ialah Pensyarah Kanan dari Kolej Komuniti Rembau.

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement