SEMASA merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia, pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penegasan yang cukup berwibawa.
Bahawa, Perdana Menteri berkata, Malaysia konsisten dalam mempertahankan pendirian terhadap Dasar Satu China sebagai sebahagian daripada asas hubungan diplomatik Malaysia dengan Republik Rakyat China.
Ia sebenarnya merujuk kepada isu Taiwan di mana Anwar dalam satu wawancara dengan Al Jazeera baru-baru ini berkata, beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
"Ia adalah satu China. Ia diterima oleh semua." Begitu Anwar dipetik sebagai berkata.
Kita melihat pendirian ini bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya mencerminkan kesinambungan dasar luar negara yang telah dibentuk dan dilaksanakan sejak sekian lama.
Penegasan Perdana Menteri mengenai pendirian Malaysia terhadap Dasar Satu China baru-baru ini sewajarnya dilihat dalam kerangka dasar luar Malaysia yang berteraskan prinsip, pragmatisme dan kepentingan nasional.
Pada masa yang sama, pendirian tersebut tidak harus ditafsirkan sebagai sokongan terhadap sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan atau membawa kepada penggunaan kekerasan dalam menangani perbezaan merentasi Selat Taiwan.
Bagi Malaysia, prinsip dan pendekatan perlu bergerak seiring. Kita boleh berpegang teguh kepada pendirian dasar luar negara, namun dalam masa yang sama terus memperjuangkan penyelesaian secara aman, mengutamakan dialog serta menolak sebarang tindakan yang berpotensi mencetuskan konflik terbuka di rantau ini.
Malaysia bukan sebuah kuasa ketenteraan. Namun, kekuatan negara tidak pernah semata-mata diukur melalui saiz angkatan bersenjata atau kemampuan pertahanan. Dalam hubungan antarabangsa, kekuatan sesebuah negara juga terserlah melalui kewibawaan diplomasi, keupayaan membina kepercayaan dan kebijaksanaan mengurus perbezaan.
Di situlah terletaknya kekuatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara perdagangan yang terbuka dan sebahagian daripada komuniti ASEAN, kestabilan serantau merupakan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromikan.
Malaysia mempunyai kepentingan langsung untuk memastikan Asia Pasifik kekal sebagai rantau yang aman, stabil dan kondusif kepada perdagangan, pelaburan serta pertumbuhan ekonomi.
Justeru, sebarang perkembangan berkaitan Selat Taiwan perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan pertimbangan strategik. Perbezaan yang wujud tidak seharusnya menjadi pencetus kepada tindakan yang boleh membawa kesan lebih besar terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Malaysia percaya bahawa dialog dan rundingan perlu sentiasa diberikan keutamaan.
Saluran komunikasi mesti terus terbuka, manakala semua pihak perlu mengutamakan sikap menahan diri serta mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan salah faham, ketegangan atau risiko salah perhitungan.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan persaingan kuasa besar yang semakin ketara, suara negara-negara sederhana dan membangun menjadi semakin penting.
Malaysia mempunyai pengalaman yang panjang dalam menjalin hubungan dengan pelbagai kuasa besar tanpa mengorbankan prinsip dan kepentingan nasional.
Pendekatan ini membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan yang konstruktif dengan China, Amerika Syarikat, negara-negara ASEAN serta rakan-rakan antarabangsa yang lain.
Kita tidak perlu memilih antara satu pihak dengan pihak yang lain. Apa yang perlu menjadi pilihan kita ialah keamanan, kestabilan dan kepentingan Malaysia.
Dalam konteks ini, diplomasi bukan sekadar instrumen hubungan luar negara. Diplomasi merupakan sebahagian daripada kekuatan strategik Malaysia.
Malaysia perlu terus menggunakan ruang diplomasi yang ada untuk menyumbang kepada pembinaan persefahaman, menggalakkan komunikasi dan, sekiranya diperlukan, membantu merapatkan jurang antara pihak-pihak yang berbeza pandangan.
