MALAYSIA

[KOLUMNIS] Dari Kuala Lumpur ke Gyeongju: Diplomasi ASEAN kini menerjah APEC

Harits Asyraf Hasnan 28/10/2025 | 23:00 MYT
Dalam dunia yang semakin berpecah, blok seperti ASEAN dan forum seperti APEC perlu kembali kepada asas - memperjuangkan keadilan, kelestarian dan keterangkuman. - Gambar Reuters
MALAYSIA menutup tirai kepengerusian ASEAN 2025 dalam suasana dunia yang sarat dengan cabaran merentasi krisis iklim yang semakin kritikal, tekanan geopolitik yang menekan multilateralisme dan jurang ekonomi antara negara maju serta membangun yang kian melebar.

Dalam persekitaran sedemikian, diplomasi bukan lagi sekadar soal imej dan protokol. Ia kini menjadi medan menentukan hala tuju masa depan serantau dan global; sama ada dunia memilih untuk berpadu atau terus terpisah oleh kepentingan kuasa besar.

Menegaskan ASEAN Centrality

Kepengerusian Malaysia menandakan anjakan penting dalam cara ASEAN menangani cabaran masa kini.

Daripada forum yang sering dianggap berhati-hat dan ‘menjaga hati’i, ASEAN kini tampil sebagai blok serantau yang berani membawa wacana baharu; dari keadilan iklim, ekonomi digital, hinggalah kepada ketahanan rantaian bekalan.

Inisiatif Malaysia seperti Pusat Kecemerlangan PKS untuk Peralihan Hijau dan Pelan Hala Tuju STI Ecosystem Foresight 2035 memperlihatkan tekad ASEAN untuk melangkaui perbincangan dasar kepada pelaksanaan sebenar.

Kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11 pula mengukuhkan prinsip keterangkuman serantau yang menjadi asas kepada ASEAN Centrality.

Lebih penting, ASEAN di bawah Malaysia menegaskan bahawa ‘Centrality’ bukan sekadar slogan, tetapi keupayaan untuk menyusun semula naratif serantau dalam landskap global yang kian terpecah.

Diplomasi Malaysia: Prinsip, Keberanian dan Keseimbangan

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk pendekatan diplomasi yang berteraskan prinsip dan nilai kemanusiaan, namun tetap berpaksikan realiti geopolitik.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar memilih jalan tengah - tidak tunduk kepada kuasa besar, tetapi juga tidak memutuskan jalinan dengan mana-mana pihak.

Gaya diplomasi ini meletakkan Malaysia sebagai penyampai suara kolektif ASEAN dan jambatan kepada Global South, tanpa meninggalkan prinsip keadilan dan solidariti antarabangsa.

Suara yang Mewakili Selatan Dunia

Malaysia kini membawa kredibiliti itu ke pentas APEC 2025 di Gyeongju, Korea Selatan.

Satu forum yang bukan sekadar soal ekonomi, tetapi juga pentas utama menentukan imbangan kuasa global.

Di sinilah Malaysia berperanan sebagai jambatan antara negara membangun dan kuasa besar, mengangkat suara negara-negara ‘Global South’ yang sering terpinggir dalam proses pembentukan dasar antarabangsa.

Isu-isu seperti etika kecerdasan buatan, jurang ekonomi digital dan keadilan iklim tidak boleh ditangani hanya melalui lensa kuasa besar.

Malaysia menegaskan pentingnya pendekatan yang inklusif, di mana negara membangun turut diberi ruang menentukan agenda global yang lebih seimbang dan lestari.

Dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi dan algoritma, Malaysia mengingatkan bahawa kemajuan digital mesti berakar pada nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti rentas sempadan.

Antara Prinsip dan Realiti

Malaysia tidak hadir di Gyeongju sebagai kuasa besar, tetapi sebagai kuasa berprinsip yang memahami keperluan berdiplomasi tanpa tunduk, serta berunding tanpa kehilangan pendirian.

Persekitaran geopolitik semasa menuntut diplomasi yang berani tetapi bernuansa.

Ketegangan antara kuasa besar, kebangkitan blok ekonomi baharu seperti BRICS dan kemerosotan kepercayaan terhadap sistem multilateralisme tradisional menuntut suara yang mampu menyatukan kepentingan negara membangun di bawah satu visi bersama.

Malaysia berada dalam posisi unik untuk memainkan peranan itu. Dengan reputasi sebagai penyokong kuat multilateralisme dan penyelesai konflik, Malaysia membawa mesej bahawa kuasa sebenar Asia Tenggara bukan terletak pada saiz ekonominya, tetapi pada keupayaan menyatukan kepelbagaian.

Ke Hadapan: Dari Serantau ke Global

Krisis iklim tidak menunggu rundingan. Ketidaksamaan ekonomi tidak menunggu reformasi. Cabaran geopolitik tidak menunggu konsensus.

Dalam dunia yang semakin berpecah, blok seperti ASEAN dan forum seperti APEC perlu kembali kepada asas - memperjuangkan keadilan, kelestarian dan keterangkuman.

Malaysia, melalui kepimpinannya dalam ASEAN dan peranannya di APEC, telah menegaskan satu perkara penting: bahawa suara Global South bukan lagi suara pinggiran, tetapi suara masa depan.



* Harits Asyraf Hasnan merupakan Penolong Naib Presiden, Pengarang Multiplatform, Bahagian Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan di Astro AWANI.

** Beliau,
ketika ini sedang membuat liputan sempena Minggu Pemimpim-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan.

*** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




#ASEAN #Kepengerusian Malaysia #diplomasi ASEAN #APEC #Kolumnis AWANI