Peranan tersebut selari dengan tradisi dasar luar Malaysia yang sentiasa menekankan dialog, kerjasama dan penyelesaian secara aman.
Pada masa yang sama, Kementerian Luar Negeri perlu terus memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pendirian dan kenyataan Malaysia berkaitan perkembangan geopolitik antarabangsa disampaikan dengan jelas, konsisten dan berlandaskan kepentingan nasional.
Dalam isu yang begitu sensitif, ketepatan bahasa dan kebijaksanaan diplomatik adalah sama penting dengan pendirian yang ingin disampaikan.
Kita juga tidak boleh memisahkan isu keselamatan daripada realiti ekonomi.
Selat Taiwan merupakan sebahagian daripada ekosistem ekonomi dan rantaian bekalan global yang amat penting. Sebarang konflik atau ketegangan ketenteraan yang serius berpotensi memberikan kesan jauh melampaui rantau Asia Timur, termasuk terhadap perdagangan, perkapalan, industri berteknologi tinggi, pasaran kewangan dan rantaian bekalan antarabangsa.
Malaysia, sebagai sebuah negara yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa, pastinya tidak akan kebal daripada kesan tersebut.
Kestabilan geopolitik bukan sekadar isu keselamatan. Ia adalah prasyarat kepada kemakmuran ekonomi.
Setiap gangguan terhadap perdagangan global akhirnya mempunyai implikasi terhadap pelaburan, peluang pekerjaan, kos perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, pendirian Malaysia yang mengutamakan penyelesaian secara aman bukan sahaja selari dengan prinsip dasar luar negara, malah bertepatan dengan kepentingan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Dalam hal ini, Malaysia perlu terus memainkan peranan sebagai sebuah negara yang pragmatik, sederhana dan berprinsip.
Kita tidak perlu menjadi kuasa besar untuk mempunyai pengaruh.
Saya berpandangan, pengaruh, dibina melalui kewibawaan, kepercayaan dan keupayaan untuk mendengar serta memahami kepentingan semua pihak.
Malaysia mempunyai rekod yang membuktikan bahawa pendekatan tersebut mampu menghasilkan ruang diplomasi yang bermakna.
Justeru, sokongan Malaysia terhadap Dasar Satu China perlu terus dilihat dalam kerangka dasar luar yang lebih luas iaitu komitmen terhadap kestabilan, keamanan dan hubungan antarabangsa yang berasaskan rasa hormat serta kepentingan bersama.
Malaysia tidak menyokong pendekatan yang menjadikan kekuatan sebagai jalan penyelesaian kepada perbezaan. Sebaliknya, kita percaya bahawa perbezaan yang kompleks hanya boleh ditangani secara berkesan melalui kebijaksanaan, komunikasi dan kesediaan untuk mencari titik persamaan.
Dalam landskap dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia mesti kekal sebagai negara yang berpandangan jauh, tidak mudah terheret ke dalam persaingan kuasa besar dan sentiasa meletakkan kepentingan nasional sebagai pertimbangan utama.
Kita mempertahankan prinsip kita.
Kita menjaga kepentingan nasional kita.
Dan pada masa yang sama, kita terus menyumbang kepada keamanan serta kestabilan rantau ini.
Inilah wajah dasar luar Malaysia yang perlu kita terus bina berprinsip tanpa mengasingkan diri, tegas tanpa berkonfrontasi, dan berpengaruh melalui kekuatan diplomasi serta kepercayaan.
Dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik dunia, Malaysia mesti terus menjadi negara yang memilih jalan damai, memperkukuh kerjasama dan membina jambatan persefahaman.
Kerana dalam geopolitik yang semakin kompleks, kewibawaan bukan terletak pada sekuat mana kita berkonfrontasi menerusi kekerasan, tetapi pada sejauh mana kita mampu membawa pihak yang berbeza kembali kepada meja rundingan.
* Penulis ialah mantan Senator, Parlimen Malaysia. Beliau juga merupakan Pengerusi BRICS International Malaysia dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa, Bersatu
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.